Oleh Rem Dambul
31 Ogos 2021, 08:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kolumnis Rem Dambul mengambil iktibar daripada perkembangan apresisasi sains demi mencari jalan tengah susastera agar dapat diapresiasikan dengan lebih adil.

Ada ramai yang berkemahiran tinggi dalam bahasa, tetapi tidak mampu menakluk arena sastera.

Meskipun bahasa dan sastera saling bersinergi dengan intim, namun kedua-duanya sebenarnya sangat berbeza. Bahasa ialah ekspresi dalam sesuatu komunikasi, sama ada secara lisan atau bertulis. Sastera pula ialah inti pati pemikiran dan refleksi sosiobudaya yang teradun dalam ekspresi tersebut. Maksudnya, bahasa ialah komponen asas yang menghasilkan sastera sebagai satu struktur binaan yang lebih bermakna.

Barangkali dalam satu analogi mudah, bahasa boleh dianggap sebagai acuan, manakala sastera pula ialah kandungan isi di dalamnya. Ya, memang benar bahawa seseorang yang menguasai aspek bahasa dengan cemerlang, boleh bersandar pada kelebihan tersebut untuk menghasilkan karya sastera yang lebih bermutu. Tetapi ini bukanlah satu korelasi mandatori.

Malah, ada ramai yang berkemahiran tinggi dalam bahasa, tetapi tidak mampu menakluk arena sastera. Begitu juga, ada ramai penulis yang memiliki daya kesusasteraan unggul, tetapi tidak pun dibekalkan dengan latar ilmu yang tinggi dalam bahasa. Seseorang yang arif tentang acuan kek – sehingga mampu mengenal pasti jenis, bentuk serta semua material loyang tembikar dan logam – tidak semestinya pandai membuat kek yang sedap.

Bahasa hanyalah alat untuk menghasilkan sastera. Kemahiran menggunakan bahasa lebih berciri teknikal dan akademik, yang banyak dipandu oleh logik. Sedangkan sastera pula menuntut ilham seni dan kreativiti, sejenis bakat yang lebih dipandu oleh jiwa nurani. Mengapa saya menimbulkan persoalan ini, dan apakah signifikan dengan situasi persuratan masa kini?

Ramai yang selalu keliru dengan dua cabang berbeza ini. Selalu benar pakar bahasa secara natural dianggap sebagai pakar sastera, dan begitu juga sebaliknya. Kekeliruan-kekeliruan begini sering kali mengundang pelbagai masalah, khususnya yang melibatkan proses penilaian kualiti dan merit kesusasteraan. Namun demikian, jika anomali ini dibangkitkan, ada sesetengah orang akan tersinggung dan makan hati. Kerana pada pemahaman majoriti, sastera dan bahasa bukan sahaja dua item yang amat serasi, bahkan dianggap satu pakej wajib yang tidak boleh dipisahkan.

Mitos sastera yang sebegini turut wujud dalam sains teknologi. Ramai yang tidak cukup pintar untuk membezakan antara sains dan teknologi. Seseorang yang dianggap mahir dalam sains, secara automatik dijulang sebagai pakar teknologi. Begitu juga, ramai yang masih mempercayai bahawa tanpa pengetahuan sains yang mencukupi, seseorang tidak akan mampu mencipta teknologi. Seolah-olah gandingan sains dan teknologi itu terkunci mati dalam satu rantai yang sama. Pun begitu, khilaf perspektif seperti ini dalam kalangan komuniti saintis dan teknologis semakin dapat ditangani.

Sama seperti sastera yang dibina sebagai satu hasil pemikiran dan gagasan idea melalui ekpresi bahasa; teknologi juga dihasilkan sebagai satu produk aplikasi menerusi terjemahan ilmu sains. Maksudnya, bahasa dan sains merupakan alat dan unit asas dalam proses mencipta sastera dan teknologi. Terdapat pertalian yang akrab antara kedua-duanya dalam konteks masing-masing. Pun begitu, merit sastera atau teknologi tidak semestinya wajib disokong oleh penguasaan maha terbilang dalam bahasa atau sains. Inilah mitos kefahaman yang songsang.

Dengan mengambil kira kewujudan isu yang setara meskipun konteksnya berbeza, sepatutnya juga dibuat pemisahan yang jelas antara elemen bahasa dengan merit susastera. Tetapi persoalannya, adakah komuniti sastera bersedia untuk menawarkan pendekatan yang mesra dan terbuka seperti aktivis sains?

Terdapat banyak teknologi unggul yang dicipta oleh komuniti tradisional di Nusantara, sungguhpun mereka tidak pernah didedahkan dengan ilmu sains. Sebagai contohnya, generasi orang-orang tua dahulu tidak pun memahami konsep sirkulasi atmosfera dan kelembapan udara. Tetapi mereka mampu meramalkan kitaran musim dan kedatangan hujan dengan hanya mencerap perubahan angin di persekitaran. Mereka juga mencipta alat bajak yang efektif, walaupun cuma dioperasikan oleh seekor kerbau. Sedangkan mereka tidak pernah hadam secara tuntas hukum-hukum fizik dan teori-teori gerakan mekanikal.

