Oleh Adib MN
16 September 2021, 00:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

London – Enam novel termasuk karya pengarang Sri Lanka disenarai pendek dalam Hadiah Booker, iaitu antara anugerah sastera berbahasa Inggeris berprestij di dunia, pada 14 September lalu.

Selain A Passage North karya novelis dari Asia Selatan, Anuk Arudpragasam, turut disenaraikan ialah novel sulung pengarang Amerika Syarikat (AS), Patricia Lockwood, iaitu No One is Talking About This, dan karya penulis Britain kelahiran Somali, Nadifa Mohamed (The Fortune Men).

Dua novel karya pengarang yang sebelum ini pernah muncul dalam senarai pendek Hadiah Booker turut tercalon, iaitu Damon Galgut dari Afrika Selatan dengan novel The Promise, iaitu kemunculan kali ketiga, dan Richard Powers lewat novel Bewilderment (kali kedua).

Selain mereka, turut berjaya melepasi saringan senarai pendek ialah Great Circle karya pengarang AS, Maggie Shipstead, sekali gus menjadi penulis AS ketiga selepas Lockwood dan Powers yang disenarai pendek dalam edisi kali ini.

Karya yang disenarai pendek kali ini membuka ruang kepada pembaca untuk menyelongkar kehidupan, kenangan dan trauma perang saudara di Sri Lanka selama tiga dekad; mengunjungi Pretoria ketika peralihan dasar Aparteid di Afrika Selatan dari sudut pandang keluarga rakyat kulit putih, dan melihat keanehan daripada pendedahan media sosial apabila berdepan realiti kehilangan jiwa.

Senarai berkenaan turut memberi peluang kepada pembaca untuk menyaksikan pertarungan kemanusiaan dengan konspirasi, prejudis dan kesilapan penghakiman terhadap kes pembunuhan membabitkan kelasi Somali yang dihukum gantung di Cardiff pada dekad 1950-an; menjiwai perasaan cinta mendalam seorang ayah terhadap anaknya yang bermasalah dalam menjalani eksperimen terapi neurologi dan pencarian kehidupan baharu di planet lain, selain melalui perjalanan dekad demi dekad kisah dua wanita, juruterbang pertengahan abad ke-20 serta bintang Hollywood kurun ke-21.

Senarai pendek daripada 158 novel yang disenarai panjang dalam Hadiah Booker tahun ini diumumkan oleh Pengerusi Panel Hakimnya, Maya Jasanoff secara dalam talian. Panel turut dianggotai penulis dan editor, Horatia Harrod; pelakon, Natascha McElhone; sarjana dan novelis, Chigozie Obioma, serta bekas Biskop Besar, Rowan Williams.

Sementara itu, Jasanoff berkata, dengan senarai buku hebat dan bernas, panel hakim berwacana bukan sahaja terhadap karya yang berkualiti, bahkan tujuan karya fiksyen itu sendiri.

“Kami bangga dapat mengemukakan senarai pendek yang menampilkan cerita asli dengan skop yang luas dan memiliki kepelbagaian sudut suara serta gaya.

“Barangkali pilihan ini tepat dengan zaman kita kerana novel-novel ini berkongsi nilai betapa manusia sentiasa bergerak tetapi pada masa yang sama, berdepan kekangan kuasa lebih besar daripada kita,” katanya.

Jasanoff berkata, sebahagiannya bersifat introspektif yang membawa kita menyelongkar minda watak lelaki Tamil yang menjejaki parut perang saudara Sri Lanka dan watak wanita Amerika yang memisahkan diri daripada dunia internet demi menghadapi krisis keluarga.

“Sebahagiannya menyerap dalam perubahan era bersejarah yang sangat keras: limbungan di Cardiff pada zaman awal dekolonisasi British dan ranah di sekitar Pretoria dalam tahun-tahun akhir dasar Aparteid.

“Dan ada juga yang bersifat sejagat, menjejaki usaha juruterbang untuk terbang mengelilingi bumi dan ahli astrobiologi membesarkan anak dalam latar yang diancam oleh perubahan iklim,” katanya.

Pemenang bakal membawa pulang hadiah wang bernilai £50 ribu (RM292 ribu), tetapi nilai itu jauh lebih kecil daripada sorotan dan tumpuan yang bakal diberikan oleh khalayak pembaca antarabangsa, termasuk meningkatkan serta melambungkan jualan naskhah di seluruh dunia.

Hadiah Booker terbuka kepada novel yang diterbitkan di United Kingdom dan Ireland antara 1 Oktober tahun lalu hingga 30 September tahun ini tanpa mengira kewarganegaraan pengarang, asalkan ditulis dalam bahasa Inggeris.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi