28 Ogos 2021, 06:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mohd Shukrey Ahmad menemui nilai pendidikan Islam dan nilai murni yang positif dalam Koleksi Cerita Siti, siri buku puisi kanak-kanak oleh Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail yang sesuai untuk pembinaan sahsiah kanak-kanak.

Di samping penerapan unsur keagamaan, karya ini juga mengangkat nilai kebudayaan, seperti busana Melayu, pertanian tradisional, seni lukisan dan cerita rakyat.

Kesusasteraan kanak-kanak sangat penting kepada masyarakat kerana dapat digunakan untuk mendidik sahsiah kanak-kanak yang merupakan generasi penerus pada jati diri bangsa, agama dan negara. Karya sastera kanak-kanak bukan sahaja berperanan memberikan hiburan tetapi juga dapat menyampaikan nasihat dan amanat kepada khalayak pembacanya. Atas besarnya peranan yang dipikul oleh karya sastera kanak-kanak tanah air yang mungkin kelihatan remeh dan kecil bagi sesetengah orang, karyanya perlulah diolah dengan nilai dan ilmu yang sesuai, seperti berpandukan al-Quran dan hadis, supaya kanak-kanak yang membaca karya sastera begini akan terbentuk sahsiahnya ke arah Muslim yang sejati.

Hal ini sejajar dengan kenyataan Abdullah Nashih Ulwan dalam Pedoman Pendidikan Anak-anak dalam Islam bahawa kepuasan dalam intelektual perlu berkiblatkan Islam. Kepuasan ini menjelmakan perundangan dan dasar-dasar yang abadi dan boleh menyelamatkan manusia daripada kerosakan individual dan penyimpangan. Oleh sebab itu, dalam usaha pembentukan sebuah masyarakat yang berjaya, mereka perlu diberikan pendidikan yang berasaskan Islam supaya ilmu yang dipelajari selari dengan kebaikan di dunia dan di akhirat.

Disedari, penjualan buku untuk kanak-kanak berunsur Islam juga masih kurang di pasaran jika dibandingkan dengan karya sastera Islam remaja dan umum. Setakat ini, kebanyakan buku kanak-kanak di pasaran tempatan ialah buku cerita import, khususnya dari Eropah. Anak-anak kita mungkin lebih mengenali Peter Pan, Pinocchio, Putera Katak, Puteri Beradu, Puteri Salju dan Tujuh Orang Kerdil, Orang Bunian dan Tukang Kasut, serta Rapunzel daripada buku cerita kanak-kanak tempatan. Namun, perkara yang dibimbangkan ialah nilai-nilai yang dibawa dalam karya import yang mungkin tidak selari dengan norma dan budaya tempatan.

Oleh sebab itu, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka telah berusaha menerbitkan buku puisi kanak-kanak, iaitu Koleksi Cerita Siti yang mempunyai empat judul, iaitu Kebun Rama-rama (2021), Kampung Pulau Kelapa (2021), Rumah Semut Kuala Abai (2021), dan Mimpi Si Ikan Kaloi (2021). Koleksi Cerita Siti yang bercerita dalam bentuk puisi sememangnya bertujuan untuk mendidik pembaca. Hasil penelitian terhadap karya yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara ke-14, iaitu Datuk Dr. Siti Zainon Ismail ini sememangnya telah menerapkan nilai al-Quran yang mampu memberikan bimbingan dan asuhan yang baik kepada pembaca kanak-kanak. Pengolahannya malah menggunakan diksi dan bahasa yang mudah untuk difahami semua. Ditambah pula dengan ilustrasi yang sangat menarik dan berwarna-warni yang mampu membawa pembaca kepada keseronokan serta mempertajam imaginasi kanak-kanak. Di samping penerapan unsur keagamaan, karya ini juga mengangkat nilai kebudayaan, seperti busana Melayu, pertanian tradisional, seni lukisan dan cerita rakyat yang boleh menambahkan lagi pengetahuan pembaca berkaitan kearifan nenek moyang bangsa Melayu.

Surah An-Nahl Ayat 53

Buku pertama Koleksi Cerita Siti ialah Kebun Rama-rama yang mengisahkan kehidupan sejenis serangga iaitu rama-rama yang telah memberikan keceriaan dan kegembiraan kepada kanak-kanak. Pengembaraan seorang kanak-kanak di taman bunga menyaksikan kitaran hidup seekor ulat beluncas dan akhirnya bertukar menjadi rama-rama yang terbang dengan indah. Perkara ini memperlihatkan ciptaan dan aturan daripada Allah SWT, yang merupakan suatu anugerah yang tidak ternilai kepada kehidupan manusia dan seharusnya disyukuri.

