3 September 2021, 19:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail ialah seniman, karyawan dan budayawan yang sering menyimpan rahsia di balik lapis-lapis makna bicara penanya. Beliau yang lahir di Gombak, Kuala Lumpur menyaksikan satu persatu pembangunan Kuala Lumpur yang berlaku begitu pesat di antara bukit Ulu Klang dan Batu Cave, sehingga sejarah seni budaya setempat kini hanya tinggal kenangan.

Suara hati dan kesayuan itu sering diluahkan dalam karya-karyanya. Nukilannya umpama ketakutan masa lalu yang dilukis dan ditumpahkan di atas kanvas penulisan yang mengandungi sejuta cerita dan pelbagai rasa. Siti Zainon juga antara penulis wanita yang kuat memperjuangkan citra wanita dalam karyanya. Justeru, membaca karya-karyanya umpama membaca masa silam, perjalanan kecendekiawan pemikirannya, penerokaan dan penjelajahannya di serata tempat dan dunia.

Sebagai ahli akademik, penyelidikan yang pernah dilakukan oleh beliau juga sering menjadi pengikat idea yang kuat untuk terus melahirkan karya-karya yang tinggi falsafah dan pemikiran. Kini, sekali lagi atas sumbangan beliau dalam bidang sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan sebuah buku kumpulan cerpen terbaharunya, Bukit Jingga Sakti.

Buku ini ialah hasil cantuman terpilih 30 buah cerpen yang terkandung dalam kumpulan cerpen Seri Padma (DBP, 1984), Bunga Putik Putih (DBP, 1991) dan Jurai Palma (DBP, 2001). Siti Zainon berkongsi pengalaman dan proses penghasilan cerpen-cerpenya ini dalam Program Bicara Karya Siri 2 bersempena dengan program Dekad Membaca Kebangsaan yang dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor pada 27 Ogos yang lalu.

“Apabila keluar membuat penyelidikan, kita diransang oleh alam. Saat melihat sesuatu keadaan, otak saya sering ‘terpecal-pecal’. Idea yang datang bersaing antara melukis dengan menulis.

“Gabungan visual dan tekstual sangat penting, oleh kerana itu ada karya-karya saya disertakan dengan lukisan, kerana idea yang paling cepat untuk saya gambarkan tentang sesuatu yang dilihat, adalah melukis,” ujar Siti Zainon.

Menurut beliau lagi, Bukit Jingga Sakti ialah himpunan karya bertema alam sekitar. “Anehnya, apabila mereka datang lagi ke kawasan perbukitan, bukit batu dipugar, naik papan tanda projek perumahan, projek besar LRT dan kondominium mewah, malah nama profesor mereka ikut dicatat di papan iklan pembangunan sebagai salah seorang pakar perunding,” ujarnya lagi.

Selain itu, Siti Zainon turut mengongsikan pengalaman penyelidikannya melalui naskhah manuskrip lalu diangkat menjadi karya bernuansa perjuangan wanita yang kuat jiwa dan mandiri, tetapi tetap penuh kelembutan, halus pekerti dan bijak. Misalnya, kisah Laksamana Laut Kesultanan Acheh Malahayati, perjuangan Ibu Kartika Affandi (1934) dalam cerpennya Atika, Sahabat Kami”, “Rimbun Jenjarum” kisah gaya hidup pelukis wanita bebas, “Daun Maple Akhirdengan latar Australia, dan Meena Pelangi”, juga berlatar antarabangsa (London) tentang adunan kisah realiti dan imaginasi pengumpul batik dan penari Jawa.

Ternyata, Siti Zainon tidak dapat meninggalkan ciri-ciri budayawannya kerana kesempatan setiap pengalamannya pasti diselitkan dalam karyanya. Kata Siti Zainon juga, karya-karyanya yang terlahir itu sering muncul di celah-celah keletihan.

Nisah Haron selaku moderator program turut membacakan cerpen Siti Zainon dari halaman tertentu, dalam sela beberapa minit sebagai promosi kepada pembaca, terutama khalayak yang belum sempat menikmati buah tangan Siti Zainon Ismail itu.

Beli kumpulan cerpen ini di sini. Tonton bual bicara buku ini di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.