17 September 2021, 15:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Noraini Abd. Shukor mengungkapkan cerminan realiti masyarakat tradisional Melayu yang berhadapan dengan sifat cemburu dan fitnah dalam sebuah hikayat lama Melayu.

Hikayat Si Miskin merupakan suatu cerita yang plotnya bermula daripada fitnah seorang raja yang cemburu apabila melihat seorang yang miskin tiba-tiba menjadi kaya …

Salah satu proses atau cara untuk meluahkan perasaan adalah dengan menunjukkan emosi, sama ada melalui wajah dan tingkah laku (pergerakan fizikal). Kedua-dua reaksi ini akhirnya akan mempengaruhi pemikiran dan akan mengganggu mental seseorang sehingga bertindak di luar kawalan. Mulyadi (Dewan Bahasa Februari: 2001) menguatkan hujah ini dengan mengatakan bahawa untuk mengungkapkan emosi, terdapat dua cara yang digunakan oleh pengalam (experiencer), iaitu secara nonverbal melalui ekspresi wajah, gerakan tangan, mata dan bahasa tubuh yang lain, dan secara verbal melalui kata emosi.

Emosi dalam Kamus Dewan Perdana didefinisikan sebagai (1) perasaan jiwa yang kuat seperti gembira, sedih atau marah. Kamus Dewan Perdana juga memberikan maksud keadaan perasaan atau fikiran yang terangsang dan melibatkan perubahan psikologi dan fisiologi pada seseorang (2021:573). Ketidakseimbangan emosi menyebabkan seseorang itu gagal mengawal diri dan akhirnya membawa kepada tindakan di luar batas kemanusiaan.

Antara sifat jelik yang lahir daripada emosi yang tidak seimbang ialah sifat cemburu. Sifat cemburu lahir apabila seseorang tidak dapat melihat kelebihan atau kesenangan orang lain. Sifat cemburu biasanya dipandang dari sudut negatif. Namun sifat ini juga boleh dilihat dari sudut yang lebih baik apabila seseorang itu mengeluarkan emosi cemburunya apabila melihat kejayaan orang lain. Hal ini akan dapat mewujudkan perasan ingin bersaing dan mendorong untuk seseorang menjadi setara atau lebih baik daripada orang yang berjaya itu. Apabila situasi ini berlaku, maka individu tersebut berjaya mengawal emosinya dengan baik. Namun, untuk mengawal emosi yang berperang dalam jiwa, individu tersebut perlu berjuang melawan nafsunya daripada melakukan perkara yang merosakkan jiwa. Dalam hal ini, Wan Hussain Azmi Abdul Kadir dalam bukunya Kaunseling dan Psikologi Menurut Islam (DBP, 1995) menjelaskan bahawa:

… manusia dalam dirinya mengandungi sifat-sifat kehaiwanan dalam bentuk kehendak-kehendak jasmani yang mesti dipenuhinya untuk menjaga keselamatan hidup dan jenisnya; dan juga mengandungi sifat-sifat malaikat yang dilihat dalam kerinduan rohaninya kepada mengenal Allah dan beriman dengan-Nya serta menyembah dan memuji-Nya. Antara dua bahagian pada manusia ini, kadang-kadang berlaku perjuangan; kadang-kadang ditarik oleh kerinduan kerohaniannya. Maka ketika ini, manusia berasa bahawa satu peperangan hebat sedang berlaku dalam dirinya.

(1995:34-35)

Sekiranya seseorang itu tewas dalam perjuangan melawan nafsunya, natijah yang lain akan muncul bagi melunaskan rasa cemburu tersebut, sehinggalah terbitnya perasaan dan tindakan lain seperti fitnah. Perbuatan fitnah tidak akan berjaya dengan tindakan pencipta fitnah sahaja. Perbuatan ini disokong oleh pihak lain, iaitu penyebar dan pembenar fitnah tersebut. Dalam artikel Bayyan Linnas siri ke-82 yang berjudul “Bahaya Fitnah”, dinyatakan bahawa:

… terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada fitnah sesuai dengan kategori orang itu, sama ada dia adalah pereka fitnah atau semata-semata sebagai penyebar. Bagi pereka fitnah, banyak faktor yang boleh diandaikan seperti persaingan dalam merebut sesuatu sama ada meraih jawatan, mendominasi perniagaan, kepentingan politik, kedengkian terhadap kelebihan orang lain dan pelbagai lagi. Pokok pangkalnya fitnah terbit daripada hati seseorang yang kotor, bermasalah dan tidak dibenteng dengan iman yang teguh.

Artikel tersebut telah memberikan huraian yang jelas terhadap punca berlakunya fitnah dalam masyarakat dan perkara ini telah banyak berlaku dalam masyarakat hari ini.

