Oleh Taksu Zacharia
15 September 2021, 08:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Taksu Zacharia menulis tentang erti keikhlasan dalam deklamasi, khususnya setelah bersurainya Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan tahun ini.

Pengalaman Azmi menjadi contoh bahawa perjuangan mencari kebenaran rasa ikhlas dalam deklamasi bukan perjalanan yang mudah. Inilah manikam pengalaman yang tidak dapat dijual beli.

Bismillahirrahmanirrahim.

Saya rafakkan doa ke hadrat Ilahi memohon agar segala yang akan diperkatakan lewat tulisan ini dipelihara daripada segala keburukan niat dan akan memberikan manfaat kepada yang membaca, terutamanya kepada para peserta Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan (SPDHK) siri ke-35, dalam usaha mereka untuk merangkul kejohanan berprestij itu.

Dengan kerendahan hati saya mulakan. Insya-Allah.

Saban tahun apabila tiba Ogos, akan berkumandanglah genderang sayembara di serata pelosok negara. Dari Perlis hinggalah ke Sabah, pencak deklamator (seperti itulah istilahnya) bisa menyajikan kepada kita pelbagai ragam dan kerenah persediaan para deklamator atau pendeklamasi. Kembara jiwa ini bermula pada peringkat negeri dahulu, sebelum menjengah gelanggang prestij SPDHK.

Kitaran SPDHK terus berjalan sejak tahun 1987, johan baharu dinobatkan setiap tahun dan sejurus itu, bermula pula perjuangan yang lain demi memburu martabat tertinggi seni deklamasi itu. Kini, SPDHK memasuki siri ke-35 dan persaingan tidak pernah surut airnya, malah bertambah pasang sengit. Apatah lagi dengan adanya medsos (media sosial)! Medsos menganjak lagi persaingan ini ke tahap yang lebih runcing.

Sering kali yang menarik ialah pertembungan antara deklamator baharu dengan barisan otai; underdog lawan favourite. Setiap tahun pasti akan berlaku; underdog yang akan melakukan upset menumbangkan nama-nama besar dan tidak kurang otai yang lived up to the expectation untuk muncul juara. Apabila selesai sayembara di setiap negeri dan sudah diketahui peserta yang akan bersaing seterusnya, maka perang sebenarnya pun bermula.

Pada peringkat kebangsaan, setiap deklamator mempunyai kekuatan yang hampir sama baik dari segi mutu vokal, nada tepat, artikulasi kemas, penghayatan tuntas, gaya bernas, dan akhirnya sebuah kesempurnaan deklamasi yang dicari-cari.

Sedang deklamasi yang gagal; terlupa bait atau rangkap, tertukar atau tertinggal perkataan, tersadung di tengah penyampaian, terkurang intensiti atau gangguan-gangguan lain yang tidak dapat dielakkan, pasti akan meruntuhkan peluang deklamatornya untuk mengimpikan kejuaraan. Maka, ada yang mengeluh, tidak kurang meruntun dan ada pula sampai menangis.

Justeru, apakah itu deklamasi yang “sempurna”?

Seorang yang bergelar Johan Kebangsaan (JK) itu pada dasarnya, deklamasinya “sempurna”. Seperti deklamasi sajak “Tok Janggut” karya Rahimiddin Zahari oleh Shukri Abdullah (JK 1996) merupakan satu penemuan yang luar biasa. Deklamasi itu menjadi bualan hangat zaman-berzaman, dan dijadikan contoh sebuah deklamasi yang “sempurna”. Seperti juga deklamasi “Nyanyian Pembebasan Perahu” karya Badaruddin MZ oleh Nurzailani Nuzi (JK 1998) yang disifatkan sebagai pemecahan tuntas deklamatornya terhadap sari paling dalam puisi unik itu. Jadi, kesempurnaan itu melihat kepada kesesuaian dan ketepatan deklamasi pada puisi yang mencakup tiga elemen:

  • Fizikal (penampilan zahir atas pentas)
  • Mental (pergerakan teknik kemahiran)
  • Spiritual

Saya berpeluang menikmati deklamasi Nurzailani dalam satu majlis sekitar tahun 2020 di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor. Itulah kali kedua saya berpeluang mendengar deklamasi “Nyanyian Pembebasan Perahu”, selepas pertama kali pada tahun 1998 di Pulau Pinang. Ternyata, deklamasinya masih mengekalkan momentum rasa yang intense, biarpun memasuki dimensi berbeza daripada sebelumnya.

Mendengar bait demi bait yang diungkapkan. Sang deklamator perlahan-lahan membawa kita ke dalam sari puisi sehingga kita seperti terus terlekat padanya dan akhirnya terpesona. Saya fikir itulah objektif utama deklamasi, iaitu menyampaikan rasa, rasa puisi yang bersulamkan sesuatu yang mengagumkan!

Vokal, artikulasi, intonasi, penghayatan, kelancaran dan gaya persembahan hanyalah instrumen mental (juga: teknik dan kemahiran) untuk menyampaikan puisi kepada khalayak. Menjadi cabaran deklamator untuk mempertajam alat-alat ini bagi mempersiap diri untuk berdiri sebagai deklamator. Begitu juga aspek fizikal deklamator yang harus tampil bergaya kemas, terampil dengan sikap tubuh yang berwibawa. Hal ini pun perlu diberikan perhatian khusus apabila bersaing.

Namun, setelah siap segalanya itu, maka hal yang paling sulit adalah untuk memperoleh hal yang dianggap sebagai faktor memukau, hal mempesona yang merupakan sesuatu yang intangible (elemen spiritual) atau sublime (mengagumkan) sifatnya, iaitu:

keikhlasan

Ya. Benar. Keikhlasanlah yang akan membawa sari puisi itu membekas ke dalam hati khalayak. Keikhlasanlah unsur kekaguman yang perlu dicari. Saya percaya pada hal itu.

Sulit untuk mencapai tahap itu sebenarnya. Kerana sifat deklamasi itu “sekali bererti, lepas itu mati”. Bacaan (baca: deklamasi) pertama tidak semestinya sama dengan bacaan kedua.

Saudara Azmi Ismail (JK 2012) bergelumang selama 22 tahun dalam pencariannya akan sebuah deklamasi seumpama itu. Rekod paling lama yang dipegangnya benar-benar mengajarnya erti keikhlasan apabila berdeklamasi. Pengalaman roller-coaster prestasi, kekecewaan demi kekecewaan, kecaman demi kecaman, ditertawa serta diperlekeh saban penyertaan begitu benar mencengkam beliau.

Kesabarannya diuji, ketabahannya diperli setiap tahun. Namun akhirnya, Azmi sampai juga pada logos itu. Pada tahun 2012, beliau berdeklamasi bukan untuk menang tetapi hanya menyampaikan puisi dengan seikhlas hati dan perasaannya. ‘Tiada yang menang dan tiada yang kalah, semuanya menang dan semuanya kalah. Yang ada hanya puisi dan deklamasi,’ bisik hati kecil, berdamai dengan diri.

Pengalaman Azmi menjadi contoh bahawa perjuangan mencari kebenaran rasa ikhlas dalam deklamasi bukan perjalanan yang mudah. Inilah manikam pengalaman yang tidak dapat dijual beli.

Bahasa badan tidak pernah berdusta jika yang dipancarkan sebenarnya puisi yang bersalut kesombongan dan bukan keikhlasan.

Sering pula ada yang berkata, “Deklamasinya sampai, deklamasinya membuat aku merinding, deklamasinya menjadi, deklamasinya ada rasa.” Ya, bagi saya, segala persoalan itu merupakan cabaran yang tidak diendahkan oleh sebahagian besar deklamator hanya kerana terlalu mengejar perlumbaan kejuaraan.

Kejuaraan itu menjadi faktor utama tapi bukan sari puisi yang dibawanya. Pernah seseorang bertanya kepada saya, “Bang, mengapa saya kalah?” Lama juga saya terdiam memikirkan akan kewajaran untuk menjawab, khuatir dia akan berkecil hati. Namun saya bersangka baik dan inilah jawapan pendek saya:

“Kerana kau sombong!”

Dia mengerut dahinya, tanda tidak mengerti (ataupun tidak setuju). Lanjutnya penerangan saya begini, “Semestinya, seorang juara mempunyai satu pegangan tersendiri terhadap pencapaiannya, lantas dia sudah mula membangunkan kemegahan seorang Juara Negeri. Kemegahan inilah yang dibawanya sebagai modal bersaing. Hal ini seperti persaingan seekor singa dengan seekor singa yang lain, masing-masing akan menunjukkan kekuatan dengan bahasa badan dan ngauman paling berderai. Selalu yang kuat kudrat itulah yang akan menang.”

Sering saya melihat persaingan SPDHK menjadi seperti itu. Sebuah medan perang psikologi!

Sang deklamator pun berdiri di pentas kebangsaan dengan segala kemegahan dan kesombongan (biarpun sehalus mana pun). Akibat terlalu terbawa akan persaingan, maka sikap tidak mahu kalah bulu atau tidak cuak pun harus ada. Maka, pancaran batinnya memberikan kemegahan dan kesombongan itu yang telah menyerap dalam diri, menelan kemurnian puisi yang hendak disampaikan.

