28 Ogos 2021, 18:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Terengganu 2021 yang berlangsung pada 28 Ogos 2021 telah menobatkan Shaifuldhari Abu Bakar sebagai juara, sekali gus menerima wang sebanyak RM1000. Beliau yang mendeklamasikan sajak berjudul “Apakah Masih Gelintar” karya Amiruddin Ali telah menambat hati panel juri sayembara ini.

Shaifuldhari yang berasal dan menetap di Kuala Terengganu, telah bergiat dalam teater di bumi Darul Iman sejak tahun 1999. Beliau mengetepikan cabaran 11 orang peserta yang lain. Juri sayembara pada kali ini diketuai oleh Encik Abdul Mubin Ismail, Ketua Dua Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA), manakala dua orang juri lagi, iaitu Encik Syed Mohd Noor Tuan Long (SM Noor), Sasterawan Negeri Terengganu dan Encik Wan Zulkifli Wan Yaakob, bekas wartawan Utusan Malaysia.

Sayembara ini yang julung kali dilangsungkan secara dalam talian menyaksikan Nor Atiekah Hidayah Hussain yang menyampaikan sajak “Citra Jiwa Merdeka” karya Abdul Karim Gullam mendapat tempat kedua dan tempat ketiga pula disandang oleh Siti Nur Sharmiela Ayob yang turut mendeklamasikan sajak yang sama. Masing-masing menerima wang sebanyak RM700 dan RM500.


Shaifuldhari Abu Bakar.
Nor Atiekah Hidayah Hussain.
Siti Nur Sharmiela Ayob.

Sagu hati pertandingan pula menerima wang sebanyak RM200 setiap seorang yang dimenangi oleh Nik Amierah Noor Umairah Maroof, Nurul Ilyani Abdullah dan Nik Amierah Noor Aisyah Maroof.

Program yang dianjurkan oleh PELITA dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) ini telah disempurnakan oleh Encik Mohd Azam Juhari, Pengarah DBPWT. Dalam ucapannya, Encik Mohd Azam menyeru agar para peserta sentiasa berusaha gigih menyertai mana-mana bengkel deklamasi puisi untuk meningkatkan kualiti dan penyampaian puisi.

Encik Mohd Azam Juhari, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT).

Encik Abdul Mubin ternyata berpuas hati dengan persembahan semua peserta yang mengambil bahagian. Dalam ulasannya, beliau menekankan agar para peserta dapat meningkatkan penguasaan dalam mendeklamasikan puisi terutamanya ketika meletakkan nada yang bertepatan dengan sajak, menampilkan artikulasi yang lebih jelas, mengenakan jeda yang betul dan intonasi yang pelbagai supaya penghayatan yang lebih jitu dan makna sajak lebih “sampai” kepada pendengar.

Tegas beliau lagi, bahasa tubuh pula hendaklah selari dengan makna atau perkataan sajak yang dilafazkan. Beliau mengingatkan pendeklamasi yang terpilih mewakili negeri Terengganu nanti supaya lebih bersedia dan berusaha dengan gigih agar dapat meningkatkan penghayatan dan juga mutu persembahan seterusnya dapat bersaing dengan peserta yang lain.

Ketua Satu PELITA, Encik Kamarulzaman Ismail mengucapkan terima kasih kepada DBPWT sebagai peneraju utama program dan GAPENA yang sentiasa membantu PELITA dalam memastikan setiap program sayembara puisi peringkat negeri Terengganu ini berjalan lancar.

Tambah beliau lagi, pihak PELITA akan berusaha untuk mengekalkan pelaksanaan bengkel deklamasi sebelum setiap sayembara diadakan untuk membimbing dan meningkatkan kualiti penyampaian peserta dengan mengundang tokoh pendeklamasi sajak terkenal tanah air.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.