16 Ogos 2021, 18:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Johan Sayembara, Zaheera Ibrahim.

Alor Setar – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara dengan kerjasama Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) komited melaksanakan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Kedah (SDPK) 2021 secara dalam talian. Pertandingan ini merupakan acara tahunan yang dilaksanakan pada setiap tahun untuk memilih peserta yang akan mewakili negeri ke Sayembara Deklamasi Puisi Peringkat Kebangsaan 2021.

Seramai lapan orang peserta yang terdiri daripada latar kerjaya yang berbeza telah mengambil bahagian untuk menonjolkan bakat masing-masing. Namun begitu, hasil penelitian hakim, johan sayembara deklamasi kali ini disandang oleh Zaheera Ibrahim. Anak kelahiran Sungai Petani ini mempertaruh puisi “Citra Jiwa Merdeka” karya Abdul Karim Gullam untuk memikat hati para hakim.

Naib johan disandang oleh Mohamad Hakimi Mohamad Rejab menerusi puisi “Segugus Ingatan Rubaiyat Bangsa” karya Shamsudin Othman. Manakala tempat ketiga disandang oleh M. Shahadat Ali Nordin yang menyampaikan puisi berjudul “Menjadi Laksamana” karya Zainal Abidin Haji Suhaili ataupun Abizai.

Zaheera Ibrahim selaku johan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1000, piala pusingan, piala iringan, buku dan sijil, diikuti dengan tempat kedua dan ketiga yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM700 dan RM500, piala iringan, buku dan sijil.

Turut hadir memeriahkan acara dan memberikan sokongan kepada peserta ialah Encik Shahizan Affandi Zakaria, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah (PPAK), Encik Rahimi Arifin, Pengarah DBP Wilayah Utara dan Tuan Haji Abu Hassan Morad, Ketua Satu ASASI. Semoga SDPK dapat menarik minat dan menjadi platform bagi warga negeri Kedah menonjolkan bakat-bakat baharu dalam bidang deklamasi puisi.

Tonton persembahan penuh acara sayembara di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.