27 Ogos 2021, 12:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanjung Mallim – Peribahasa merupakan hasil kesusasteraan lisan yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat Melayu. Peribahasa melambangkan adab dan sikap orang Melayu yang sangat halus dalam penyusunan tutur kata. Peribahasa terhasil apabila masyarakat Melayu dahulu mengamati alam sekeliling dan menterjemahkannya ke dalam kehidupan mereka. Hasil pengamatan itulah kata-kata disusun dengan baik dan dijadikan panduan hidup masyarakat Melayu dahulu. Itulah antara inti pati daripada ceramah yang disampaikan oleh Dr. Hazami Jahari, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang mewakili Ketua Pengarah DBP dalam program Pemugaran Peribahasa Siri 4 pada 26 Ogos 2021.

Program ini dianjurkan oleh Institut Peradaban Melayu (IPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris melalui Facebook Langsung IPM dan objektif utamanya adalah untuk menangani isu dan permasalahan dalam memahami peribahasa semasa proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Selain itu, program ini juga diharap dapat melestarikan peribahasa dalam masyarakat, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Program Pemugaran Peribahasa ini menampilkan 20 orang pakar yang terdiri daripada mereka yang terdiri daripada guru, pensyarah serta pakar dalam bidang persuratan. Manakala 200 ungkapan peribahasa akan dihuraikan dalam keseluruhan program pemugaran peribahasa ini.

Dalam ceramahnya, Hazami memberitahu bahawa peribahasa merupakan suatu cara untuk masyarakat Melayu mendidik anggotanya secara tidak formal untuk menjadi lebih baik. Didikan yang dilakukan ialah melalui kata-kata kiasan yang penuh dengan kebijaksanaan. Bahkan, kata-kata tersebut diambil daripada unsur alam yang memang sangata rapat dengan masyarakat Melayu tradisional. Beliau memberikan contoh apabila mereka hendak mendamaikan ahli keluarga yang berselisih faham, mereka akan menggunakan ungkapan “air dicincang tidak akan putus” bagi menunjukkan pergaduhan tersebut tidak perlu dipanjangkan lagi kerana hubungan antara ahli keluarga tidak akan terpisah kerana diikat dengan pertalian darah. Begitu juga jika seseorang ingin menegur sikap seseorang yang mementingkan diri sendiri, maka mereka akan menggunakan perumpamaan “seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”.

Definisi peribahasa dihuraikan dengan jelas oleh beliau dengan memetik pendapat daripada Abdullah Hussain (Kamus Istimewa Peribahasa Melayu) dan Tenas Effendy (Ungkapan Tradisional Melayu-Riau). Definisi daripada kedua-dua tokoh tersebut disimpulkan oleh beliau bahawa peribahasa merupakan susunan kata-kata yang indah dan mencerminkan bangsa Melayu sebagai bangsa yang sangat halus dan mempunyai peradaban yang tinggi, terutamanya dalam usaha mendidik masyarakat. Pelayar media sosial turut diberikan penerangan tentang tujuan peribahasa diajarkan. Antaranya, termasuklah untuk menasihati dan mendidik tanpa mengguris perasan orang yang dididik atau ditegur.

Dalam siri ini, sebanyak enam peribahasa dihuraikan beserta contoh ayat, iaitu “alah membeli menang memakai”, “alang-alang berdakwat biar hitam”, “baik membawa resmi padi, daripada membawa resmi lalang”, “berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi”, “retak menanti belah”, dan “alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan”.

Program ini sangat sesuai dilaksanakan ketika ini bagi memberikan kefahaman kepada masyarakat yang menimbulkan banyak persoalan tentang peribahasa dalam kalangan masyarakat hari ini. Dalam siri ini juga terdapat beberapa kemusykilan dan pendapat yang dikemukakan oleh pelayar. Antara yang menarik perhatian termasuklah mengenai penyelidikan tentang peribahasa yang perlu diperbanyak oleh institusi seperti DBP dan IPM. Penyelidikan yang perlu dilakukan ini perlu merangkumi pemetaan yang luas melangkaui garis sempadan negeri. Bahkan, penyelidikan tentang peribahasa juga boleh dilakukan melepasi garis sempadan negara. Kajian melepasi garis sempadan ini perlu dilakukan bagi melihat asal usul peribahasa itu mengikut konteks budaya masyarakat setempat. Dalam hal ini, Hazami selaku Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan mengatakan, kajian ini boleh dilakukan dengan kerjasama institusi lain, terutamanya IPM dan juga institusi awam yang lain melalui kajian lapangan supaya dapatan kajian tersebut tuntas dan tekal.

Dalam hal ini, penyelidikan juga menjadi sesuatu yang sangat penting dalam pelestarian ilmu persuratan. Dengan banyaknya penyelidikan yang dilakukan, maka penyebaran ilmu akan semakin meluas dan pelestarian ilmu dalam bidang persuratan dapat dilakukan. Aspek lain yang perlu diselidik bagi mengembangkan ilmu peribahasa termasuklah mengkaji cabang disiplin ilmu lain yang ada dalam peribahasa. Contohnya, ilmu matematik, ilmu kepimpinan, ilmu perniagaan dan sebagainya. Peribahasa “menang jadi arang, kalah jadi abu” misalnya yang dikaitkan dengan keupayaan dalam perniagaan, boleh dikaji kebenarannya.

Hazami turut menerangkan kepada khalayak bahawa di DBP, bahagian yang menguruskan hal penyelidikan berkaitan peribahasa, pantun dan genre sastera yang lain ialah Bahagian Penyelidikan Sastera (yang berfungsi dalam penyelidikan selain mengangkat kearifan tempatan) dan perancangan penyelidikan yang jitu tentang perkara ini akan diusahakan, namun sokongan pelbagai pihak diperlukan dan kerjasama tersebut boleh digabungkan antara kepakaran dalaman yang ada di DBP dan tenaga pakara luar.

Cabaran yang dihadapi kini adalah untuk “menjinakkan” generasi muda untuk minat terhadap peribahasa. Kaedah yang paling baik untuk menangani situasi ini adalah dengan memantapkan sistem pendidikan kita supaya generasi muda dapat menjiwai peribahasa sedari umur yang kecil lagi dan diterapkan dalam pelbagai aspek pembelajaran melalui didik hibur. Semoga peribahasa yang dibincangkan ini menjadi mesra kepada khalayak dan digunakan dalam perbualan seharian.

Tonton ceramah penuh di sini.

Beli Kamus Istimewa Peribahasa Melayu, Peribahasa Sekolah Menengah, Peribahasa Sekolah Rendah, dan Pantun Peribahasa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.