4 September 2021, 21:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sebilangan pihak akan bersetuju dengan kemerdekaan yang didefinisikan oleh Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan bahawa kemerdekaan yang diangkat dan diwacanakan secara umum biasanya merupakan kemerdekaan politik. Dalam hal ini, wujudnya satu kuasa besar yang menjajah satu wilayah, dan kegiatan anak watan yang berjuang membebaskan wilayah mereka daripada cengkaman kuasa penjajahan itu. Namun begitu, Anwar Ridhwan lebih cenderung untuk melihat sebuah kemerdekaan sebenar dalam kehidupan manusia yang lebih rumit, dan perjalanannya memakan tempoh yang sangat panjang dan berterusan.

Sastera dan kemerdekaan kadang-kadang dilihat sebagai entiti yang rapat dan bergerak sama, namun dari sudut perspektif lain pula, ada polemik yang berbeza rona, pemikiran dan kegiatannya, yang memainkan peranan menentukan titik temu antara unsur kesusateraan dengan kemerdekaan.

Siri Wacana PENA minggu kelapan kali ini melalui tajuk “Sastera dan Kemerdekaan, Di Mana Titik Pertemuan?” membincangkan hal ini, dengan dua panel undangan, SN Dato’ Dr. Anwar Ridhan, penerima SEA Write Award Datuk Jasni Matlani, dan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad sebagai panel tetap. Wacana ini dikendalikan oleh Mohd Khair Ngadiron.

Seterusnya, Saleeh Rahamad memberikan respons terhadap pendapat Anwar tentang kemerdekaan dengan menganggap bahawa dari sudut falsafah, manusia boleh memegang rasa kemerdekaan apabila mereka berjaya mengungkapkan kebenaran mutlak, seperti berani untuk bersikap berani tanpa rasa takut pada undang-undang, sekatan ekonomi dan kekangan sosial.

Menurut Jasni Matlani pula, sastera memang mempunyai peranan besar dalam kemerdekaan, melihat sejarah prakemerdekaan, ranah penulisan ketika itu banyak memainkan peran untuk menyuarakan semangat patriotik dan cinta kebangsaan kepada khalayak.

“Cuma pelaksanaannya hari ini sedikit terkekang. Malaysia mempunyai rutin tahunan, rutin untuk menulis dengan tema kemerdekaan hanya apabila tiba pada satu musim yang tertentu, iaitu musim kemerdekaan,” tambah Jasni.

Saleeh juga bersetuju dengan perkaitan antara sastera dengan merdeka. Dengan menginjak semula ke ranah tradisional, katanya, “Kegiatan penulis untuk berkarya dengan sifat kemerdekaan sudah muncul sejak dahulu. Sastera tradisional mempunyai karya yang dihasilkan dengan sangat halus untuk mengkritik, yang ketika itu ialah  zaman feudal.

“Naskhah yang dihasilkan ketika itu menampakkan pemikiran feudalisme yang masih pekat. Namun, pengarangnya berhati-hati untuk menyampaikan ideologi melawan feudal. Kekangan ini juga sebenarnya menghasilkan satu stimulus atau perangsang untuk penulis menghasilkan karya yang lebih berstrategi. Itulah sebab lahirnya karya yang menyembunyikan perlawanan terhadap feudal,” sambung Saleeh.

Bagi membesarkan lagi ranah wacana, Anwar Ridhwan mengaitkan kemerdekaan dan sastera sebagai dua unsur yang tidak bertemu, “Kemerdekaan ini bersifat panjang, kerana ia tidak melibatkan politik semata-mata, Ia luas, untuk mencari sukma, mencari keberanian, hala dan arah tuju masa depan kita, kerana ia adalah satu perjalanan, bukan destinasi.”

Menerusi wacana ini, Anwar mengatakan yang memang wujud kegiatan sasterawan berkarya dengan hasrat negara yang akan merdeka. Namun beliau menegaskan, kedua-dua unsur ini bergerak selari namun tidak bertemu.

Merdeka politik telah dicapai pada 31 Ogos, namun kemerdekaan untuk penulis adalah dengan melihat maslahat umat dijaga oleh pemimpin dan pentadbir setelah peristiwa kemerdekaan 31 Ogos itu, yang beliau anggap sebagai kegiatan penghasilan naskhah sastera untuk mengisi kemerdekaan.

Bagi Saleeh pula, pemikiran sastera selepas merdeka bercambah tinggi dalam kalangan masyarakat Malaysia yang mula membuka peluang rakyatnya untuk menuntut di menara gading.

“Banyak sasterawan kontemporari sekarang juga sudah menghasilkan karya dengan pengisian kemerdekaan, tapi bukan untuk merdeka daripada penjajah. Mereka menghasilkan karya yang berisi kemerdekaan pemikiran, untuk merdeka daripada penjajahan minda, dalam bentuk perlawanan budaya. Hal ini dapat ditemui dalam karya Rebecca Ilham, Ruhaini Matdarin, Sri Rahayu, dan ramai lagi,” ujar Saleeh.

Bgainya. itulah pentingnya sistem pendidikan negara. Sebelum merdeka dan awal merdeka, pendidikan sastera ketika itu meluas, melahirkan banyak bakat dan tukang sastera yang hebat, dan kebanyakannya berasal dari luar bandar. Mereka menjadikan isu-isu kemanusiaan, seperti kekurangan kemudahan dan kelemahan negara diangkat melalui sastera. Anwar Ridhwan menanggap, itu sebabnya pengisian kemerdekaan menjadi satu isu yang sangat rapat dengan sastera dalam ranah pascakemerdekaan.

“Setelah pendidikan negara kita berkembang, kita melihat pergerakan pendidikan berubah, memisahkan secara terang antara bidang humanis dengan bidang sains, sekali gus memisahkan bidang sastera dengan bidang sains.” ujar Anwar.

Jasni Matlani menghidangkan sebuah solusi jangka masa panjang untuk menyuburkan semangat sastera yang merdeka pada khalayak. Beliau menekan kepentingan peranan pentadbir yang memegang polisi dalam perkembangan bahasa dan sastera negara, namun tidaklah bergantung pada mereka sahaja untuk memulakan langkah. Sebaliknya, karyawan dan sasterawan juga perlu memainkan peranan untuk berkarya dengan gagasan merdeka yang berani.

“Penulis menulis bukan untuk menyelesaikan masalah, tapi untuk menyuarakan rasa hati supaya kekhuatiran mereka dapat disampaikan kepada khalayak ramai dan mereka yang boleh merubah polisi,” ujar Jasni.

Tonton wacana penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.