Perkara ini juga dinyatakan dalam Surah An-Nahl, ayat 53 sebagaimana terjemahan berikut, “Dan segala nikmat yang ada padamu (datangnya) dari Allah, kemudian apabila kamu ditimpa kesengsaraan, maka kepada-Nyalah kamu meminta pertolongan.” Hal ini jelas difahami bahawa setiap perkara yang diperoleh dalam kehidupan manusia merupakan nikmat rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT, dan hanya kepada-Nya sahaja rasa kesyukuran itu perlu ditunjukkan. Kefahaman untuk selalu bersyukur dan berterima kasih ini telah diterapkan dalam Kebun Rama-rama:

Ada rama-rama ikut datang
Mengikuti Kak Long pulang
Rama-rama menyanyi
Terima kasih rezeki
Daripada Ilahi.

(Kebun Rama-rama, 2021:25)

Rangkap puisi di atas memperlihatkan watak “Kak Long” yang mengucapkan terima kasih kepada Ilahi kerana mendapat rezeki berupa buah-buahan. Kepercayaan bahawa setiap rezeki yang diperoleh merupakan anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya perlu dipadukan dalam diri setiap manusia. Oleh itu, secara tidak langsung puisi ini dapat mengajarkan para pembaca kanak-kanak untuk sentiasa mengucapkan terima kasih apabila mendapat nikmat dan rezeki daripada Allah SWT.

Surah Luqman Ayat 10

Buku kedua Koleksi Cerita Siti ialah Kampung Pulau Kelapa yang mengisahkan kehidupan masyarakat Melayu tradisional yang hidup di persisiran pantai. Buku cerita-puisi ini telah memanfaatkan tanaman serba guna dalam kehidupan masyarakat Melayu, iaitu pokok kelapa. Dengan menampilkan manfaat yang ada pada setiap bahagian pokok tersebut menjadikan kehidupan penduduk lebih sejahtera dan memudahkan aktiviti harian mereka. Perkara ini membuktikan bahawa setiap benda yang telah diciptakan di muka bumi ini sememangnya mempunyai peranan dan manfaatnya yang tersendiri kepada umat manusia. Hal ini dinyatakan dalam Surah Luqman, ayat 10 sebagaimana terjemahan berikut, “Dia menciptakan langit tanpa bertiang sebagaimana kamu melihatnya, dan Dia meletakkan gunung-gunung (di permukaan) bumi agar ia (bumi) tidak menggoyangkan kamu; dan memperkembangbiakkan segala macam jenis makhluk bergerak yang bernyawa di bumi. Dan Kami turunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan padanya segala macam tumbuh-tumbuhan yang baik.

Melalui pembacaan terjemahan tersebut, Allah SWT telah memberikan rahmat kepada manusia dengan pelbagai nikmat rezeki, seperti binatang ternakan dan juga tanaman bermanfaat supaya manusia sedar akan kekuasaan-Nya. Pemahaman ini telah diterjemahkan dengan jelasnya dalam Kampung Pulau Kelapa, yang menunjukkan sejenis tumbuhan yang banyak memberikan manfaat kepada masyarakat Melayu dalam pelbagai segi, iaitu pokok kelapa:

Daun kelapa dan sabut kering
Diikat menjadi jamung
Jamung dibakar dan bernyala
Memberi cahaya di malam hari
Untuk kami pergi ke surau
Belajar mengaji
Di tangan ustaz rotan menanti

Ya Rabbi
Sungguh berjasa
Daun, batang, buah, tombong, tempurung
Semua berguna hidup berkampung

(Kampung Pulau Kelapa, 2021:19)

Surah An-Naml Ayat 18

Buku ketiga Koleksi Cerita Siti ialah Rumah Semut Kuala Abai yang mengisahkan kehidupan muafakat sekumpulan semut di suatu kawasan bernama Kuala Abai. Kumpulan semut yang tinggal di tanah subur itu berasa sangat bahagia serta saling melindungi antara satu sama lain daripada ancaman bahaya. Perkara berkaitan kehidupan serangga ini juga dinyatakan dalam Surah An-Naml, ayat 18 sebagaimana terjemahan berikut, “Hingga ketika mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut, ‘Wahai semut-semut! Masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan bala tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari.” Pemahaman tentang kisah semut dengan Nabi Sulaiman a.s. ini telah diadaptasi dalam penulisan Rumah Semut Kuala Abai:

Ratu mengawal dengan senyuman
Ratusan ribu semut kerja suang malam
Seperti cerita Nabi Sulaiman
Mengarahkan kuda jalan perlahan
Selamatkan keluarga semut
Di kebun kasih sayang.

(Rumah Semut Kuala Abai, 2021:5)

Rangkap puisi di atas memperlihatkan berlakunya penceritaan semula kisah semut dengan Nabi Sulaiman, seperti yang dinyatakan dalam al-Quran apabila ratu semut memberikan arahan untuk mengawal ribuan semut supaya pekerjaan yang dilakukan lebih teratur. Melalui penerapan ini, pembaca kanak-kanak sudah pasti akan meneliti kisah positif yang dinyatakan dalam al-Quran ini untuk diterapkan dalam aktiviti harian.

Surah Al-An’am Ayat 73

Buku keempat (dan terakhir setakat ini) Koleksi Cerita Siti ialah Mimpi Si Ikan Kaloi yang mengisahkan penderitaan seorang perempuan yang bernama Bawang Putih yang sering kali didera oleh ibu dan adik tirinya. Pelbagai penderitaan yang diharungi dengan tabah oleh Bawang Putih. Ibu tersayangnya dibunuh oleh keluarga tiri dan penderaan dan kebohongan terpaksa dilaluinya setiap hari. Tetapi pada akhirnya, apabila Bawang Putih mendapat kebahagian dalam hidupnya bersama-sama dengan seorang putera raja, beliau telah memaafkan dan menerima kembali keluarga tirinya itu.

Hal ini dilihat sebagai sesuatu perlakuan yang sukar dilaksanakan oleh manusia biasa tetapi jika ditakdirkan oleh Allah SWT, maka perkara tersebut akan terjadi. Perkara ini dinyatakan dalam Surah Al-An’am, ayat 73 sebagaimana terjemahan berikut, “Dialah yang menciptakan langit dan bumi dengan hak (benar), ketika Dia berkata, ‘Jadilah!’ Maka jadilah sesuatu itu. Firman-Nya adalah benar dan milik-Nyalah segala kekuasaan pada waktu sangkakala ditiup. Dia mengetahui yang gaib dan yang nyata. Dia Yang Maha Bijaksana, Maha Teliti.” Boleh difahami bahawa setiap perkara yang berlaku di dunia ini merupakan takdir yang telah dikehendaki oleh Allah SWT, malah segalanya berlaku tetap di bawah kekuasaan-Nya. Pemahaman inilah yang telah diterapkan dalam Mimpi Si Ikan Kaloi:

Di alam jauh sana
Mak Kaloi tersenyum
Atas restu Ilahi
Bawang Putih tiba di rumah keluarga
Berbaik dengan Bawang Merah
Mak Mandak juga tersenyum gembira
Tiada iri dan benci
Kasih mewangi

(Mimpi Si Ikan Kaloi, 2021:26)

Jelas melalui petikan di atas, Bawang Putih telah berbaik-baik dengan keluarga tirinya, iaitu Bawang Merah dan Mak Mandak “Atas restu Ilahi”. Hal ini tidak dijangka oleh manusia boleh terjadi, walaupun keluarga tiri Bawang Putih pernah menyeksanya demi kepuasan hati. Namun kuasa Allah SWT telah merubah hati Bawang Putih untuk memaafkan perbuatan buruk yang dilaluinya dan tidak lagi berasa benci dan iri kepada keluarga tirinya itu. Hal ini pasti mendidik pembaca bahawa setiap perkara yang telah ditakdirkan Allah SWT pasti akan berlaku juga.

Hikmah daripada pedoman al-Quran ini haruslah diambil perhatian oleh semua penulis sastera kanak-kanak tanah air. Usaha menerapkan pendidikan al-Quran dalam penulisan mereka sememangnya suatu kebijaksanaan yang dituntut. Pastinya, hal ini juga menjadi tugas besar kepada masyarakat untuk menyampaikan pendidikan kepada generasi muda supaya mereka terbentuk dengan sahsiah yang murni, selaras dengan kehendak agama Islam. Ditambah pula, dengan penerapan pendidikan Islam dalam karya pasti mampu mengangkat karya sastera kanak-kanak kita kepada suatu aras yang lebih tinggi, selain memberikan keyakinan kepada ibu bapa dan pendidik suatu pembelajaran alternatif yang sesuai dengan agama dan jati diri generasi mudanya.

Beli Koleksi Cerita Siti Kebun Rama-rama, Kampung Pulau Kelapa, Rumah Semut Kuala Abai, dan Mimpi Si Ikan Kaloi.

_________________________

Mohd Shukrey Ahmad berasal dari Pahang. Beliau banyak menghasilkan sajak yang tersiar dalam majalah Dewan Siswa, Dewan Budaya dan Dewan Tamadun Islam, selain banyak menyumbangkan puisi kanak-kanak dalam beberapa antologi puisi kanak-kanak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.