23 Ogos 2021, 22:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Noorhisyam Razali, Johan Sayembara.

Shah Alam – Digelar sebagai “Pak Cik Tupperware”, Noorhisyam Razali mengungguli Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-35 Peringkat Negeri Selangor yang diadakan pada 22 Ogos 2021 secara maya melalui aplikasi pelantar sosial Zoom. Pertandingan berprestij itu menampilkan lapan orang peserta yang terdiri daripada empat peserta lelaki dan empat peserta wanita.

Uniknya, kali ini empat orang daripada peserta peringkat akhir ini pernah memegang takhta johan peringkat negeri Selangor, iaitu Noorhisyam Razali sendiri (johan peringkat negeri Selangor pada tahun 2014), Nur Sharina Cik Ibrahim (wakil Selangor pada tahun 2017), Ahmad Sa’idun Mohd Mokhtar (johan pada tahun 2018) dan Azamin Itam (juara sayembara sama pada tahun 2020).

Saingan yang sengit berlangsung daripada lapan orang peserta yang rata-rata pernah menjuarai sayembara deklamasi puisi anjuran pelbagai pihak lain. Pentas Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Selangor kali ini ibarat pentas juara melawan juara. Sajak “Citra Jiwa Merdeka” karya Abdul Karim Gullam telah menjadi sajak bertuah buat Noorhisyam Razali. Naib johan disandang oleh Nur Eleyda Ezani yang mendeklamasikan sajak “Darah yang Terpercik di Baju” karya Norazimah Abu Bakar, manakala tempat ketiga menjadi milik Azamin Itam yang membawakan sajak “Landskap Bangsa” karya Mohamad Saleeh Rahamad.

Nur Eleyda Ezani, Naib Johan.

Tiga tempat sagu hati dimiliki oleh Muhammad Amir Akil Zulkifli yang membawakan sajak “Milik Siapakah Tanah Ini” karya Mohamad Ghazali Taib, Nur Dini Safiya Amin mendeklamasikan  sajak “Sahaya Ini Anak Negeri Merdeka” karya Shukri Abdullah, dan Ahmad Sa’idun Mohamad Mokhtar dengan sajak pilihannya, “Sumbangsih Buat Nusa Bangsa” karya Jamilah Harun.

Pertandingan ini diadakan secara dua sesi, iaitu sesi pertama empat orang peserta dan sesi kedua empat peserta selebihnya.

Acara pertandingan ini diselangi oleh persembahan istimewa daripada dua orang pelajar Sekolah Kebangsaan Seafield, iaitu Adam Nazhan Mohd Naim dan Nur Batrysia Mohd Shahril. Pihak penganjur juga menyediakan video penghargaan khas buat semua peserta sayembara dan juga video persembahan Tarian Rangguk yang juga merupakan bahan kajian Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Selangor (JKKNS).

Tempat ketiga menjadi milik Azamin Itam.

Kali ini, bagi mematuhi tatacara operasi standard (SOP) pihak kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19, pihak KEMUDI sebagai tuan rumah telah melangsungkan pertandingan berprestij ini secara dalam talian dan dipancarkan terus ke laman Facebook KEMUDI. Dua orang pengacara majlis mengemudi acara ini selama tiga jam.

Para peserta juga perlu mendeklamasikan sajak pilihan mereka secara langsung di lokasi masing-masing. Pertandingan yang menjadi acara tahunan sempena bulan kemerdekaan ini juga ditaja oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA),  JKKNS dan Syahida Hassan Enterprise (SHE).

Noorhisyam menerima hadiah wang tunai tajaan DBP Wilayah Tengah sebanyak RM1000, Nur Eleyda pula mendapat RM700, Azamin Itam pula RM500. Tempat sagu hati pula mendapat RM200 setiap orang. Noorhisyam akan menjadi wakil Selangor di pentas kebangsaan yang akan diadakan pada 11 September 2021.

Tonton persembahan penuh acara sayembara di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.