Oleh Awang Sariyan
9 September 2021, 12:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bunga merdeka
yang dahulu kauhidu harumnya itu
masihkah di tanganmu
atau telah jatuh ke tanah
tidak kaupandang lagi

Pohonnya yang mendewasa
subur dan menaungi kita
berdasawarsa lamanya
adakah masih kaubaja
dan kaupedulikan
ketika tanganmu memetik buahnya
seraya menikmati kemanisannya
atau kaulupakan
kerana tabii serakah
budi tidak perlu dikenang
merasa tidak semestinya memberi
hidup nafsu nafsi
kerana katamu kubur sendiri-sendiri

Maka jika pohon berjasa itu
dimakan anai-anai
mungkinkah kaubiarkan sahaja
selama buahnya dapat kautuai
Haramlah hukumnya
kaumakan buah yang pohonnya kauabaikan
menjadi darah dan daging yang kotor
tiada barakah padanya
Kepada yang masih bermaruah
dan tahu akan erti amanah
kata pupuk pohon merdeka
kerana justeru di sinilah bersemi
cinta yang abadi dan murni
tempat kita mengecap
pelbagai nikmat
dan sewajarnya tempat
kita berbakti dan berkhidmat.

Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa
Malam Pengucapan Puisi Bandaraya Kuching,
Hari Ulang Tahun Ke-26,
31 Ogos 2014

Puisi ini merupakan antara 55 puisi yang terhimpun dalam kumpulan puisi Mencari Makna Diri.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi