10 September 2021, 09:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nor Muhamad merenung kembali tugas beratnya sebagai editor di Bahagian Buku Sastera, yang perlu menjadi “pengarang kedua” kepada pengarang, perlu menjadi “si mata helang” yang tajam.

Selain pengarang yang menggarapkan idea dan pemilihan tepat untuk alur penulisannya, si mata helanglah yang berperanan besar untuk menambahkan nilai estetika pada penulisan pengarang.

Pengalaman yang dimiliki oleh setiap insan pasti berbeza-beza, dan tidak pernah sama dari aspek rasa melalui jiwa. Begitulah dalam bidang kerjaya, pengalaman yang luas membuatkan seseorang itu yakin untuk menuturkan kata-kata atau hujah, pandangan dan pendapat, penyampaian hikmah dan tunjuk ajar, dan kadangkala dianggap sebagai pakar rujuk untuk sesuatu perkara. Dalam hal yang berkait dalam bidang kerjaya “si mata helang”, cabarannya tertumpu pada pemaknaan idea sebenar yang disampaikan oleh pengarang. Di situlah terciptanya sebuah keberhasilan karya yang hebat sehingga diperkatakan sepanjang zaman. Seolah-olah karya itu hidup dengan wataknya yang tersendiri, walaupun pengarangnya telah berpindah ke alam abadi.

Dengan gaya bahasa yang tepat, cermat dan pengajaran yang mengandungi hikmat, sesebuah karya itu dapat berdiri sendiri yang serta-merta memberikan nilai kejayaan pada karya tersebut. Selain pengarang yang menggarapkan idea dan pemilihan tepat untuk alur penulisannya, si mata helanglah yang berperanan besar untuk menambahkan nilai estetika pada penulisan pengarang. Si mata helang bukanlah semata-mata seorang pengurus yang hanya bijak mengurus belanjawan, penyediaan laporan dan surat-menyurat, tetapi seorang pemikir yang wajar merentas dunia pemikiran pengarang, yang seolah-olah perlu berada pada tahap ataupun satu lapisan yang lebih tinggi dalam pembentukan idealisme dan intelektualisme daripada pengarang. Dia juga perlu menguasai pelbagai cabang ilmu bagi mengangkat martabatnya sesuai pada tempatnya.

Persoalannya, siapakah si mata helang? Dia ialah editor. Ya, editor. Tugasnya membina judul baharu dan pengarang, mendapatkan karya terbaik daripada pengarang, serta menguruskan sesebuah manuskrip atau makalah sehingga terhasilnya sebuah buku atau majalah. Fungsi dan peranannya amatlah besar, bukan sekadar menguruskan sesebuah manuskrip atau majalah sehingga terbit karya pengarang tetapi dialah manusia pertama yang meletakkan “kepercayaan” bahawa karya itu bermanfaat untuk membangunkan pemikiran dan sahsiah insan, atau menjadi orang tengah dalam penyebaran ilmu buat para pembaca. Sekiranya nilai manfaat itu kurang dan naskhah itu cenderung pada titik keburukan, bukankah hal ini dipersoalkan di akhirat kelak? Begitu juga dengan para pengarang, nukilan penanya menjadi amal yang dipertanggungjawabkan pada hari kebangkitan.

Ada segelintir manusia yang tidak kenal akan dunia editorial beranggapan bahawa menguruskan manuskrip atau makalah sehingga terbit ialah kerja yang mudah dan hanya perlu suntingan bahasa atau ejaan semata-mata. Anggapan seperti itu sesuatu yang tidak berasas, dan mustahil begitu prosesnya. Sedangkan si mata helang sering waspada dalam dunianya, tidak pernah tenteram selagi tidak dapat diterbitkan. Begitu jugalah karya yang telah diterbitkan, dia tidak akan pernah tenteram seandainya naskhah yang ditangani itu masih ada kesalahan (ejaan atau fakta), atau tidak tepat pada pemilihan kata dan diksinya.

Apa-apa kejayaan hinggalah tercapainya kejayaan si mata helang bergantung pada sikap dan ikhlasnya. Tiada kayu ukur yang dapat menilai tahap ikhlas si mata helang melainkan diri mereka sendiri yang dapat menilainya. Perkataan yang sering didengar; “sekadar makan gaji”, “asal jadi”, “asal siap”, memberikan bencana pada sebuah kerjaya. Dan “kemusnahan” itu bukan sekadar pada kerjaya tetapi terpalit pada hasil karya yang diusahakan.

Bagi si mata helang, karya yang ditangani seolah-olah dia menjaga wanita yang sarat mengandung, hinggalah saatnya wanita itu bersalin dan melahirkan cahaya mata. Si mata helanglah bertindak sebagai bidan, dialah yang menyambut bayi, memotong tali pusat, menguruskan bayi tersebut.

Dari awal penerimaan bahan, si mata helang akan menelitinya satu per satu. Bermula dengan sehelai kertas daripada pengirimnya, siapakah pengarangnya; manuskrip; bahan awalan dan bahan akhiran karya; dan sinopsis karya (sekiranya diberikan oleh pengarang untuk memudahkan si mata helang membuat semakan). Begitu juga beberapa dokumen yang perlu diisi oleh pengarang agar tidak ada implikasi undang-undang setelah karya tersebut berjaya diterbitkan. Setelah itu, sekiranya tidak memenuhi spesifikasi atau kriteria penulisan, perlu dipulangkan semula kepada pengarang untuk proses penambahbaikan. Dan, proses penambahbaikan perlulah dinyatakan hal yang kurang dan hal yang perlu ditambah, atau seandainya tidak sesuai diterbitkan, nyatakan alasannya agar pengarang faham dan tahu bentuk penulisan yang baik sebagaimana yang diinginkan. Dengan harapan, pengarang terus berusaha memberi nafas baharu dalam karyanya, bukannya “membunuh” kreativiti dan usaha pengarang.

Pada tingkat yang seterusnya ialah proses penilaian. Peringkat ini memerlukan tahap ilmu yang begitu luas bagi menilai secara keseluruhan kekuatan dan kelemahan karya pengarang. Bukan perkara yang mudah untuk memberi keputusan, sama ada “menolak karya” atau “menerima karya”. Ada dua kaedah yang boleh digunakan dalam proses penilaian. Pertama ialah si mata helang yang menilai sendiri berdasarkan tahap ilmu yang dimiliki. Kedua adalah dengan menyerahkan karya pengarang kepada panel penilai yang sesuai dalam bidangnya. Peringkat inilah sebenarnya saringan kedua sesebuah karya yang meletakkan si mata helang itu sebagai pemikir yang matang dan adil, bukan kerana nama pengarang “besar” atau pengarang “kecil”, atau yang baru bertatih sebagai alasan untuk menerima karya atau menolak karya.

Sekiranya si mata helang itu kekurangan ilmu tentang genre atau bidang, maka tewas juga akhirnya sehingga diterima karya yang dianggap lemah untuk diterbitkan. Proses penilaian yang baik memungkinkan mudahnya hala tuju karya diproses tanpa ada lagi halangan dan rintangan. Kesannya, tidak ada lagi kenyataan atau rungutan si mata helang semasa proses suntingan.

“Walaupun karya kreatif, tapi fakta salah, sumber petikan pun tidak dimasukkan. Macam mana nak terbit?”

Kegagalan pada peringkat inilah yang memberi kesan buruk pada tempoh masa yang ditetapkan bagi sesebuah karya pengarang untuk diterbitkan. Malah, emosi serta motivasi si mata helang juga berasa terganggu. Pada peringkat penilaian karya oleh si mata helang, karya yang perlu dibaiki wajarlah diserahkan kepada penulis untuk proses penambahbaikan, bukannya bersikap sunyi sepi tanpa mengambil peduli. Seorang pengarang yang berjiwa besar, biasanya menerima sebarang cadangan daripada si mata helang dengan hati terbuka dan berlapang dada.

“Manuskrip ini lulus.” Sepakat jawatankuasa yang bersidang. Kejayaan pertama diperoleh. Beralihlah kepada proses suntingan, buang sana, ganti sini, ubah sana, ubah sini. Apa yang tidak tepat perlu dibaiki. Apa yang kurang perlu ditambah. Apa yang dianggap “membazir” perlulah dibuang sehingga ada kesan merah pada perisian Microsoft Word dengan penggunaan track changes. Pada peringkat ini pula ketelitian tertumpu pada bahasa, istilah, aksara, sumber fakta, dan gaya bahasa. Namun, perlu diakui, setiap pengarang mempunyai gaya penulisannya yang tersendiri, tidak akan sama alur dan lenggoknya.

Si mata helang wajar juga menguasai gaya kepengarangan setiap pengarang agar tidak terdedah dengan pentafsiran yang salah. Misalnya, dalam karya kreatif, pengarang seperti Zaharah Nawawi, Adibah Amin, S.M. Zakir, dan Malim Ghozali PK (sekadar menyebut beberapa nama) adalah berbeza-beza gaya penulisannya. Biasanya, seorang peneliti dan pembaca karya pengarang tertentu akan kenal gaya penulisan setiap pengarang, tanpa perlu melihat nama penulis yang tercatat di hadapan buku. Ketelitian pada peringkat suntingan juga yang membawa si mata helang masuk ke dalam dunia pemikiran pengarang, dan kenal setiap identiti gaya kepengarangan setiap pengarang.

Beralihlah kepada proses suntingan, buang sana, ganti sini, ubah sana, ubah sini.

Kejayaan kedua si mata helang ialah karya yang ditanganinya berhasil diterbitkan. Ada yang memberi pandangan, mengapa perlu berbangga sedangkan nama pengarang di hadapan kulit buku, bukannya nama si mata helang. Bagi si mata helang, karya yang ditangani seolah-olah dia menjaga wanita yang sarat mengandung, hinggalah saatnya wanita itu bersalin dan melahirkan cahaya mata. Si mata helanglah bertindak sebagai bidan, dialah yang menyambut bayi, memotong tali pusat, menguruskan bayi tersebut. Begitulah naskhah yang terbit, yang diibaratkan seperti bayi. Munculnya daripada tiada kepada ada.

Adakah si mata helang perlu banyak membaca dan meneliti naskhah sedia ada? Jawapannya ialah benar. Mustahil untuk si mata helang mampu menguasai ilmu suntingan yang baik sekiranya dia seorang yang malas membaca dan kurang meneliti karya pengarang lain. Penguasaan suntingan bukan sekadar pada tanda baca atau ejaan, tetapi bagaimana pintarnya si mata helang mengolah karya agar bahasanya tidak terbelit-belit dan mudah untuk dibaca dan difahami oleh pembaca. Pernah suatu ketika, si mata helang digelar sebagai “pengurus tanda petik” atau “pengurus ejaan”. Ertinya, kritikan itu yang mampu menyedarkan kekurangan si mata helang, dan mengambil kritikan itu sebagai satu dorongan untuk berubah ke arah yang lebih baik, sesuai dengan martabatnya, SI MATA HELANG!

Sebagai si mata helang, sesebuah karya yang diusahakan hingga terbit wajar didedahkan kepada masyarakat agar mereka tahu wujudnya naskhah bermutu dan mereka tahu di institusi si mata helang itu didiami oleh para intelektual yang pandai menyusun idea. Begitu juga pada masa kini, ada sesetengah syarikat penyiaran sedang mencari dan menggali khazanah karya untuk projek adaptasi, sama ada telefilem atau filem. Pasukan si mata helanglah yang perlu bersedia kerana mereka pemegang kunci idea setiap para pengarang, dan kesediaan ini mencorakkan satu suasana yang harmoni bagi kelangsungan pada masa akan datang.

_________________________

Nor Muhamad Mat Zain atau Nur Muhamad Fansuri seorang pendaki gunung yang tegar dan amat intim dengan alam kehijauan fauna. Hasil makalah beliau pernah disiarkan dalam majalah Dewan Budaya dan Portal Gerbang Borneo. Beliau pernah menjadi editor di Bahagian Buku Sastera, Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan kini merupakan seorang pegawai di Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi