Oleh Lawren Gara
13 September 2021, 19:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Lawren Gara mendedahkan kehadiran teknologi digital yang makin diperlukan oleh sastera untuk meneruskan hayat perkembangan wahanaya.

Seiring dengan perubahan zaman yang dipenuhi teknologi, kemungkinan besar bahan-bahan yang dianggap tradisional atau “lama” akan dilupuskan dan beralih ke fasa baharu.

Penulis terus-menerus lahir bagai cendawan tumbuh selepas hujan pada abad ke-21. Para penulis kini memasuki era Revolusi Perindustrian 4.0, atau mungkin hampir memasuki era hala tuju Masyarakat 5.0, seperti yang dibentangkan oleh Negara Matahari Terbit. Kerancakan teknologi dengan kemudahan kecerdasan buatan (artificial intelligence), aplikasi media dan robotik memajukan lagi industri kreatif di persada dunia.

Perubahan teknologi saban hari ini tidak dapat dinafikan lagi. Lihat sahaja dengan perkenalan belian “1-klik” (1-click), iaitu istilah yang diperkenalkan oleh Amazon dalam usaha mempercepat pembelian dan urusan capaian produk secara dalam talian. Bukan sahaja istilah 1-click yang bergentayangan di minda anak-anak muda sekarang, malah mungkin “teknologi baharu” (new technology), iaitu kehadiran kelengkapan teknologi canggih yang menukar cara hidup kini, seperti ura-ura kehadiran prototaip kereta terbang ataupun kereta tanpa pemanduan manusia, yang sememangnya makin jelas bukan lagi sesuatu yang tidak mungkin berlaku pada era sekarang. Bukan lagi fiksyen sains semata-mata. Secara tuntasnya, teknologi ialah sesuatu yang sememangnya bersifat dinamik, inovatif, memenuhi ergonomik dan keperluan manusia, serta menjadi bual bicara masyarakat global.

Perkembangan teknologi baharu dan semangat Masyarakat 5.0 Jepun juga turut berkait dengan bertambahnya pengguna internet di seluruh dunia, apatah lagi dengan kemunculan telefon pintar yang semakin pintar dan aplikasi media sosial yang terkini. Laman tinjauan global Statista sahaja melaporkan, pada tahun 2019 sudah terdapat 4.131 bilion pengguna internet di seluruh dunia, jika dibandingkan dengan 15 tahun yang lalu (1.1. bilion). Pada masa ini juga, negara China merupakan negara yang mempunyai penduduk celik internet yang tertinggi di dunia (854 juta). Hal ini lebih jelas dengan kecenderungan internet kini digunakan sebagai peranti untuk menonton televisyen/filem (seperti khidmat media over-the-top atau siaran digital seperti Netflix, Tonton, Amazon TV, Astro GO, dan Disney+), mendengar radio dan menonton berita (siaran langsung berita melalui media sosial seperti Twitter dan Facebook).

Seiring dengan perubahan zaman yang dipenuhi teknologi, kemungkinan besar bahan-bahan yang dianggap tradisional atau “lama” akan dilupuskan atau beralih ke fasa baharu. Kita perlu menyoal sekarang, adakah buku dan bahan berkala bercetak, yang sememangnya merupakan produk zaman-berzaman yang dipandang tinggi oleh tamadun kita demi memandaikan masyarakat awam, kini jatuh pada bahan yang dianggap tradisional atau lapuk? Sudah ada pula usikan orang yang nakal bahawa industri buku bercetak di Malaysia akan pupus dalam 10 tahun lagi. Atau lebih parah, pendedahan sangat menakutkan oleh Zainal Rashid Ahmad dalam Astro Awani bahawa rata-rata jualan buku di Malaysia sudah merudum teruk. Sebuah penerbit buku kecil malah menyatakan, “Sukar menerbitkan judul baharu kalau berbelas atau puluhan judul lama hanya terjual sekitar 500 ke 700 naskhah. Ribuan bakitanya berlambak dalam simpanan.”

Dalam pada itu, bahan bercetak yang paling meruncing jangka hayatnya ialah majalah bercetak. Setelah internet dan media sosial mula menawan jiwa manusia seluruh dunia, ditambah pula dengan kemunculan majalah dalam talian, tinjauan menganggarkan, dalam 3.9 juta majalah bercetak yang diedarkan dari Amerika Syarikat pada tahun 2007, pada tahun 2018, hanya tinggal 1.8 juta naskhah majalah bercetak yang diedar ke seluruh negara.

Pendigitalan sastera memperlihatkan impak sumbangan yang paling jelas dalam dunia industri kreatif.

Di Jepun, jumlah pembacanya masih mencapai tahap yang memuaskan. Negara Jepun ialah negara yang keempat paling banyak menerbitkan karya buku dengan jumlah 139 078 judul setahun secara purata. Daripada penerbitan tersebut, sebanyak 85 peratusnya merupakan jualan buku dan majalah bercetak dan 36 peratus lagi merupakan e-buku. Jika diukur daripada statistik yang diberikan, pembaca di Jepun lebih cenderung untuk mendapatkan buku secara fizikal.

Buku terbaik yang dijual di Jepun sepanjang tahun 2017 dan 2018 ialah manga Kimitachi wa Doikiruka (How Do You Live?). Manga ini diadaptasi (oleh Shoichi Haga) daripada novel sastera klasik, yang juga menduduki carta teratas jualan di Jepun, dihasilkan oleh Genzaburo Yoshino. Buku kedua terbaik juga bergenre manga, iaitu Oyasan to Boku (Landlady and I). Jelas sekali, peranan sastera dalam masyarakat dan teknologi amat penting. Buku tersebut bukan sahaja diterbitkan dalam bentuk fikizal, malah turut diterbitkan dalam bentuk e-buku.

Di Jepun, e-buku makin menangkap pasaran khalayak pembacanya kerana naskhah digitalnya mudah didapati, disimpan dan diakses. Sastera menjadi relevan kerana mampu menyumbang dalam ruangan permintaan tersebut. Oleh itu, pengisian sastera dalam teknologi amat penting bagi memberikan ruang menang-menang bagi kedua-dua pihak, pembaca dan pengkarya dalam pengenalan dunia e-buku. Di Malaysia sendiri, pengenalan sistem e-buku sudah sedikit sebanyak merubah landskap pembaca. Laman sesawang e-sentral merupakan antara platform yang menyediakan khidmat jualan e-buku dalam pasaran tempatan.

Selain e-buku, konsep “pendigitalan sastera” juga makin mendapat tempat di ruang awam masyarakat Malaysia. Pendigitalan sastera kini (yang sebenarnya sudah berlangsung lama, sedari internet sudah mula popular di Malaysia) menampilkan bahan sastera dalam bentuk digital, dipersembahkan dalam pelbagai media (teks, audio, visual, imej, audio-visual), sama ada dalam laman rasmi, blog, aplikasi media sosial, podcast, dan sebagainya.

Sastera yang bersifat prosa (baik cereka mahupun esei) dan puisi dapat dipersembahkan dalam bentuk audio (podcast), video, animasi, dan filem. Sememangnya, pendigitalan sastera amat menekankan tugas adaptasi, iaitu peralihan wahana (suatu bentuk medium kepada suatu bentuk medium yang lain). Secara tradisi, adaptasi tidaklah asing dalam dunia pengkaryaan kita. Filem Hang Tuah (1956) dan Langit Petang (1982) merupakan antara contoh filem adaptasi daripada dua medium teks yang berbeza. Siaran radio juga secara tradisi sudah menggunakan peralihan wahana teks sastera kepada audio, dengan terjelmanya beberapa rancangan siaran, seperti Bunga Bangsa, Ruangan Cerpen, Ilham Cipta, Dari Pendengar untuk Pendengar, dan beberapa lagi rancangan lain berkonsepkan sastera.

Antara kekuatan pendigitalan sastera ialah, ia bersifat global. Karyanya selalu dapat diakses oleh semua tanpa batasan, maka dengan lebih banyak akses karya tersebut, lebih “global” karya tersebut. Lebih banyak karya tersebut diadaptasi (dalam pelbagai medium dan versi), lebih “global” karya tersebut. Karya Cinderella (sebuah kisah dongeng yang berasal dari Mesir Purba secara lisan lalu ditulis di Itali pada tahun 1634) merupakan contoh tradisi yang menjadi kepunyaan semua budaya dan masyarakat kerana keberadaan globalnya dan menjadi pengetahuan semua.

Pendigitalan sastera memperlihatkan impak sumbangan yang paling jelas dalam dunia industri kreatif. Pengadaptasian sastera kepada filem (termasuk telefilem dan drama bersiri televisyen) menyebabkan tumbuhnya banyak bentuk produksi. Produksi ini pula melibatkan pelbagai orang, yang mempunyai kepakaran kraf tertentu, baik di belakang tabir (seperti tatarias, sinematografi, pencahayaan, busana, tatasuara, reka bentuk, penulis lakon layar, dsb.) mahupun di hadapan kamera (para pelakon). Semuanya tertumpu untuk menghasilkan “produk akhir”.

Misalnya, dalam penghasilan filem fiksyen sains Dune tulisan Frank Herbert baru-baru ini, produksinya tentu tidak akan memilih penulis yang semberono untuk menulis lakon layar. Penulis lakon layar akan dipilih berdasarkan pengalaman penulis melalui pembacaan, minat dan kedalaman penulis tentang novel atau subjek tersebut, dan pengalamannya tentu menuruti pemahaman dan isi hati pengarah. Filem seperti ini akan membuka ruang kepada individu yang berkecimpung dalam industri kreatif untuk membina lakon layar yang sempurna, agar filem tersebut dapat menyampaikan maklumat (dan jiwa) yang sama seperti yang disampaikan dalam karya sastera tersebut.

