Oleh Karmila Azmi
15 Ogos 2021, 17:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seperti kebanyakan bahasa lain di dunia yang mempunyai sistem tulisannya sendiri, Jawi ialah sistem tulisan bahasa Melayu yang sebenarnya menjadi tanda kebangkitan peradaban.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam Wacana Kuasai Tulisan Jawi dan Manuskrip Melayu Islam Siri 1 yang dijalankan secara dalam talian pagi ini berkata, fungsi tulisan Rencong atau Pallava yang sebelum ini dikaitkan sebagai tulisan bahasa Melayu tidak meninggalkan kesan sekuat tulisan Jawi.

“Walaupun tulisan Rencong dan Pallava banyak ditemui di batu nisan tetapi tidak sebagai tanda persuratan yang nyata.

“Jawi sebaliknya tersebar di pelbagai bidang dan tulisannya ialah penanda era baharu dan kebangkitan era persuratan. Ia juga penanda Melayu sebuah bangsa besar, tidak sama dengan nasionalisme Barat yang berpetak-petak mengikut bangsa tetapi digunakan oleh semua bangsa di Alam Melayu, termasuk Jawa, Bugis dan Aceh,” katanya ketika berkongsi kertas kerja “Jawi dalam Pembinaan Tamadun Melayu”.

Tegas beliau, sistem tulisan Jawi juga melahirkan ulama besar di Alam Melayu dan lebih membanggakan tulisan ini juga digunakan oleh pendakwah Arab dalam usaha menyebarkan agama Islam.

“Jawi juga digunakan untuk merekodkan hikayat lama, antaranya Hikayat Merong Mahawangsa dan Sulalatus Salatin.

“Walaupun naskhah klasik, misalnya Sulalatus Salatin itu dibauri dengan unsur mitos, namun ia tidak boleh ditolak kerana ia merakam pelbagai hal yang lebih penting seperti soal ketatanegaraan dan undang undang,” katanya.

Tegas Awang, pada zaman sebelum merdeka, sistem tulisan Jawi juga digunakan dalam surat-menyurat antara sultan-sultan Melayu dengan pemimpin Barat, malah di Tanah Melayu sendiri ia digunakan oleh Kapitan Cina ketika itu, Yah Ah Loy dalam surat-menyuratnya kepada Ketua Polis Kuala Lumpur ketika itu.

Sementara itu, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar ketika sesi soal jawab menyebut, ketika zaman kolonial, sistem tulisan Jawi kuat dipertahankan, malah antara syarat kenaikan pangkat pegawai British ketika itu ialah kemahiran penggunaan Jawi. Bagaimanapun hal itu berubah secara perlahan selepas Malaysia merdeka.

“Orang Melayu berasa sangat takut untuk menyebut Jawi sebagai tanda sistem budaya mereka. Selepas merdeka, kedudukan Jawi semakin terperosok dan kelihatannya orang Melayu terlalu banyak berkompromi hinggakan kedudukan Jawi merosot,” katanya.

Untuk rekod, Wacana Kuasai Tulisan Jawi dan Manuskrip Melayu Islam Siri 1 dianjurkan oleh Kluster Tarbiyah dan Persuratan Islam, Nadwah Ilmuan ABIM dan Akademi KDH dengan kerjasama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia dan DBP. Wacana ini akan berlangsung dalam lima siri dengan siri berikutnya akan diadakan pada bulan September hingga Disember nanti.

Daftar borang penyertaan di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.