16 September 2021, 23:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Mohamad Hakimi Mohamad Rejab mewakili Selangor membawa pulang Piala Seri Pemuisi sebagai penerima Anugerah Platinum untuk Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Peringkat Kebangsaan 2021 bersempena Hari Malaysia anjuran Persatuan Pemuisi Nasional (PEMUISI) kerjasama Bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC). Lantaran kekangan COVID-19, acara tahunan kali ini dianjurkan menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada 15 September 2021 (Rabu) pukul 9.30 malam.

Aksi persembahan pemenang Anugerah Platinum untuk Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Peringkat Kebangsaan 2021.

Persembahan Hakimi yang penuh penghayatan itu diaduni dengan elemen dramatis digandingi seruling bernada melankolik dan visual yang terkehadapan dan berani mengejutkan penonton, mendeklamasikan dengan suara lantang puisi “Secangkir Dakwat Merah karya penyair Mas Idayu Muhamadan. Beliau membawa pulang piala pusingan, berpeluang mengukir nama pada Piala Seri Pemuisi.

Anugerah Emas dimenangi oleh peserta negeri Kedah, iaitu Zaheera Ibrahim, yang juga membawa pulang piala iringan. Persembahan Terbaik pula dianugerahkan kepada Rozalita Saufi yang mewakili negeri Perak, yang turut menyandang anugerah Perak. Anugerah Gangsa diberikan pada semua peserta lain, membawa pulang cenderahati dan wang tunai. Mohamad Hafiz Ishak mewakili Sarawak dan Siti Nur Aini Jasni mewakili Kuala Lumpur pula memenangi Busana Lelaki dan Wanita Terbaik.

Acara sayembara ini menampilkan 15 orang finalis deklamator puisi mewakili negeri dan wilayah masing-masing, bertanding untuk merebut anugerah utama membawa pulang Piala Seri Pemuisi 2021 itu. Pentas dan ruang disediakan untuk para deklamator membuat persembahan puisi bertema semangat kebangsaan dengan gaya bebas berbentuk pementasan teatrikal dan dramatis yang mampu memberi kesan khas buat penonton.

Barisan juri penilai terdiri daripada figura dan persona yang penting dalam ranah kepenyairan negara, diketuai oleh Presiden PENYAIR Yang Berusaha Datuk Dr. Rahman Shaari. Yang Berusaha Profesor Dr. Madya Norhayati Abd. Rahman, Dr. Abang Patdeli Abang Muhi, Sabri Yunus dan Sakrani Shamsuddin merupakan barisan juri sayembara kali ini. Penghakiman dilihat daripada kekuatan vokal penyampaian, kelancaran dalam pendeklamasian, penjiwaan dan penghayatan para penyair terhadap teks puisi.

Peserta acara membuat persembahan dengan sangat bertenaga, kreatif dan penuh penghayatan, menyemarakkan jiwa puitis buat penonton dan kalangan deklamator. Setiap persembahan ditampilkan dengan elemen unik dan kreatif, sentiasa mempunyai prop dan set pentas yang memberi kesan visual, diiringi melodi mewarnakan persembahan puisi pilihan.

Bermula dengan persembahan Mohamad Hafiz Ishak mewakili Sarawak, beliau mempersembahkan puisi Sido Kopratasa berjudul “Bumi Kesetiaan”, disusuli persembahan penuh dramatis yang digandingi seruling bernada melankolik daripada Mohamad Hakimi Mohamad Rejab mewakili Selangor dengan “Secangkir Dakwat Merah” yang akhirnya memenangi anugerah utama. Seterusnya, Nurfarahin Jamsari mewakli Negeri Sembilan mendeklamasikan “Mahkota Bangsa” karya Perindu Seni, Ahmad Sa’idun mewakili Perak dengan puisi “Pesan untuk Anak” karya Che Su Deraman, Siti Nur Aini Jasni dari Kuala Lumpur dengan “Memelihara Rumah Kita” karya Zurinah Hassan, Mohd Rafiqi Bahuddin dari Johor dengan puisi Ahmad Razali Yusof berjudul “Di Sungai Sejarah”, Noras Robiah dari Pahang dengan “Cerita dari Sebuah Beranda” karya Lim Swee Tin, Noor Hasmah Ismail dari Kelantan dengan “Keranamu Malaysia” karya Ahmad Salju, Zaheera Ibrahim dari Kedah dengan “Pesan untuk Anak” karya Che Su Deraman, dan Siti Norashikin Bahirun dari Melaka dengan “Lestarikan Kedamaian Malaysia” karya Aya Rohaiyah.

Zaheera Ibrahim berjaya merangkul Anugerah Emas atas kreativiti tinggi persembahannya.

Dayana Chacho dari Sabah juga membuat persembahan puisi “Pesan untuk Anak” karya Che Su Deraman, diikuti Ahmad Harun dari Pulau Pinang dengan “Keranamu Malaysia” karya Ahmad Salju, Nur Shayid Shamsi dari Terengganu pula dengan “Lestarikan Kedamaian Malaysia” karya Aya Rohaiyah, Rozalita Saupi dari Perlis sekali lagi dengan “Pesan untuk Anak” karya Che Su Deraman, dan akhirnya Noor Shakira Mohd Hasli dari Wilayah Persekutuan Labuan dengan “Malaysia, Inilah Kasih, Sayang dan Cinta Kami” karya Solihin Osman.

Di samping persembahan peserta sayembara, terdapat juga persembahan artistik khas daripada jemputan khas. Kelab Serindit Mati Tersepit membuat persembahan pembuka acara dengan persembahan puisi “Sumpah Pendekar” karya Khadijah Hashim.

Persembahan selingan pertama pula dibuat oleh juara Sayembara Deklamasi Puisi Artistik 2020, iaitu Noor Azli Sudin dengan puisi “Simfoni Indah Aksara Merdeka” dan disusuli persembahan selingan kedua oleh Pengerusi PEMUISI Terengganu, Sharizat Satad, mendeklamasikan puisi “Taring”.

Persembahan khas Siso Kopratasa juga disusun mempersembahkan lagu puisi Alif karya Alim Gutrah hasil arahan Suhairil Izham Suraya. Persembahan puisi penutup tirai dilaksanakan oleh Roslan Madun dengan “Fatwa Pujangga”.

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim Presiden PEMUISI menyampaikan ucapan aluan menyuarakan ucap jaya kepada semua finalis sayembara yang membuat persembahan berjiwa semarak dan penuh penghayatan. Beliau juga menjemput para deklamator yang mendapat anugerah gangsa untuk hadir semula menjayakan sayembara ini pada tahun depan dengan harapan yang para penggiat akan dapat bersemuka semula, sebelum menyatakan penghargaan kepada DBP dan MOTAC atas sumbangan idea dan kerjasama menjayakan acara kali ini. Ketua Pengarah DBP, Yang Berbahagia Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran juga menyampaikan ucapan aluan menekankan kepentingan bersifat inovatif demi menaikkan galakan kepada masyarakat, terutamanya golongan belia terhadap budaya seni seperti deklamasi.

Ketua Setiausaha MOTAC, Yang Berbahagia Dato’ Dr. Noor Zari Hamat digalas dengan tanggungjawab merasmikan program sayembara ini dan sempat merakamkan suara harapan supaya ranah pementasan puisi dan seni tanah air kekal rancak sewaktu situasi pandemik yang melanda dunia hari ini.

Tonton persembahan penuh di sini.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.