Oleh S.M. Zakir
7 September 2021, 08:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

S.M. Zakir mengikatkan cerpen “Dunia adalah Sebuah Apartmen”, konsep Panopticon dan Orwellian, serta filem The Matrix untuk menampilkan perkara yang mungkin dan akan terjadi selepas norma COVID-19.

Pasca COVID-19 dilihat akan membawa naratif baharu kosmopolitan. Sistem perlahan-lahan runtuh, dan menumbuhkan anomi, iaitu penyimpangan normal atau keruntuhan etika ke arah kecelaruan, dan mendekati anarki.

Ketika cerpen “Dunia adalah Sebuah Apartmen” Anwar Ridhwan diterbitkan dalam Dewan Sastera Mac 1973, apa yang disaksikan dari mata kasar ialah gambaran kehidupan kosmopolitan yang dijustifikasikan secara negatif melalui kehidupan yang melanggar susila. Tetapi dari sudut yang lain, dapat dilihat dunia itu terbentuk seakan-akan sebuah apartmen; iaitu sebuah kehidupan yang tersusun berkotak-kotak dengan rapi, akur dan patuh. Lebih daripada itu, ia seperti dikawal oleh struktur sistem yang ketat. Sepertimana yang dibayangkan oleh Agnes dalam kata-katanya, “Hidup di apartmen bertingkat-tingkat ini tidak ubah bagai hidup di dalam penjara, tetapi adalah baik dari hidup penuh angan-angan tanpa peraturan.”

Di sini, ia memperlihatkan sistem yang mengawal kehidupan manusia. Bagaimana jika kita melihat bahawa pergerakan manusia diperhatikan dari menara pengawal oleh pengawal yang tidak kelihatan. Pada peringkat kedua, subjek dibentuk untuk mengikut norma yang ditetapkan dalam sistem melalui pendidikan, kerjaya dan pergaulan sosial. Peringkat akhir ialah pemeriksaan, yakni subjek diberitahu tentang status mereka dan apa yang patut mereka lakukan untuk mengekalkan mereka sebagai warga yang “sihat”. Pemberitahuan ini bukan dilakukan secara langsung tetapi melalui kempen, malah propaganda yang dipantakkan saban hari.

Kiasan ini sebenarnya muncul daripada pemikiran Jeremy Bentham yang kemudian dikembangkan oleh Michel Foucault yang membangunkan konsep Panopticon. Tidak aneh sebenarnya untuk melihat reka bentuk yang dikemukakan oleh Bentham tentang masyarakat di bawah kawalan negara bersifat bangunan yang diawasi oleh menara peninjau yang melihat semua pergerakan subjek dalam perimeter yang dikuasai. Hal ini kerana, tulisan Bentham yang mengagumi Revolusi Perancis sejak awal lagi menyatakan “semua undang-undang berniat jahat, kerana semua undang-undang melanggar kebebasan”.

Sementara Foucault mengembangkan konsep Panopticon dengan melihat sikap kekuasaan yang mengatur segala-galanya untuk dipatuhi. Panopticon berbentuk sistem yang bergerak dalam aturan tetap, dan mempunyai kaedah yang tersendiri dalam mendapatkan kepatuhan. Sebagai contoh, penghuni sebuah apartmen perlu mempunyai pas untuk keluar masuk, tanpa pas mereka tidak boleh keluar masuk. Untuk mendapatkan pas mereka perlu mengikut peraturan lain, seperti membayar yuran penyelenggaraan setiap bulan. Maka, setiap peraturan berkaitan dengan peraturan lain memerlukan mereka bekerja untuk mematuhinya. Hal ini memperlihatkan tentang kawalan, normalisasi dan pemeriksaan tidak kelihatan atau halimunan yang berupa sistem.

Apa yang dibawa oleh Bentham dan kemudian Foucault berada sebilik dengan fikiran Orwellian, yang melihat sistem sebagai kekuasaan fundamental yang bersifat drakonian. Apabila filem The Matrix oleh adik-beradik Wachowski yang diterbitkan pada tahun 1999, penampilannya kekal membawakan sisi pandang Orwellian, namun melihat daripada medium yang berbeza, yakni peralihan kepada dunia simulacrum. Watak utamanya, Neo, difahamkan bahawa The Matrix ialah sistem, dan sistem itu musuh. Manusia-manusia bergerak dan bekerja dalam keterikatan dengan sistem lalu perlu disedarkan akan penindasan sistem, namun pada masa yang sama, mereka juga merupakan sebahagian daripada sistem. Sebahagian besar daripada mereka bergantung sepenuhnya pada sistem sehingga dilumpuhkan daripada melihat kebenaran di luar sistem. The Matrix masih berupa sebuah naratif penentangan terhadap sistem.

Doktrin dan aliran terhadap sistem dan kekuasaan ini merujuk dunia kosmopolitan, yang mengisi kehidupan kosmopolitan. Ya, dunia sebuah apartmen itu. Namun, pandemik COVID-19 telah mengubah sisi pandang yang melihat sistem sebagai musuh. Sistem yang dilihat sebagai berkuasa telah runtuh. Perimeter kawalan pecah dan individu bercelidaran menanggung nasibnya sendiri. Pasca COVID-19 dilihat akan membawa naratif baharu kosmopolitan. Sistem perlahan-lahan runtuh, dan menumbuhkan anomi, iaitu penyimpangan normal atau keruntuhan etika ke arah kecelaruan, dan mendekati anarki. Anomi ini ialah media sosial, sebuah ruang keruntuhan etika masyarakat yang menyerang apa-apa sahaja, kerana setiap individu bebas menyatakan pandangan di ruang awam – tanpa kejelasan benar atau salah. Anomi media sosial ini melahirkan apa yang dikatakan sebagai nation of naysayers.

Era pasca COVID-19 akan melahirkan sebuah kosmopolitan yang baharu. Era ini bukan lagi sebuah kosmopolitan yang dicengkam oleh kekuasaan sistem, tetapi kosmopolitan yang bercelaru dengan keruntuhan etika dalam gelombang media sosial yang tidak terkawal. Masyarakat menjadi terlalu cerdik dalam kedunguan mereka. Sisi pandang Orwellian dan Panopticon tidak lagi terpakai. Fenomena ini mungkin mengulangi sejarah pasca Revolusi Perancis yang menyaksikan anarki rakyat yang bingung oleh politik para reformis daripada kaum Parisan-Jacobin. Akhirnya, bersilih ganti kehilangan kepala di gilotin. Pasca COVID-19 ialah pasca Revolusi Perancis dalam wajah dan karakter yang baharu. Individu tidak kehilangan kepalanya di gilotin tetapi di media sosial.

Maka ketika itu, masyarakat akan memikirkan kembali tentang perlunya sistem dan kekuasaan sekukuh 1984 George Orwell, atau setidak-tidak merindukan dunia yang didambakan oleh Agnes, “Hidup di apartmen bertingkat-tingkat ini tidak ubah bagai hidup di dalam penjara, tetapi adalah baik dari hidup penuh angan-angan (keruntuhan etika) tanpa peraturan.” Kita akhirnya mungkin akan memilih “dunia sebuah apartmen” yang dikawal oleh sistem Panopticon yang kukuh daripada bercelidaran di dunia Neo yang menerobos dalam doket-doket jaringan maya untuk menghancurkan The Matrix dalam kosmopolitan pasca COVID-19.

Cerpen “Dunia adalah Sebuah Apartmen” tinggal di kumpulan cerpen Parasit dan Sesudah Perang. Jika berminat untuk berkunjung, beli di sini.

_________________________

S.M. Zakir atau nama penuhnya Syed Mohd Zakir bin Syed Othman dilahirkan pada 4 Februari 1969 di Kota Bharu, Kelantan. Beliau memulakan kerjaya dalam industri media sebelum menjadi penulis sepenuh masa pada tahun 2000. Sepanjang berkarya, S.M. Zakir telah menerima banyak hadiah dan anugerah sastera, seperti Hadiah Sastera Malaysia 1994/1995 bagi kumpulan cerpen Merengkuh Langit (DBP, 1995) dan Anugerah Sastera Negeri Kelantan bagi kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibrail (Pustaka Nusa, 2001), selain Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil, Hadiah Sastera DBP-Maybank, Hadiah Sastera 100 tahun Kuala Lumpur DBP-DBPKL, Hadiah Formula Malaysia, dan Anugerah GAFIM (kritikan filem). Beliau juga telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Muda Mastera 2010 dan penerima SEA Write Awards (Malaysia) 2011.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi