15 September 2021, 16:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Hubungan antara Turki Uthmaniyah dengan kesultanan Melayu di Nusantara telah bermula pada awal abad ke-16 lagi. Perhubungan yang terbina ini bukan sahaja disebabkan oleh kepentingan politik, ekonomi dan pentadbiran semata-mata, bahkan berkait rapat dengan ukhuwah dan semangat persaudaraan sesama Islam.

I’layu Kalimatullah (menegakkan kalimah La Ila Ha Illa Allah), sifat ummatik dan memerintah secara adil merupakan tujuan utama terbinanya hubungan antara kerajaan Turki Uthmaniyah dengan raja-raja Melayu di Nusantara. Tidak ada tujuan lain selain menyampaikan ajaran Islam dan meninggikan nama Allah SWT. Keadilan pula adalah untuk membantu kerajaan-kerajaan Islam di Nusantara yang dizalimi oleh negara-negara Barat,” jelas Ustaz Sadik Ozata.

Tambah Ustaz Sadik, “Surat yang diutuskan oleh Sultan Kedah, iaitu Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah bertarikh 1824 Masihi, meminta bantuan daripada Sultan Mahmud II. Di dalam surat itu, dijelaskan bahawa ketika Sultan Kedah berada di luar kawasan Kedah, wilayah di Kedah menerima serangan dari Mecus (Siam). Yang akhirnya membuatnya terpaksa lari ke Fulufinan (Pulau Pinang) yang sekarang disewakan daripada ayahnya Sultan kepada British. Di samping itu, pada akhir surat juga dijelaskan, dahulu Sultan Uthmaniyah pernah memberikan bantuan ketenteraan dalam pembukaan Kedah.”

Selain surat utusan Sultan Kedah, terdapat juga surat yang bertarikh 20 April 1850, daripada utusan Sultan Mansur Syah Aceh, Muhammad Gus kepada Sultan Abdul Majid untuk meminta bantuan kapal.

“Dalam surat tersebut, tercatat bahawa ketika Sinan Pasha mengunjungi Aceh, beliau datang bersama-sama kapal-kapal besar dan mengajar mereka cara membuat meriam dan senapang. Dalam proses ini, banyak meriam dan senapang dihasilkan oleh tentera Uthmaniyah sehingga mereka dapat mempertahankan diri daripada Belanda.”

“Semasa lawatan Sinan Pasha, Sultan Aceh sangat menghormati delegasi Uthmaniyah dan melihat setiap perkataan Sinan Pasha sebagai pemerintah Uthmaniyah yang harus dipenuhi. Keadaan ini penting dari segi menunjukkan kesetiaan Sultan Aceh kepada kerajaan Uthmaniyah. Nama Sultan Selim II dan Sultan Aceh ditulis di meriam dan senapang. Dengan ziarah Sinan Pasha dan bantuan ini menunjukkan para Muslim di kepulauan ini ada ikatan dengan Khalifah Uthmaniyah,” terang Sadik.

Yang berbahagia Ustaz Sadik Ozata merupakan wakil Turki bagi Hayrat Malaysia, yang membentangkan kajiannya berjudul “Jejak Turki Uthmani di Nusantara dan Hubungannya dengan Kesultanan Melayu” dalam Diskusi Manuskrip Melayu ke-5 pada 15 September 2021. Program ini merupakan kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka dengan Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Objektif diskusi ini adalah untuk mengetengahkan hasil-hasil penyelidikan dan penerbitan baharu yang berkaitan dengan manuskrip. Selain itu, diskusi ini bertujuan untuk mengangkat ilmu Alam Melayu berdasarkan naskhah-naskhah Melayu yang berada di seluruh dunia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.