Oleh Hasni Mohammad
17 Ogos 2021, 16:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kita sedang melalui tahun-tahun yang mencabar akibat pandemik COVID-19 yang melanda, bukan hanya negara kita tetapi di seluruh dunia sejak lebih setahun lalu. Antara cabarannya termasuklah dari aspek kesihatan, ekonomi dan pelaburan, pendidikan juga tidak terkecuali, begitu juga aspek pembangunan sosial dan masyarakat.

Negeri Johor juga kini berdepan dengan kemelut dan kesan daripada  pandemik COVID-19. Maka itu, kita perlu merenung dan melihat bagaimana keadaan semasa yang kita tempuhi ini terkandung hikmah dan rahsia-Nya yang besar.

Insya-Allah, saya yakin dan percaya bahawa para penulis mempunyai ilham serta idea yang bernas untuk melahirkan sebanyak mungkin karya kreatif yang kritis dan berkualiti dalam kita mendepani  pelbagai cabaran, termasuklah cabaran COVID-19.

Sememangnya, Kerajaan Negeri Johor akan mengiktiraf sumbangan dan juga jasa para penggiat karyawan dan penulis Johor. Bagi mengukuhkan lagi kedudukan Anugerah Sastera Johor ke-12 ini, Kerajaan Negeri Johor telah menambah, sebagai contoh, hadiah wang tunai pada kategori dan genre terpilih. Malahan, kategori yang diberi pengiktirafan juga turut ditambah. Pengiktirafan ini secara tidak langsung akan membuka peluang yang lebih besar kepada para karyawan dan penulis untuk mengetengahkan bakat dan kualiti penulisan masing-masing.

Pada majlis Anugerah Sastera Johor ke-12 ini, Kerajaan Negeri Johor berbesar hati untuk mengiktiraf perjuangan anak jati Johor dalam bahasa, sastera dan persuratan. Sehubungan itu, Anugerah Sastera Johor mengangkat seorang tokoh dalam persuratan dan kesusasteraan, sebagai penerima Anugerah    Tokoh Penggiat Sastera Johor, iaitu Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan. Penganugerahan ini, berkat usaha dan konsistensi beliau dalam perjuangan mengangkat dan memartabatkan bahasa kebangsaan, tanpa mengira konteks perubahan. Syabas kepada Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan. Usaha dan keringat perjuangan yang dicurahkan selama ini sungguh besar ertinya  kepada kita semua. Perjuangan beliau wajar diteladani oleh semua pihak.

Kerajaan Negeri Johor akan sentiasa mendapatkan pandangan untuk  menambah baik pengiktirafan supaya lebih bersifat menyeluruh. Hal ini secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada penulis untuk lebih prolifik dalam bidang tersebut.

Sebuah bangsa berjaya ialah mereka yang membaca. Sebuah karya yang berjaya akan menjadi tatapan pembaca tanpa mengira era dan masa. Inilah yang dinamakan karya terbaik sepanjang zaman. Justeru, seseorang penulislah yang akan mencorakkan pemikiran pembaca, dan kini medan penulisan semakin terbuka luas serta tiada batas sempadan. Namun, had etika dan tanggungjawab karya akan menjadi pengukur penting bagi nilai kematangan serta sisi positif sesebuah hasil penulisan.

Umum mengetahui bahawa Johor telah melahirkan ramai penulis dan  karyawan yang tersohor. Sejarah juga membuktikan pemikir Johor pernah  menjadi pencetus kepada beberapa agenda besar pada peringkat negeri  dan nasional. Negeri Johor telah mengabadikan nama-nama mereka, seperti Raja Ali Haji, Tun Seri Lanang, Munsyi Abdullah, Munsyi Ibrahim, Mejar Mohd. Said Sulaiman, Sasterawan Negara Usman Awang, Khadijah Hashim, Adibah Amin, Zaharah Nawawi, dan ramai lagi. Bukti ini menzahirkan bukti bahawa ramai tokoh dari tanah permata selatan ini merupakan pencetus perjuangan bahasa, pemikir, cendekiawan, budayawan, dan sejarawan.

Kepada anak-anak muda, jadikanlah bidang penulisan ini sebagai platform untuk menyampaikan serta meluahkan hasil karya yang kreatif dan kritis. Gunakanlah kecanggihan teknologi dan keupayaan kita masa kini untuk menyampaikan pengajaran yang baik kepada semua masyarakat, khususnya dalam kita mendepani cabaran pandemik COVID-19 yang belum lagi berpenghujung.

Akhir sekali, dengan lafaz bismillahirahmanirrahim, saya merasmikan Anugerah Sastera Johor kali ke-12 bagi tahun 2021 secara dalam talian pada petang ini.

_________________________

Teks ini diubah suai daripada teks ucapan YAB Datuk Haji Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor bagi Majlis Perasmian dalam Talian Anugerah Sastera Johor ke-12 pada 8 Ogos 2021 di Media Sosial Yayasan Warisan Johor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.