Oleh Wildan Haya
19 Ogos 2021, 09:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Papan Tanda Kediaman Sasterawan Negara Shahnon Ahmad di Kampung Banggol Derdap, Sik, Kedah.

Sik Pada 7 Ogos 2021, Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) telah mengambil inisiatif meletakkan papan tanda Kediaman Sasterawan Negara Allahyarham Profesor Emeritus Dato’ Dr. Haji Shahnon bin Ahmad di kampung Banggol Derdap, Sik Kedah. Pada masa yang sama, semua pihak yang hadir juga mengambil inisiatif untuk melawat serta membersihkan kawasan sekitarnya.

Tuan Haji Abu Hassan Morad selaku Ketua 1 ASASI telah melaksanakan upacara memasang papan tanda tersebut pada jam 10.00 pagi bersama-sama AJK ASASI dan beberapa orang penduduk setempat. Pihak ASASI berhasrat dengan adanya papan tanda itu, orang ramai khasnya pengunjung Pekan Sik mengetahui tentang kediaman dan lokasi rumah Sasterawan Negara ke-2, Allahyarham Shahnon Ahmad itu. Secara tidak langsung, Pekan Sik juga akan memperoleh manfaatnya.

Abu Hasan Morad juga berkata, beliau akan mengambil inisiatif meminta kerjasama Majlis Daerah Sik untuk memasukkan lokasi kediaman Sasterawan Negara itu sebagai salah satu tempat yang mesti dikunjungi oleh para pelawat di dalam kalendar tempat-tempat menarik Daerah Sik, Kedah. Lagipun, seni bina rumah tersebut yang masih utuh dan cantik mampu menggamit kedatangan pelawat untuk melihatnya. Dengan usaha ini, ASASI berharap agar dapat memberikan penghormatan yang sepatutnya kepada Sasterawan Negara yang telah mengangkat daerah Sik dalam karya-karya beliau ke persada dunia.

Tuan Haji Abu Hassan Morad (kiri) dan penulis di hadapan rumah Sasterawan Negara Shahnon Ahmad.

Lanjutan daripada aktiviti tersebut, Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama ASASI akan mengadakan Program Wacana Dato’ Dr. Haji Shahnon bin Ahmad berserta majlis pelancaran Buku Biografi Sasterawan Negara. Program tersebut dirancang akan dilaksanakan di kediaman tersebut pada 2 Oktober 2021.

Program ini merupakan langkah optimis demi mengangkat status ketokohan Shahnon atas sumbangan besarnya dalam ilmu kesusasteraan dan kemanusiaan, sekali gus memperkasa nilai kepengarangan tanah air. Diharapkan dengan aktiviti dan program sebegini, sumbangan Allahyarham terus kekal dalam ingatan masyarakat, khususnya generasi muda yang mendatang. Semoga kediaman tersebut dan sumbangan Allahyarham Shahnon Ahmad tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan. Al-Fatihah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.