Hal ini bukan sahaja berlaku dalam masyarakat tanpa sempadan hari ini, tapi sebenarnya telah berlaku sejak dahulu lagi, iaitu sejak zaman masyarakat Melayu tradisional. Hal ini dibuktikan melalui hikayat lama yang terdapat dalam manuskrip Melayu. Hikayat Melayu yang mengisahkan hal cemburu dan fitnah ini terdapat dalam Hikayat Si Miskin. Hikayat Si Miskin merupakan suatu cerita yang plotnya bermula daripada fitnah seorang raja yang cemburu apabila melihat seorang yang miskin tiba-tiba menjadi kaya setelah menjumpai (tajau) tempayan yang berisi emas di dalam sebuah hutan.

sasteraHikayat Si Miskin (2016, DBP) yang tergolong dalam genre sastera hikayat ini merupakan karya yang diterbitkan berdasarkan naskhah J.S.A van Dissel (Leiden, 1897). Hikayat ini juga dikenali sebagai Hikayat Marakarmah dan merupakan sastera Melayu yang mempunyai pengaruh Hindu dan Islam. Hal ini dapat dilihat melalui nama watak-wataknya yang ada pengaruh Hindu seperti Maharaja Indera Dewa, Maharaja Puspa Dewa dan Marakarmah sebagai watak utama. Pengaruh Islam jelas terdapat dalam hikayat ini apabila permulaan ceritanya dimulakan dengan lafaz “Wabihi Nastainu Billahi Ala dan ditutup dengan Wallahuaklam bissawab. Bahkan dalam penceritaan hikayat ini juga terdapat frasa yang menunjukkan bahawa watak-wataknya percaya pada takdir yang telah ditentukan kepada mereka.

Plot cerita dalam hikayat ini bermula daripada fitnah yang dilakukan oleh Tuanku Syah Alam yang cemburu melihat Si Miskin yang telah menjadi kaya setelah terjumpa tajau (tempayan) berisi emas semasa menggali tanah untuk dijadikan rumah. Pada masa itu, Si Miskin dan isterinya telah memiliki seorang anak yang diberi nama Marakarmah. Si Miskin dan isterinya menganggap anaknya itu membawa tuah dan pernah berkata kepada anaknya:

… jikalau sungguh-sungguh anak dewa-dewa hendak menerangkan muka ayahanda ini, jadilah negeri di dalam hutan ini sebuah lengkaplah dengan kota parit dan istananya serta dengan menteri, hulubalang, rakyat sekelian dan segala raja-raja di bawah baginda betap adat segala raja-raja yang besar-besar …

(2016:7)

Selepas beliau berkata demikian, telah berlakunya kesaktian apabila terjadinya negeri dengan lengkap segala peralatan kerajaan dan Si Miskin dan isterinya telah menjadi raja dengan gelaran Maharaja Indera Angkasa dan Tuan Puteri Ratna Dewi di negeri yang dinamakan negeri Puspa Sari dan anak-anaknya bergelar Maharaja Marakarmah dan Tuan Puteri Nila Kesuma. Kekayaan dan kehebatan Maharaja Indera Angkasa ini sampai kepada pengetahuan Tuanku Syah Alam dan telah berpakat dengan ahli nujum yang akan berjumpa dengan Maharaja Indera Angkasa supaya mengatakan kepada raja tersebut bahawa anak-anaknya, iaitu Marakarmah dan Puteri Nila Kesuma membawa celaka kepada raja dan negerinya. Sifat cemburu yang tidak dapat dikawal oleh Tuanku Syah Alam telah membawa kepada tindakan yang selanjutnya, iaitu menyebarkan fitnah untuk memporak-perandakan kehidupan Maharaja Indera Angkasa dan negerinya. Hal inilah yang membuktikan bahawa fitnah itu merupakan ujian kepada orang yang difitnah, sesuai dengan makna fitnah dalam bahasa Arab, iaitu ibtila atau ujian (Bayyan Linnas siri ke-82). Fitnah yang dicipta oleh Tuanku Syah Alam itu berjaya dengan sokongan (bantuan) ahli nujum yang menjadi penyebar dan pembenar fitnah.

Emosi yang ada pada Tuanku Syah Alam tadi telah menimbulkan satu lagi emosi daripada pihak Maharaja Indera Angkasa (Si Miskin), iaitu emosi marah. Hal ini kerana, Maharaja Indera Angkasa tidak menggunakan pertimbangan akal dalam menangani fitnah tersebut. Beliau terus menerima fitnah tersebut dan bertindak menghalau kedua-dua anakandanya yang dikatakan membawa kecelakaan kepada diri dan kerajaannya. Tindakan beliau ini berbeza dengan isterinya yang mengatakan bahawa selama mereka memperoleh kedua-dua orang anakandanya itu, mereka sering beroleh kebajikan. Jelas di sini bahawa isteri Maharaja Indera Angkasa masih mempunyai akal budi dalam menangani fitnah tersebut, walaupun terpaksa akur dengan kehendak suaminya yang ingin membunuh atau menghalau anakanda mereka. Hal ini sampai kepada pengetahuan Marakarmah dan dia tahu bahawa dirinya terkena fitnah daripada orang yang cemburu kepada mereka sekeluarga yang selama ini, kaya dan bahagia.

Akibat daripada kejadian fitnah ini, Marakarmah dan adiknya telah dihalau oleh ayahandanya keluar dari negeri tersebut dan mereka menuju ke hutan belantara. Akibat daripada peristiwa ini, negeri Puspa Sari telah ditimpa bencana apabila berlakunya kebakaran dan dalam hikayat tersebut dinyatakan, “maka negeri Puspa Sari pun terbakarlah, maka tiada satu pun yang tinggal, habislah pecah belah bercerai-berai tiada berketahuan lagi perginya itu masing-masing membawa dirinya ke sana sini”.

Natijah besar daripada fitnah ini ialah Maharaja Indera Angkasa tinggal di dalam hutan kerana sudah tidak mempunyai negeri dan barulah menyedari bahawa Tuanku Syah Alam dengki dan busuk hati terhadapnya dan menyesal atas perbuatannya. Maharaja Indera Angkasa tidak menyedari bahawa hal ini merupakan ujian terhadapnya yang telah kaya raya dan mempunyai anak yang membawa kebaikan kepadanya. Melalui cerita hikayat ini, generasi pada hari ini perlu menjadikannya sebagai iktibar dan perlu menghayati makna dalam ayat 15 Surah At-Taghabun yang membawa maksud: “Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian (fitnah), dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.

Berdasarkan penceritaan dalam Hikayat Si Miskin ini jelas menunjukkan bahawa sikap cemburu yang membawa kepada fitnah sememangnya membawa kesan yang amat buruk dan boleh memusnahkan keluarga, masyarakat, dan seterusnya negara. Dalam keadaan sekarang, fitnah lebih mudah tersebar kerana dunia sudah tiada sempadan dan segala-galanya boleh disebarkan dalam tempoh masa yang singkat dan boleh membawa bencana yang lebih besar.

Cerita hikayat yang wujud sejak awal abad ke-18 bukanlah sekadar hiburan semata-mata. Sebalik penceritaannya yang pelbagai latar tempat dan watak, terdapat unsur didaktik yang boleh dijadikan panduan. Masyarakat hari ini seharusnya mendalami cerita-cerita hikayat yang pengajarannya boleh disesuaikan dengan kehidupan hari ini. Kesusasteraan Melayu Tradisional yang diselenggarakan oleh Zalila Sharif dan Jamilah Haji Ahmad (1993:180) menyatakan:

Sastera hikayat bukanlah semata-mata terdiri daripada cerita-cerita berunsur hiburan tetapi ada juga cerita-cerita yang membawa unsur berganda. Yang dimaksudkan di sini ialah terdapat beberapa buah hikayat yang mengandungi unsur-unsur yang sama berat seperti hiburan dan didaktik, hiuran dan kepahlawanan, hiburan dan keislaman, dan sebagainya, di samping mengemukakan satu–satu unsur seperti didaktik, kepahlawanan atau keislaman secara tersendiri.

Sebagai kesimpulan daripada penulisan ini, setiap ahli masyarakat perlu tahu menilai sesuatu khabar yang diterima sebelum membuat apa-apa tindakan kerana tersalah langkah dalam membuat tindakan akan menyebabkan kemusnahan yang boleh membawa kesan yang panjang terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Beli Hikayat Si Miskin di sini.

_________________________

Noraini Abd. Shukor memulakan kerjayanya di Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1999 sebagai Perancang Bahasa, dan kini bertugas di Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan. Beliau menulis dalam genre puisi, esei dan cerpen. Karyanya pernah tersiar dalam Pelita Bahasa, Dewan Sastera, Tunas Cipta, dan sebagainya. Noraini turut menulis kertas kerja dalam seminar peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antara kajian beliau termasuklah “Tunjuk dan Ajar dalam Masyarakat Nusantara: Manifestasi Melalui Sastera Lisan”, “Peribahasa dalam Cerita Awang Sulung Si Jambul Lebat: Tanda dan Makna”, dan “Padi sebagai Tanda dalam Peribahasa Melayu”. Kini beliau sedang mengkaji “Pengurusan Kepimpinan dalam Peribahasa Melayu”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.