12 September 2021, 00:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Polemik ranah penerbitan tanah air yang berkomposisi daripada pelbagai bentuk dan warna boleh menyerlahkan sisi wacana yang hangat dan berselirat perjalanannya. Penerbitan indie, atau mengikut Sinaganaga Lan Benhussein, dipanggil penerbitan mandiri, juga tidak sepi suara wacananya.

Hal ini diangkat dalam Wacana Pena minggu ke-9 bertajuk  “Penerbit Indie: Merosak atau Membina Sastera Negara?” anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) pada 10 September 2021 (Jumaat), membariskan pengkritik sastera terkenal, Dr. Mana Sikana dan pereka/pemilik penerbitan indie Azalan Hussain (Sinaganaga Lan Benhussein). Dr. Mohamad Saleeh Rahamad turut sama sebagai panel tetap wacana, dengan Mohd Khair Ngadiron sebagai moderator perbincangan.

“Sedikit sebanyak, penerbit indie menyumbang dalam prestasi perbukuan negara,” menurut figura yang ranum dengan kegiatan menerbitkan naskhah indie, Azalan, setara dengan sasaran UNESCO untuk negara mengeluarkan sejumlah buku dalam setahun.

“Berdasarkan jumlah penduduk Malaysia, kita seharusnya menghasilkan 30 ribu judul setiap tahun,“ ujar beliau.

Penerbit-penerbit baharu juga bercambah seperti cendawan dek fenomena penerbitan mandiri ini. Kata Azalan, berikutan ramai orang perbukuan yang makin terlibat dalam proses menerbitkan buku, maka semakin ramai juga para penulis yang dapat berkarya. Hasil pemerhatiannya juga, penulis lama dan baharu yang mendapat platform untuk berkarya juga menarik lebih ramai para pembaca dan peminat sastera. Hal itu sememangnya sesuatu yang tidak boleh dinafikan.

“Namun bagi saya, antara isu yang perlu diatasi ialah keupayaan untuk menembusi pasaran dan penulisan belia masa kini dan masa akan datang, supaya rumah penerbitan indie akan kekal hidup berjalan,” tambah Azalan.

Fenomena indie yang bergerak menentang arus perdana merupakan satu kegiatan yang berlaku secara meluas namun masih memakan masa yang panjang untuk menunjukkan impaknya. Mana Sikana menyentuh fenomena sastera Indonesia yang semakin kaya dan meriah dengan karya mandiri yang berperanan penting dalam usaha mengembangkan kesusasteraan negara mereka.

Mengambil contoh penulis Islami Indonesia yang terkenal, Habiburrahman El Shirezy, beliau dulu juga menerbitkan buku secara mandiri dan kini karyanya sudah tidak pernah lagi dianggap “indie” atas peranan dan sumbangan karyanya kepada ranah sastera negara. Apabila melihat sumbangan karya-karya indie ini terhadap ranah sastera, pada akhir harinya, nilai dan peranan karya itulah yang memainkan peranan.

Mana Sikana juga berpandangan, kedudukan dunia pascamoden kini sudah meleraikan garisan pemisah antara “sastera rendah” dengan “sastera tinggi”. Katanya, “Tujuan pemahaman ini adalah untuk melihat nilai karyanya dahulu, tidak kiralah jika diterbitkan oleh rumah penerbitan indie mahupun perdana.”

Beliau menambah, fitrah indie yang tidak selalunya bersependapat dengan gagasan norma perdana juga merupakan satu pertembungan yang mempunyai peranannya yang tersendiri.

“Kalau boleh, saya harapkan penerbitan sastera indie dan penerbitan sastera perdana ini mampu berjalan sejajar, tapi tidaklah bertemu secara langsung.

“Paling tidak pun, kedua-dua unsur karya ini boleh dan mampu untuk bekerja menaikkan sesama sendiri, kerana pertembungan dan interaksi antara kedua-dua pemikiran ini akan melahirkan gagasan yang tersendiri,” ujarnya lagi.

Saleeh Rahamad malah menegaskan, akan sentiasa ada ruang dan peluang untuk karya penerbitan indie dianalisis, dikaji dan diperbesar dalam wacana sastera. Beliau juga bersetuju dengan pendapat Mana bahawa sastera pascamoden yang menolak perbezaan antara sastera tinggi dengan sastera rendah menjadikan tugas pengkritik dan penelaah untuk melihat kesemua karya yang dihadapankan perlu dikaji, malah dipandang sebagai naratif penggerak dunia budaya sastera.

“Penerbitan indie perlu diteruskan dan dihidupkan, kerana hakikatnya penerbitan perdana juga tidak mampu menampung keperluan dan keupayaan penulis yang luas variasi pemikiran mereka.

“Penerbitan kecil ini mempunyai beberapa kelebihan, seperti mencapai khalayak pembaca yang merentas sempadan, boleh mencetak semula naskhah mengikut kehendak khalayak, dan menyediakan kandungan yang bernafas baharu, malah sebenarnya dari skop sejarah, penulis-penulis daripada penerbitan kecil juga berperanan menghidupkan ranah penulisan,” jelas Saleeh.

Tonton wacana penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.