Oleh Karmila Azmi
8 September 2021, 17:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Kritikan sastera selalu disalah anggap dan dipandang serong kerana ditulis oleh mereka yang tidak mempunyai illmu tentangnya sekali gus menjadikannya berat sebelah dan tidak bersifat objektif.

Selain itu, sifat kritikan sastera yang agak teknikal menyebabkan tulisannya kurang difahami oleh pembaca yang kurang pengetahuan tentangnya dan menjadikan genre itu sedikit tenggelam berbanding dengan genre lain dalam sastera, misalnya novel, puisi atau cerpen.

Mantan pensyarah Universiti Sains Malaysia, Datuk Dr. Sohaimi Abdul Aziz, berkata kritikan sastera bukanlah genre yang baharu di Malaysia. Sebaliknya penulisan kritikan sudah dimulai pada tahun 1949 menerusi karya kritikan Aminuddin Baki terhadap novel Arena Wati.

“Bagaimanapun, disebabkan kritikan ini bersifat akademik selain dikaji dan ditulis kebanyakannya oleh pensyarah universiti, ia lebih dikenali dalam kalangan warga universiti.

“Sedangkan kritikan berperanan dalam membantu perkembangan sastera,” katanya dalam Syarahan Perdana A. Kadir Adabi 2021 Siri ke-5, “Kritik Memandaikan Pembaca dan Pengkarya Sastera” yang dimudahcarakan oleh pengarang, Rosli K. Matari menerusi laman Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka, pagi tadi.

Sohaimi berkata, kritikan sastera merupakan sejenis tulisan yang menganalisis dan melakukan apresiasi yang mendalam tentang karya sastera oleh mereka yang pakar. Kaedah penulisannya berasaskan prinsip tertentu dan perlu dipelajari.

Katanya, kritikan sastera berbeza daripada ulasan buku walaupun ada juga ulasan buku yang baik dan boleh dikategorikan sebagai kritikan.

“Umumnya, kritikan sastera ini ditemui dalam jurnal, buku dan majalah. Kritikan sastera digunakan sebagai sebahagian wahana memandaikan bangsa.

“Menerusinya, sesebuah karya itu dibedah dengan sebaiknya dan meletakkan satu standard kepada pembaca juga pengarang untuk dicapai.

“Ia juga membolehkan pembaca dan pengarang memilih karya sastera bermutu untuk dibaca, sekali gus menjadikan individu itu lebih menikmati karya dan menghargainya,” katanya.

Malah tegas beliau, sebagai pengarang kritikan sastera juga mampu menguatkan kreativiti yang kemudiannya mencetuskan idea untuk menghasilkan karya yang baharu.

Sohaimi berpandangan kritikan sastera juga seharusnya memberi pemahaman yang komprehensif, sistematik dan objektif. Genre ini juga berperanan untuk mengajak pembaca berfikir dan merenung mengenai karya berkenaan.

“Ia juga berfungsi memberi pertimbangan kepada pembaca mengenai kelemahan juga kekuatan karya. Menerusinya juga, pembaca mendapat informasi yang lebih terperinci,” katanya.

Tonton syarahan penuh di sini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi