19 Ogos 2021, 13:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pusat Sejarah Rakyat menganjurkan webinar “Dari Sindiran ke Satira: Bahasa Satira di Malaysia” pada 17 Ogos 2021 (Selasa). Acara menampilkan Fairuzzaman Shaharuddin sebagai pembicara dan Dr. Alina Abdullah, pengkritik sejarah seni sebagai pengulas bicara.

Fairuzzaman membahaskan topik satira melalui perbincangan linear, bermula daripada perkembangan sejarah awal satira kepada penyampaian karya satira kontemporari di Malaysia, khususnya yang berkaitan dengan perkembangan arus politik dan sosial tempatan.

“Saya melihat satira ini sebagai satu hidangan penuh, dalam satu pinggan, banyak jenis makanan yang tersedia, tidak terbentuk secara konkrit. Boleh dijumpai dalam bentuk teater, kartun, penulisan dan sebagainya,” Fairuz mejelaskan maksud satira yang beliau garap selepas membuat kajian dalam kerangka political theory of dissent (teori politik berkenaan pertentangan).

Pada tahun 1970, perkataan satira mula dimasukkan dalam Kamus Dewan, namun penggunannya dihadkan kepada “novel satira”. Fairuz namun menegaskan, budaya dan masyarakat Melayu memang menggunakan kiasan dan sindiran sejak era pementasan sandiwara dan penulisan karya hikayat lagi. Selepas kajian dan pembacaan lanjut, Fairuz memperoleh dapatan bahawa “karya kiasan” yang dihasilkan dalam tradisi Alam Melayu bertujuan untuk mengejek dan mencela kekuasaan.

“Seloka, jenaka dan kias banyak digunakan dalam teks tradisional Melayu,” tambah beliau.

Kedudukan dan perkembangan kegiatan satira di Malaysia mula menapak pada era kebangkitan nasionalisme sebelum pendudukan Jepun di Malaya, lalu terus merancak sehingga sekarang.

Pada awal tahun 1960-an, ketika kerajaan dalam usaha rancak merapatkan perpaduan  sesama kaum dan rakyat, Fairuz membahas kejayaan kartunis Lat, “Lat melalui kartun-kartun beliau yang sangat terkenal, menyentuh isu-isu sosial, dengan cara jenaka, untuk merapatkan lagi perpaduan sesama kaum dan rakyat, tetapi pada masa yang sama, turut menyindir isu sosial dan politik antarabangsa.”

Membezakan konsep satira dan sindiran yang diamalkan oleh karyawan Melayu dahulu, Fairuz menyatakan sindiran dan kiasan Melayu biasanya berusaha untuk menjaga air muka, manakala satira pula berkedudukan sebaliknya.

“Satira bertujuan untuk memomokkan. Di samping mengeji, satira juga berperanan untuk merosakkan imej,” ujar beliau.

Tegas beliau lagi, satira juga boleh menjadi platform untuk mengumpul pengetahuan dan pendapat awam perihal politik, serta menyediakan ruang umum untuk mengenal ranah politik semasa dan juga berdialog dengannya.

Menurut Dr. Alina pula, dalam konteks satira, ada perbezaan mengkut jenis produksinya. Bagi beliau, satira seni rupa yang lebih halus perlambangannya ialah jenis karya satira yang berperanan penting dalam perkembangan satira sesebuah negara.

“Saya tak meletakkan perbezaan seni sastera secara hierarki (seni kartun, seni rupa), namun satira dalam seni rupa memberikan peluang kebebasan ekspresi untuk para karyawan, malah karya begini memerlukan kemampuan yang berdaya lebih tinggi untuk khalayak membaca maksud dan perlambangan dalam karya satira mereka.

“‘Perupa’ (karyawan seni rupa) biasanya akan melepaskan tangan, membiarkan penerima atau khalayak mentafsirkan sendiri. Kadang-kadang, perupa lebih suka berahsia tentang karya mereka. Membolehkan mereka berkarya dengan lebih bebas dan selamat,” jelas Alina.

Karya satira memerlukan konteks, mengikut arus politik dan situasi yang berlaku di sekeliling masyarakat. Fairuz mengambil contoh keluaran novel Kawin-kawin karya Azizi Haji Abdullah. Novel ini sebenarnya sebuah karya satira yang membahas halus tentang suasana politik dan sosial ketika itu. Namun kerana lambat diterbitkan, masyarakat dan khalayak ramai susah untuk menerima mesej satiranya, sekali gus hampir tidak berjaya menyampaikan mesej satiranya kepada khalayak.

Alina bersetuju dengan kepentingan keupayaan karyawan atau “satirawan” untuk menyampaikan karya mereka kepada khalayak mengikut konteks, selaras dengan masa dan arus. Malah, beliau menambah bahawa kekuatan seni juga mampu ditingkatkan jika dibangunkan secara kolektif.

“Secara kolektif, mereka lebih berani, juga mempunyai sokongan yang lebih kuat. Wilayah Sabah dan Sarawak sebenarnya mempunyai beberapa kolekif seni yang kuat dan kritis terhadap perkembangan politik, seperti karya yang dihasilkan oleh Pangrok Sulap.”

Tonton bicara penuh di sini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi