16 Ogos 2021, 18:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Penganugerahan Sasterawan Negeri Sabah ke-2 baru-baru ini menjadi polemik yang hangat diperkatakan kerana wujud pertikaian oleh beberapa pihak dan individu yang kurang senang dengan pengiktirafan yang diberikan kepada Azmah Nordin. Pertikaian ini menggeladak kerana Azmah bukan anak kelahiran Sabah. Namun demikian, amatlah malang jika seseorang penulis yang sudah berpuluh tahun menetap di Sabah tidak diiktiraf jasa, kredibiliti dan kualiti sasteranya.

Sesiapa sahaja sedia maklum akan sumbangan Azmah kepada masyarakat dalam pembentukan penulis muda tanah air. Azmah sering membimbing para penulis pemula, terutamanya di seluruh Malaysia secara percuma. Penerima SEA Write Award itu juga telah mengambil peranan secara individu dalam usaha memasyarakatkan rakyat tentang sastera sekali gus membuktikan bahawa peranan itu bukanlah tertakluk atau disandarkan sepenuhnya pada persatuan semata-mata.

Terbukti, usaha Azmah tidak sia-sia kerana ramai kalangan anak didiknya, telah memenangi pelbagai sayembara dan anugerah, hingga mencapai peringkat kebangsaan.

Pemilihan dan pengiktirafan kepada Azmah adalah berdasarkan merit yang wajar mengikut kriteria yang ditetapkan oleh urus setia. Malah, panel penilainya terdiri daripada mereka yang mempunyai kedudukan dan pengalaman dalam perkembangan sastera di Sabah. Inilah kewajaran yang melayakkan Azmah Nordon, seorang insan yang banyak berjasa dalam persuratan kotemporari diketepikan.

Hal ini juga merenung kembali buah bicara yang diungkapkan oleh Dr. Rem Dambul, “Sastera patriaki di Sabah yang ketinggalan zaman selama tiga dekad telah runtuh selepas Azmah Nordin dianugerahi Anugerah Sasterawan Negeri Sabah ke-2.”

Maksud tersirat sebalik kata-kata Rem Dambul itu umpama sindiran halus yang mengejutkan gerakan sastera Sabah yang tidur-tidur ayam agar kembali berketak. Jika diamati, terbukti 70 peratus keaktifan penulisan di Sabah adalah dalam kalangan penulis wanita dan baki 30 peratusnya baru penulis lelaki. Barangkali inilah yang dimaksudkan oleh Rem Dambul.

Keakuan dan sokongan terhadap pengiktirafan yang dianugerahkan kepada Azmah ini didukung oleh sekumpulan penulis wanita yang sering menjadi tenaga penggerak terhadap sastera Sabah, antaranya termasuk Ruhaini Matdarin, Rita Robert Rawantas, Kathirina Susanna Tati, Dayangku Mastura, Faridah Abdul Hamid, dan Welnee Joykin. Atas inisiatif dan kepekaan mereka juga telah berlangsung bual bicara bersama Azmah Nordin pada 15 Ogos yang lalu secara langsung di laman Facebook Rita Robert Rawantas.

Bual bicara yang dikelolakan oleh Ruhaini Matdarin itu, telah membuka banyak ruang dan memancing banyak sokongan serta pendapat daripada penonton.

“Sastera jalan memberi kebaikan. Jika dibisukan polemik ini, ibarat membiarkan pohon getah ditoreh dan susunya diambil oleh orang lain. Selepas 30 tahun, muncul Azmah Nordin sebagai Sasterawan Sabah. Bakat itu ada di mana-mana. Suatu hari mungkin berada di negeri lain. Maka tidak terbatas karya seseorang penulis hanya di negeri kelahirannya,” ujar Faridah Abdul Hamid.

“Tidak wajar pertikaian kenegerian kerana bukan daripada kelahiran Sabah. Sedangkan Azmah berkahwin, menetap dan melahirkan anak-anak Sabah. Sastera sepatutnya menyatukan rakyat. Jika wujud sastera bersyaratkan negeri, maka sastera sudah menjadi satu garis pemisah,” jelas Kathirina Susanna Tati.

Manakala Dayangku Mastura pula berpendapat, “Tidak semestinya dengan memiliki sarjana, fikiran akan berubah. Ada yang tiada sarjana tetapi mempunyai etika dan lebih pandai mengawal emosi dan ego. Kelayakan sarjana bukan ukuran terhadap sesuatu pengiktirafan. Mengapa harus dipertikaikan? Ada manusia tidak melihat cermin, tetapi sering melihat orang lain sedangkan mereka tidak melihat dirinya sendiri.”

Bual bicara santai dan bersahaja itu secara tidak langsung dilihat sebagai satu perjuangan menuntut dan mengangkat hak feminisme para penulis wanita yang sering diremehkan. Bersesuaian pula dengan identiti kepengarangan Azmah yang menjadi kemestian bagi mengungguli emansipasi wanita dalam karya-karyanya.

Demikian, berkarya sewajarnya menjadikan manusia lebih baik kerana sastera ialah agen penyatuan ummah. Justeru, isu kenegerian tidak wajar membunuh dunia sastera. Tambahan pula, perjuangan para penulis wanita memartabatkan sastera wajar diambil serius kerana perkahwinan sering membunuh penulis wanita. Lalu, mengapa harus diperkecil sebilangan mereka yang berjuang untuk terus hidup dalam lembaran selepas membina perkahwinan? Bual bicara berakhir dengan lontaran semangat oleh Azmah Nordin yang menyatakan, “Bakat tidak akan mati dan perkahwinan tidak membunuh semangat berkarya.”

Tonton bual bicara penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.