Oleh Orked Una
23 Ogos 2021, 12:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jatuh bangun sebuah negara bergantung kepada kewibawaan pemimpinnya. Baik pentadbirannya, maka makmurlah negaranya. Siri Ceramah Ilmiah bersama Tokoh oleh Gabungan Melayu Islam Beraja (Mi’raj) membawakan tajuk “Pemimpin yang Dihajati oleh Rakyat dan Negara” dengan mengupas kitab Tajus Salatin.

Siri Ceramah Ilmiah ini menampilkan tokoh bahasa, budaya dan kesusasteraan yang tidak asing lagi, iaitu YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, yang merupakan penerima Anugerah Tokoh Penggiat Sastera Johor tahun 2021. Moderator wacana ialah Sakaria Semela yang merupakan Setiausaha Agung My-RiO (Persatuan Mantan Pegawai Perkhidmatan Hal Ehwal Islam Malaysia).

Siri pertama bual bicara ini dimulakan dengan memperkenalkan kitab Tajus Salatin yang ditulis oleh Bukhari al-Jauhari pada tahun 1603. Kitab ini adalah antara karya terawal di Alam Melayu tentang ketatanegaraan yang meletakkan asas penting dalam sistem politik dan pemerintahan, berdasarkan lunas-lunas Islam. Kitab ini terdiri daripada tiga perkara pokok, iaitu konsep, falsafah dan kaedah, serta mempunyai 24 fasal.

Beberapa lunas penting dalam Tajus Salatin yang disentuh dalam program ini adalah mengenai kepentingan mengenal diri, raja tidak wajar bersikap sombong dan menganiaya segala hamba Allah, dan dunia hanya tempat persinggahan sementara untuk ke alam abadi yang menyeru kehidupan di dunia perlu diisi dengan penuh amanah dan tanggungjawab yang ditetapkan oleh Allah.

Awang Sariyan menyeru pemimpin politik, institusi dan pertubuhan untuk kembali menghayati kitab-kitab warisan dan pujangga ulama terdahulu yang berpandukan nas. Bagi memastikan kitab ini dapat dihayati oleh pemerintah dan rakyat di semua peringkat, Awang Sariyan mencadangkan sinergi antara universiti dengan penerbit bagi menyampaikan ilmu kitab ini dalam pelbagai versi, daripada versi penuh kepada versi ringkas, dan ditransliterasi dan diadaptasi kepada pelbagai medium berbahasa Melayu. Usaha ini diharapkan mendapat sokongan dan dokongan penuh serta diangkat menjadi agenda negara.

Ceramah Ilmiah Bersama Tokoh ini telah disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Gabungan Melayu Islam Beraja (Mi’raj) pada 16 Ogos 2021, jam 9.00 malam dengan anjuran bersama DBP, ATMA UKM, Majlis Perundingan Melayu, Muwasolah Agamawan dan Aktivis Memperkasa Institusi Raja-Raja (Mampir), Persatuan Mantan Pegawai Perkhidmatan Hal Ehwal Islam Malaysia (My-Rio), dan Akademi Watan.

Tonton wacana penuh siri 1 dan siri 2.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.