22 Ogos 2021, 10:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dengan perkembagan pembikinan karya audio visual berdasarkan naskhah sastera tanah air baru-baru ini mencetuskan suatu perbincangan yang positif. Sejak filem Ranjau Sepanjang Jalan (1983) yang diadaptasi daripada novel Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, kini muncul adaptasi telefilem Srengenge (2017) dan drama bersiri Ayahanda (2021) yang mencetuskan fenomenanya yang tersendiri.

Bagi Dr. Saleeh Rahamad, walaupun pembikinan filem atau drama televisyen yang berdasarkan karya sastera membuatkan pengarahnya seperti “pengarang kedua” karya asal, titik temu yang menjulang dua medium yang berbeza itu ialah “roh” dan ideologi naskhah itu.

“Sangat penting untuk pengarah membaca, memahami dan menghayati naskhah asal penulis, supaya dapat memahami gagasan yang dibawa. Berat untuk penulis asal menerima, namun perubahan dalam proses pemindahan tetap akan berlaku, tetapi tidak wajarlah ideologi dan ‘roh’ bagi naskhah itu mati setelah berpindah medium,” jelas Saleeh.

Wacana PENA ke-6 yang dianjurkan pada 20 Ogos 2021 (Jumaat), 9.00 malam, membincangkan hal ini, dengan penampilan dua panel undangan, penulis prolifik dan editor, Sri Diah Shaharuddin dan Profesor Dr. Mahadi J. Murat, pengarah, penulis skrip dan ahli akademik. Wacana turut disertai oleh Dr. Saleeh Rahamad, Presiden PENA selaku panel tetap dan Mohd Khair Ngadiron sebagai moderator. Perbahasan kali ini bertajuk “Sastera ke Layar: Benarkah Selalu Gagal?”.

Mengakui perbezaan dua medium seni itu, Sri Diah juga mempunyai karya novel yang telah diadaptasi kepada drama bersiri, iaitu Selamat Malam Tan Sri. Pengalaman beliau ketika duduk semeja untuk berbincang proses penghasilan siri tersebut juga membuahkan pendapat.

“Antara masalah dan rintangan yang dihadapi penulis ialah terpaksa mengorbankan gagasan yang dibawa kerana terpaksa memenuhi permintaan komersial dalam ranah penyiaran layar.”

Namun, beliau juga mengakui dan memahami kekangan yang dihadapi oleh pengarah sebagai tukang pengadaptasi.

Mahadi J. Murat, sebagai tukang cerita dan pengarah bertegas untuk mengenal filem sebagai sebuah medium yang tersendiri. “Buat filem sebagai filem,” katanya.

Menurut beliau, karya sastera memang telah dan akan sentiasa dilayarkan, namun bagi pembikin filem, karya sastera seperti cerpen, skrip drama dan sebagainya hanya diambil kira sebagai “sumber cerita” semata-mata. Tanggungjawab pemindahan akan jatuh ke atas tangan pengarah filem.

Mahadi menjelaskan, kejayaan dan kegagalan sesebuah filem bergantung pada sejauh mana naskhah tersebut berjaya memberikan impak kepada khalayak (penonton), dari sudut kandungan naskhah, mesej serta pemikiran yang digagaskan oleh karyawan filem tersebut.

Beliau juga menekankan nilai sastera atau seni dalam diri karyawan filem yang juga merupakan unsur penting dan kunci untuk menghasilkan sebuah filem yang baik.

“Karyawan filem kini yang tidak mempunyai mentaliti pencerita dan pemikir sastera sebenarnya mengakibatkan kekurangan besar dalam industri perfileman.”

“Orang yang berfikiran dan berpengetahuan sastera akan mempunyai hasrat untuk menyampaikan cerita dengan kaedah dan garapan yang sedia utuh,” ujar Mahadi.

Rumus beliau, pengetahuan dalam pemikiran dan selok-belok sastera atau seni ialah kunci dan modal utama bagi resipi kejayaan karyawan filem Melayu.

Tonton wacana penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.