Mengambil asas kefahaman ini, maka dalam ekosistem sains teknologi negara, kedua-dua bidang mula diberi perhatian secara unik dan tersendiri. Aspek teknologi dan sains tidak lagi disalah tanggap sebagai kembar siam yang mesti sentiasa wujud bersama. Oleh sebab itu, anugerah ahli sains dan ahli teknologi negara dinilai dengan kriteria yang berbeza. Bidang sains berfokus pada pengembangan hukum dan teori, manakala teknologi diberatkan pada nilai aplikasi dan impak kepada pengguna. Turut diperkenalkan ialah konsep teknologi akar umbi yang merujuk ciptaan-ciptaan yang dihasilkan oleh orang awam yang tidak berlatarbelakangkan sains. Termasuk dalam kelompok ini ialah masyarakat desa yang meneroka daya cipta berasaskan teknologi tradisional, tanpa bergantung pada sebarang pendidikan formal dalam bidang sains.

Bagaimana pula dengan dunia sastera? Dengan mengambil kira kewujudan isu yang setara meskipun konteksnya berbeza, sepatutnya juga dibuat pemisahan yang jelas antara elemen bahasa dengan merit susastera. Tetapi persoalannya, adakah komuniti sastera bersedia untuk menawarkan pendekatan yang mesra dan terbuka seperti aktivis sains? Atau adakah status quo masih tebal menjangkiti mentaliti?

Bersabit hal ini, saya berpandangan bahawa bagi aspek bahasa, kita boleh meletak kepersisan nahu, pemilihan kosa kata dan implikasi semantik sebagai teras tanda sukat. Tetapi jika menilai sastera sebagai satu produk gunaan daripada bahasa, maka pertimbangannya wajib didasari oleh kualiti pemikiran dan gagasan idea yang mampu ditawarkan kepada pembaca.

Sayang sekali, ketaasuban terhadap aspek bahasa masih meraja dewata. Justeru, ada banyak karya yang dihasilkan oleh penulis-penulis hiliran tersingkir secara sistematik daripada proses penilaian pelbagai anugerah sastera pada skala negeri dan kebangsaan. Prejudis dan stigma terinstitusi secara terang, tetapi cuba disembunyikan dengan bermacam alasan. Kerancuan bahasa dijadikan salah satu hujah utama. Sama ada justifikasi tersebut wajar atau tidak, akhirnya ia tetap berjaya meminggirkan generasi persuratan indie menjadi kelompok marginal.

Teknologi yang bagus dan berimpak tinggi kepada pengguna, sekalipun agak lemah dari segi asas sains, masih dianggap sebagai ciptaan produk yang berkualiti. Kerana mesej yang mahu disampaikan, sains hanyalah perantara dan medium. Ya, kemahiran tinggi dalam bidang ini boleh membantu menghasilkan teknologi yang lebih cemerlang. Tetapi bukan bermakna kita harus meminggirkan teknologi-teknologi yang telah pun diterima dan diguna pakai secara meluas oleh masyarakat, hanya kerana ia tidak disokong oleh asas sains yang sempurna.

Bolehkah pendekatan yang serupa dimasyhurkan dalam ekosistem sastera? Pandangan ini bukan menidakkan secara total faktor bahasa. Ya, saya setuju bahawa satu tahap penguasaan bahasa yang munasabah harus dipenuhi terlebih dahulu, dan bukanlah dibiarkan semberono secara melulu. Tetapi keterikatan pada nilai-nilai gramatis bahasa yang syumul haruslah diringankan. Tujahan prioriti mesti diberikan kepada impak gagasan yang dipersembahkan dalam karya sastera. Salah satu kayu ukur pada “impak gagasan” ini boleh disandarkan pada tahap capaian dan reaksi pembaca. Dalam kalangan generasi milenia baharu, saya fikir karya-karya kreatif indie amat berjaya menatar budaya cinta sastera yang tulen, konsisten dan benar-benar semarak.

Merobohkan mitos ini menuntut iltizam kebersamaan yang tinggi, dalam seluruh ahli komuniti sastera. Sikap terlalu sentimental pada warisan-warisan dogma masa lalu perlu dikikis. Kita perlu terbuka pada tanggapan-tanggapan baharu yang mampu meluaskan ranah sastera negara. Kenapa kita mesti memilih jumud dan pegun; seribu jong masuk kuala, masihkah anjing bercawat ekor?

_________________________

Rem Dambul atau nama sebenarnya Ramzah Dambul (Dr.) ialah seorang sarjana bidang sains atmosfera; yang gemar berpuisi, melukis dan berfantasi. Dalam dunia utopia, dia seekor murai sastera yang selalu berkicau di perbatasan sains. Antara karya bukunya termasuklah kumpulan puisi Alien Menchari Chinta (ITBM, 2012; Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012/2013), Deja Vu Cinta Pencari Katarsis (ITBM, 2014), Dari Cinta kepada Cinta (ITBM, 2015), dan memoir perjalanan Bukan Travelog Haji di Bumi Anbia (Studio Anai Anai, 2017).

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi