17 Ogos 2021, 20:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Koleksi manuskrip yang tersimpan di Perpustakaan Peringatan Za’ba, Universiti Malaya (UM) bertujuan untuk menyokong penyelidikan dan pembelajaran di UM. Terdapat sebanyak 326 judul yang merangkumi pelbagai bidang kesusasteraan, pensejarahan, perubatan tradisional, teks agama, kanun, petua, cerita rakyat, syair, dan pantun. Setakat ini, kebanyakannya telah didigitasikan untuk disebarluaskan dan memudahkan pengkaji mengakses manuskrip Melayu lama.

Berikutan berkuat kuasanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 yang melanda Malaysia, para pustakawan telah mengambil inisiatif agar manuskrip yang tersimpan tidak terbiar begitu sahaja. Ratnawati Sari Mohamad Amin, Timbalan Ketua Perpustakawan dan juga Ketua Bahagian Arkib dan Repositori, ketika membentangkan laporannya yang bertajuk “Manuskrip Melayu di Perpustakaan Universiti Malaya” dalam Webinar Manuskrip Melayu Citra Mahawangsa menjelaskan, bermula tahun 2019, para pustakawan di Perpustakaan Universiti Malaya telah melaksanakan kerja-kerja mentransliterasi manuskrip Melayu lama.

“Hikayat Penerang Hati”, “Hikayat Raja Budiman” dan “Syair Ikan Teroeboek” merupakan antara manuskrip yang telah selesai ditransliterasi.

“Kandungan manuskrip yang telah ditransliterasikan boleh disebarluaskan kepada pembaca yang tidak boleh membaca Jawi, malah dengan adanya kaedah sebegini akan meningkatkan lagi jumlah bilangan pembaca,” jelas beliau.

Ratnawati Sari merupakan salah satu daripada 15 orang pembentang laporan dalam webinar yang berlangsung pada 17 Ogos 2021 (Selasa), jam 9.00 pagi anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Webinar Manuskrip Melayu Citra Mahawangsa yang bertemakan “Cabaran dan Masa Depan Manuskrip Melayu” diadakan bertujuan untuk mengumpulkan data dan maklumat berkaitan manuskrip Melayu yang terdapat di seluruh negara. Malah, webinar yang dianjurkan secara dalam talian ini telah menemukan beberapa institusi, universiti dan pakar bidang dalam manuskrip Melayu dari dalam dan luar negara. Perasmi bagi webinar ini ialah YBhg. Profesor Datuk Seri Haji Awang bin Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka merangkap Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.