Adaptasi dalam industri kreatif malah menyambung tempoh hayat sesebuah karya sastera. Lihat sahaja karya klasik Indonesia, Tenggelamnya Kapal van der Wijck (1938) yang ditulis oleh tokoh sasterawan Indonesia yang terkenal, Hamka yang kerap kali diadaptasi. Novel ini menjadi tumpuan dan rujukan masyarakat, dan banyak kali diadaptasi ke dalam bentuk teater, sketsa dan filem. Filem versi terbaharunya (arahan Sunil Soraya, lakon layar oleh Imam Tantowi dan Donny Dhirgantoro) pada tahun 2013 pernah mendapat penghargaan Piala Antemas sebagai filem paling laris di Indonesia. Selain itu, novel ini pernah diteaterkan pada tahun 2016 di Universiti Malaya oleh persatuan Bahasa Arab Universiti Malaya (BAUM). Pada tahun 2017 pula, sebuah acara yang dinamakan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, turut diadakan di panggung eksperimen di Universiti Malaya. Pada tahun 2019, novel ini sekali lagi dijadikan bahan untuk menarik perhatian pelajar, khususnya ketika Festival Indonesia diadakan di Universiti Malaya. Acara The Tragedy of Van Der Wijck ini yang diadakan pada 16 November 2019 berlangsung di Dewan Gemilang Kolej Kediaman Kedua Belas, Universiti Malaya. Pementasan ini melibatkan golongan profesional untuk mengolah skrip, meringkaskan jalan cerita dan pemilihan pelakon-pelakon pentas untuk menghidupkan semua watak dalam novel di atas pentas. Dengan adanya pengaplikasian teknologi, pementasan ini kemudiannya disiarkan secara langsung dalam media sosial.

Pada abad ke-21, masyarakat memperlihatkan daya kreatifnya masing-masing dalam pelbagai media saluran. Antara yang paling popular digunakan sekarang ialah media sosial. Di China, media yang paling popular ialah Douyin, atau lebih dikenali sebagai aplikasi Tik Tok. Aplikasi Tik Tok merupakan aplikasi yang terbesar di seluruh dunia. Aplikasi ini dengan sekelip mata memintas aplikasi Facebook dan Instagram pada era pandemik dengan hanya beberapa bulan sahaja, iaitu dengan peningkatan 800 juta pengguna yang aktif serta sebanyak dua bilion memuat turun aplikasi ini di GoogleApps dan AppStore, malah aplikasi Tik Tok merupakan aplikasi yang paling banyak dimuat turun dalam AppStore. Pintasan ini bukan sahaja menyebabkan beberapa negara yang berpopulasi tinggi menyekat aplikasi Tik Tok kerana hal keselamatan data peribadi dan privasi. Namun begitu di Malaysia, aplikasi ini malah disyorkan oleh Menteri Pengajian Tinggi pada tahun 2020. Menariknya, aplikasi Tik Tok dengan tanda pagar #literature menunjukkan lebih daripada 98.5 juta pengguna telah menggunakan aplikasi ini untuk tujuan sastera dan penulisan akademik. Penulis blog juga semakin ramai beralih kepada aplikasi ini, sama ada untuk mempamerkan bakat yang terpendam atau mendedahkan hal-hal sastera kepada khalayak ramai.

Ringkasnya, penjalinan usahasama sastera dengan teknologi dan industri kreatif tidak mampu ditolak lagi. Kini, sastera, teknologi dan industri kreatif saling bergantung antara satu sama lain dalam usaha untuk memenuhi kehendak dan perubahan sosial manusia. Dalam hal ini, sastera dalam jalinan dan penyesuaian teknologi tetap mampu memberikan idea dan renungan untuk hidangan pemikiran masyarakat zaman sekarang. Sastera juga masih diperlukan sebagai bahan kandungan pilihan terbaik yang mampu membuka ruang industri kreatif untuk terus berkembang dalam peredaran zaman.

Sesungguhnya, fenomena jalinan sastera-teknologi ini menunjukkan betapa keterikatan sastera dengan teknologi akan menjadi lebih kuat. Namun persoalannya, adakah kita bersedia untuk menerima bentuk-bentuk sastera yang baharu sebagai juzuk estetika dan penghayatan sastera Malaysia?

_________________________

Lawren Gara berasal dari Sarawak. Beliau merupakan pelajar sastera dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dan kini sedang menjalani program pertukaran pelajar di Universiti Sejong, Korea Selatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.