Oleh Mohamad Ibrahim
15 Ogos 2021, 20:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seremban – Seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Gemas, Muslim Ismail, berjaya menjadi johan bagi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2021 Peringkat Negeri Sembilan. Beliau yang mengajar mata pelajaran Geografi serta Landskap dan Nurseri berjaya menerima hadiah berjumlah RM1000. Muslim mendeklamasikan puisi “Di Halaman Nenek” oleh Fairul Pujangga. Penyertaan ini merupakan penyertaan keduanya selepas pertandingan tahun lepas. Beliau bakal bertanding ke peringkat kebangsaan yang akan dijalankan pada bulan September nanti.

Barisan pemenang utama (dari kiri): Muslim Ismail (Johan), Najmi Adli Mustafa (Tempat Ketiga) dan Huzaifah Omar (Naib Johan).

Sayembara deklamasi yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) ini telah berlangsung untuk kali ke-35 dengan jayanya semalam. Objektif sayembara ini diadakan untuk meneguhkan perpaduan kaum melalui pengucapan puisi, memperkasa semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia melalui pengucapan puisi, dan menyerikan kegiatan sambutan bulan Kemerdekaan pada setiap tahun melalui pengucapan puisi.

Selain Muslim Ismail, seramai 17 orang telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Naib johan sayembara ini dimenangi oleh Huzaifah Omar (puisi “Landskap Bangsa” oleh Mohamad Saleeh Rahamad) yang menerima hadiah RM700 dan tempat ketiga dimenangi oleh Najmi Adli Mustafa (puisi “Aduhai Negaraku Permai” oleh Abdul Hadi Yusoff) yang menerima hadiah RM500. Tiga pemenang sagu hati, Siti Syaidatul Amanina Kamaruddin (puisi “Abadikan Kesetiaan Kita” oleh Sani La Bise), Wan Mohd Husni Abdullah (puisi “Milik Siapakah Tanah Ini” oleh Mohd Ghazali Taib), dan Mohd Fazreen Mohd (puisi “Tanggam Warisan” oleh Shapiai Muhammad Ramly) yang menerima hadiah RM200 setiap seorang.

Sayembara ini yang berlangsung secara dalam talian juga diselitkan dengan sesi Besogheh Darihal Berkarya bersama-sama Sasterawan Negeri Sembilan Prof. Dr. Zakaria Ali – “Melukih dalam Menulih; Menulih dalam Melukih” dan Besogheh Seni Warisan bersama-sama Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail. Siti Zainon Ismail turut membuat penampilan istimewa dengan mendeklamasikan puisi “Bonda Kandung”.

Turut hadir menyaksikan sayembara ini ialah Ketua Satu PEN, Puan Nisah Haron, penyair dan pemenang SEA Write Award Encik Zaen Kasturi dan Pengarah DBP Wilayah Tengah, Tuan Haji Hassan Alias.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.