Oleh Adib MN
28 Ogos 2021, 07:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Beijing – Ketika industri buku mengharapkan cahaya di hujung terowong selepas melalui kegelapan sepanjang tahun lalu akibat pandemik COVID-19 untuk menyaksikan acara perbukuan diadakan kembali termasuk di China pada tahun ini, rupa-rupanya gelombang baharu virus corona varian Delta memadamkan harapan itu.

Pameran Buku Antarabangsa Beijing (BIBF) Ke-27 yang dijadualkan bermula 25 Ogos lalu, terpaksa ditunda kepada tarikh yang belum ditentukan berdasarkan notis ringkas di laman web rasminya.

China yang sebelum ini berjaya mengekang penularan wabak itu selepas ia merebak keluar daripada Wuhan, kembali bergelut dengan gelombang terbaharu COVID-19 sejak beberapa bulan ini.

Varian baharu Delta yang menular dengan lebih pantas, mula dikesan di Nanjing, Jiangsu yang menyebabkan destinasi pelancongan dan kebudayaan tidak dibuka serta sempadan ditutup tetapi ia tetap merebak hingga kini membabitkan 10 wilayah.

Sebelum ini, BIBF dirancang bukan sahaja membenarkan kehadiran peserta dan pengunjung secara fizikal, bahkan menggabungkannya secara digital dengan menawarkan acara seperti forum, seminar, pertemuan bersemuka dan program lain.

Paling menarik, BIBF edisi ini dirancang untuk menggunakan teknologi SMART!Assistant bagi membolehkan penerbit antarabangsa yang tidak dapat melakukan perjalanan keluar dari negara mereka untuk menampilkan buku terbitan mereka untuk pasaran China.

Penganjur juga sebelum ini merancang untuk memperluas penggunaan perkhidmatan dalam talian SMART!BIBF yang menawarkan akses berterusan kepada penerbit selama setahun selepas pameran buku. SMART!BIBF yang dilancarkan pada tahun lalu, dikatakan menarik lebih daripada 1400 penerbit, termasuk hampir 600 penerbit dan institusi di negara itu sendiri.

Situasi terbaru COVID-19 ini tentunya merencatkan perkembangan positif tahun-ke-tahun yang ditunjukkan dalam separuh pertama 2021 apabila merekodkan peningkatan 11.45 peratus.

Menurut Publishing Perspectives, saluran kedai buku fizikal mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 51.83 peratus tahun-ke-tahun untuk separuh pertama 2021, meskipun ia turut menyebabkan penurunan ketara jualan buku dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Dalam tempoh sama juga, kedai buku dalam talian mengekalkan peningkatan positif meskipun dengan kadar yang rendah, iaitu 3.06 peratus.

Untuk rekod, buku kanak-kanak secara tradisinya masih merangkumi segmen terbesar jualan buku meskipun jualannya menurun sedikit, iaitu pada kadar 3.21 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. Menurut Publishing Perspectives, peningkatan mendadak pada tahun lalu disebabkan ibu bapa membuat pembelian buku sebagai bahan bacaan untuk anak-anak mereka ketika perintah berkurung yang ketat dilaksanakan, selain pembelajaran di rumah.

Bagaimanapun, peningkatan jualan buku dalam genre undang-undang, budaya akademik dan ideologi berlaku, manakala genre popular, karya sastera serta seni pula merekodkan penurunan.

Sebalik penangguhan BIBF edisi tahun ini dan kesan varian Delta terhadap industri buku yang belum dapat diunjurkan lagi, tentunya penggiat dan pemain industri terbabit mengharapkan penularan ini tidak sampai membawa kegawatan yang kritikal.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.