Oleh Adib MN
9 September 2021, 21:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Managua – Sasterawan Nicaragua yang pernah dinobatkan dengan anugerah sastera bahasa Sepanyol paling berprestij di dunia, Sergio Ramirez, menjadi antara individu terkini sasaran pihak pendakwaan negara itu.

Ramirez menjadi tokoh pembangkang ke-37 yang dituduh berkomplot menentang negara berdasarkan undang-undang yang diluluskan di Parlimen Nicaragua pada Disember lalu. Turut dituduh ialah tujuh calon presiden.

Waran tangkap dikeluarkan oleh pendakwa raya terhadap novelis yang pernah memenangi Premio Cervantes (Hadiah Cervantes) pada tahun 2017 itu, ketika negara Amerika Selatan itu semakin menghampiri pilihan raya umum.

Ramirez yang kini berusia 78 tahun pernah berkhidmat sebagai pembantu Presiden Daniel Ortega, tetapi kini menjadi antara pembangkang kepada kerajaan berhaluan kiri terbabit.

Dalam pertuduhan yang dikemukakan oleh pendakwa raya itu, Ramirez dituduh mengeluarkan kenyataan menghasut kebencian dan konspirasi seperti yang dilemparkan kepada calon-calon presiden yang menentang Ortega.

Selain tuduhan hasutan itu, Ramirez turut dituduh menerima rasuah daripada Yayasan Violeta Barrios Chamorro yang didakwa dengan pengubahan wang haram dan mengancam kedaulatan negara.

Bagaimanapun, Ramirez sudah meninggalkan negara itu pada bulan Jun lalu selepas dipanggil menjadi saksi kes membabitkan yayasan itu.

Tidak cukup dengan tuduhan itu, Ramirez turut didakwa menerima wang daripada organisasi budaya, Yayasan Luisa Mercado, kononnya untuk mengkucar-kacirkan negara.

Ramirez sebenarnya penyokong kuat kerajaan Sandinista yang berkuasa pada tahun 1979, malah pernah menjawat jawatan Naib Presiden ketika penggal pertama pemerintahan Ortega bermula tahun 1985 hingga 1990.

Bagaimanapun, Ramirez mula dilihat bercanggah dengan parti pimpinan Ortega, iaitu National Liberation Front, lima tahun kemudian.

Antara novel terkenal Ramirez ialah Divine Punishment dan Margarita, How Beautiful the Sea yang turut menerima Hadiah Alfaguara pada tahun 1998.

Novel Divine Punishment dihasilkan oleh Ramirez ketika masih menjawat Naib Presiden Nicaragua itu, diangkat daripada kejadian jenayah sebenar dengan menggunakan bahan seperti kertas pendakwaan dan laporan mahkamah, selain wawancara dan surat tertuduh.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.