Oleh Zurinah Hassan
8 September 2021, 14:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pagi itu aku tiba di sebuah perpustakaan
Kumasuki ruang ilmu yang tersusun menjadi taman
Kususur tangga impian ke gedung kebijaksanaan
Kutatap kaca dindingnya yang membingkai putih awan.
Pagi itu aku tiba untuk menerima pelantikan
menyambut sapaan menjawab salam
Daerah damai yang bergelar kampus alam.

Pagi itu setelah kuterima pelantikan
Kugenggam watikah dengan jemari
yang membilang keraguan
Apakah yang dapat kuberi
kepada sebuah kecukupan
Di manakah sebenarnya petak
tempat akan diletak
diriku yang keasingan bentuk dan corak.

Namun hening pagi membuka dimensi
Mendengar bicara seorang Naib Canselor
Yang meyakinkan dengan pekerti dan kata-kata
Pendidikan bukan semata kepakaran teknikal
Tapi pembinaan minda cekal
pemupukan budi dan akal
falsafah dan sastera
mengajar pengalaman manusia
membina minda kritis
keupayaan menganalisis –
Dalam dunia penuh krisis.

Aku pun telah menyedari
Revolusi industri
Menghidangkan canggih peralatan
Dan kuasa rangkaian
namun tanpa rasa dan bahasa
komunikasi terhenti
segalanya mati di hujung jari.

Namun takdir menentukan
Sayangnya setelah terbina keyakinan
Kita terkandas di perjalanan
Lebuh raya tersekat tersadai semua pesawat
Dalam ujian yang amat berat.

(BACAAN SYAIR)

Laut tenang kapal berlabuh,
Tidak berdaya mengangkat sauh,
Hati terkenang ke Ulu Pauh,
Kini kita terpisah jauh.

Di sini aku mendengar kata-kata
Yang dibina bukan jentera
Tapi kehidupan yang sejahtera
Terima kasih UniMap
Terima kasih untuk sebuah sanjungan
Terima kasih untuk sebuah pengalaman.

27 Ogos 2021, UniMap

Nota | Sajak ini dibaca dalam majlis Malam Kemuncak Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia pada 27 Ogos 2021. Universiti Malaysia Perlis (UniMap) menjadi penganjur utama dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Persatuan Pemuisi Nasional (PEMUISI) dan Angkatan Sasterawan Indera Perlis (AKSARA). Majlis ini turut merayakan Sambutan 20 Tahun Penubuhan UniMap.

Saya diminta membaca puisi pada majlis itu. Seikhlasnya, saya menulis apa-apa yang saya anggap sesuai dengan perayaan 20 Tahun UniMap. Puisi ini menyatakan penghargaan kepada sebuah universiti kejuruteraan yang turut menyemarakkan kegiatan sastera. Turut membaca puisi pada majlis tersebut ialah Naib Chanselor Profesor Dr. Zaliman Sauli dan Timbalan Naib Chanselor Profesor Dr. Mohd Fo’ad Sakdan.

UniMap telah melantik saya menjadi Profesor Adjung pada tahun 2019. Sejak itu, UniMap telah menganjurkan Syarahan Sasterawan Negara yang turut diserikan oleh keberangkatan Tuanku Canselor. Kami juga telah menganjurkan bengkel pantun dan penulisan puisi moden.

Paling menyentuh rasa ialah tersedianya sebuah ruang pameran khas yang dinamakan Sudut Sasterawan Negara Zurinah Hassan. Ruang yang terletak di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra ini mempamerkan lukisan-lukisan yang merupakan ekspresi daripada puisi-puisi saya. Selain itu, mereka juga mempamerkan sebuah sajak saya pada dinding berhampiran pintu masuk utama perpustakaan tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.