Bahasa badan tidak pernah berdusta jika yang dipancarkan sebenarnya puisi yang bersalut kesombongan dan bukan keikhlasan. Maka pada akhirnya, butiran yang disampaikan ialah rasa yang kosong, sekadar deklamasi tanpa jiwa dan persembahan yang kurang berasa. Puisinya pun hilang.

Kerana yang dideklamasikan ialah kesombongannya …
Kerana yang dideklamasikan ialah kebanggaannya …
Kerana yang dideklamasikan ialah keangkuhannya …
Bukan puisi!

Keikhlasan ialah kualiti abstrak yang membangunkan puncak-puncak keindahan pada deklamasi. Imejan yang sebelum ini hanya wujud di wilayah kata-kata, bagi sang deklamator, akan cuba dijelmakan rupa dan pesonanya kepada khalayak.

Menjelmalah kata-kata mencipta formasi kekaguman! Hal itu menuntut pengerjaan seni yang penuh rasa bertanggungjawab; memanfaatkan segala peralatan yang ada dengan tahap keikhlasan yang tidak korup oleh unsur kebejatan hati dan perasaan, akan akhirnya menancap kepuasan sebagai rasa terakhir yang cuba dicapai dan disampaikan.

Katarsis!

Mungkin. Mungkin pada awalnya duduk perkara ini tidak kita peduli. Namun, tanyalah pada Maarof Seman (JK 1997), Aflieza Arshad (JK 2003), Hasnida AB Gani (JK 2002), Amaruszati Noor Rahim (JK 2003), Siti Nur Zafran Zainal Abidin (JK 2018), juga Mohd Aqi Mohd Azmi (JK2020); pasti mereka akan mengiakan – keikhlasan dalam deklamasi itu ialah segala-galanya.

Dan begitulah “kaedah” Ainun Syakirah Suzaide (JK 2019) menjuarai SPDHK siri ke-33.

Sebagai deklamator “anak sekolah”, dia tidak punya apa-apa. Berbekalkan ilmu yang sama seperti deklamator lain, sang gurunya menyedari akan kelebihan Ainun ini. Di atas kertas, segala-galanya tidak memihak kepadanya kerana dia adalah sementah-mentahnya seorang deklamator; masih di Tingkatan Enam dan baru berusia 19 tahun. Itulah penyertaan pertama SPDHKnya, malah Ainun tidak tersenarai pun dalam pesaing utama tahun itu!

Namun apabila beraksi di pentas akhir, unsur yang menakjubkan itu pun keluar perlahan demi perlahan, memukau hadirin. Dengan rasa keikhlasan tinggi, beliau mengungkap bait demi bait puisinya dengan ketulenan makna dan gerak yang unik, biarpun suaranya tidak sebesar mana tetapi masih mampu memberikan getar nada yang menggugah bukan saja hadirin, tetapi paling penting panel penilai.

Bagi Ainun, keikhlasanlah cengkaman wow yang telah memenangkannya.

Dari segi lain, barangkali setiap kali diumumkan sebagai Johan Kebangsaan, mereka (para JK) pasti tidak menyangka kerana merasakan ada nama lain yang lebih layak; dia yang punya vokal guruh, dia yang punya intonasi menggugah, dia yang punya penghayatan tajam, dia yang punya gaya memukau sedangkan yang menang seperti tidak punyai apa-apa.

Namun, ramai jarang mahu memikirkan bahawa kekuatan sebenar bersumber daripada peribadi (adab dan akhlak) yang murni, yang menolak segala kemungkinan untuk mencari kemasyhuran (cinta dunia), meletakkan segala-galanya pada ketentuan dan keredaan Ilahi, dan berasa bersyukur dengan segala nikmat yang diberi oleh Penciptanya.

Leburkan keakuanmu
Sisihkan kehebatanmu.
Hancurkan keegoanmu.
Nyahkan kesombonganmu.
Keikhlasan itu ada dalam diri.
Keikhlasan itu ilmu paling tinggi
Ia senjata hati, senjata deklamasi.

Proses untuk memaknakan nuansa puisi dan deklamasi boleh menjadi pelajaran kemanusiaan jika dilaksanakan dengan niat yang benar. Kemenangan bukanlah segala-galanya. Kemenangan hanyalah bonus kecil. Namun, kemenangan yang lebih besar adalah dengan memastikan deklamasi puisi menjadi wadah memanusiakan manusia.

Akhir kata, jika ada kekurangan dalam tulisan ini, saya mohon maaf dan mohon diperbetulkan. Niat saya hanyalah ingin berkongsi pengalaman agar boleh menjadi peneman fikiran kala kebuntuan ilham mencari-cari nuansa deklamasi. Yang baik adalah kerana izin Allah SWT dan yang buruk adalah daripada kelemahan diri sendiri.

_________________________

Taksu Zacharia merupakan seorang ahli Kelab Penyair dan deklamator kebangsaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.