Oleh Puteri Samraa
2 September 2021, 20:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam Walaupun hanya dilangsungkan secara tertutup melalui pelantar Zoom, persembahan barisan johan deklamasi puisi yang ditampilkan dalam majlis ini umpama sebuah pentas yang gah dan berprestij. Begitulah acara Malam Baca Puisi Senandung Merdeka yang dianjurkan oleh Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI) bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-64. Memilih tarikh 31 Ogos 2021, KEMUDI menampilkan 31 deklamator dari seluruh Malaysia, termasuk seorang yang berada di Tanah Besar China untuk sama-sama meraikan sambutan hari bersejarah buat rakyat Malaysia ini.

Majlis menampilkan nama-nama besar seperti Sasterawan Negara Dato’ Dr. Zurinah Hassan, Ainun Nasibah (Johan Deklamasi Sajak 64 Tahun Merdeka Tourism Perak 2021), Noorhisyam Razali (Johan Sayembara Deklamasi Puisi Selangor 2021), Perindu Seni atau PWI YOS Marzelan Md Jusoh (Johan Sayembara Deklamasi Puisi Angkatan Tentera Malaysia 2021), Che Su Deraman, Dayana Chacho, dan Lim Ah Nee.

Turut serta dalam acara ini ialah Adrine Sapari dari Pahang; [email protected] Zain dari Terengganu; Toh Chee Leong, Norulhuda Omar dan Oui Bin Sal dari Kelantan; Hanna Aleesya dan anak muridnya, Liu Xiyue dari Tanah Besar China; Noor Halizawati dari Kedah; Hilmi [email protected] Smile, Nur Fatihah LB Abdullah, dan Nurirfiney E Hairoland Fredo dari Sabah.

Tidak ketinggalan, acara ini turut disertai oleh Romaini Mustafa, Khadijah Ishak, Hafizan Jamal, Norasmah Mohd Basri, Muhammad Amir Akil, Azamin Itam, Ahmad Harun, Muhammad Saufi, Aya Rohaiyah, Prof [email protected] Wahid Abdul Halim, Rozita Mohamed Baki, Dr. Zainatul Shuhaida Abdull Rahman (pensyarah UiTM Puncak Alam), para ahli Toastmaster, Siti Nur [email protected] Merah, dan jawatankuasa KEMUDI, iaitu Abdul Hamid [email protected] Jebat, Jazlan Abdul Jalil (Bendahari KEMUDI), Nurul Syahida Hassan (Setiausaha KEMUDI), dan Haidzir Sham Masngat. Turut menyumbangkan video persembahan ialah peserta cilik, Jevien a/l Jayakumar dan Noor Iman Nor Azad. Persembahan penutup merupakan dendangan syair oleh Haidzir Sham berjudul “Hidup Berbakti” nukilan beliau sendiri.

Majlis ini merupakan program di bawah Biro Pembangunan Penulis Muda yang diketuai oleh Hj. Ismail Supandi. Acara bermula pada jam 9.00 malam dan berakhir pada jam 1.00 pagi. Dua orang pengacara, Harlym Yeo dan Zie Ismail telah menghidupkan Malam Baca Puisi dengan jayanya dan mewujudkan suasana yang santai. Program ini dibahagikan kepada lima segmen, dan dalam setiap segmen, persembahannya dibuat secara langsung oleh deklamator yang terlibat atau dirakam dahulu lalu diberikan awal kepada penganjur. Sebanyak 21 buah video rakaman diterima dan diputarkan.

Majlis ini bertujuan untuk menyemarakkan jiwa merdeka dan meraikan kemerdekaan negara selama 64 tahun. Keharmonian bangsa dapat dilihat apabila program ini disertai oleh tiga etnik terbesar Malaysia, iaitu Melayu, Cina dan India. Para penggiat sastera yang terlibat menyatakan hasrat mereka untuk meneruskan acara sebegini bagi melahirkan rasa cinta akan negara, terutamanya buat generasi muda.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi