Oleh Adib MN
12 Ogos 2021, 16:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tbilisi – Campur tangan kerajaan dalam penilaian hadiah sastera bukan asing dalam kesusasteraan global, malah di negara seperti China, pemilihan penerimanya berkait rapat dengan ideologi negara.

Malah di negara kita sendiri, persepsi wujudnya campur tangan sebegini timbul dari semasa ke semasa sehingga adakalanya mencetuskan kontroversi, meskipun dalam ruang terkawal.

Harus diakui, campur tangan boleh berlaku secara di sebalik tabir atau dilakukan secara terang-terangan tetapi sekiranya dibenarkan tanpa usaha membantah atau mengkritiknya, hal ini boleh menurunkan atau menjatuhkan martabat anugerah atau hadiah sastera itu sendiri.

Hal ini dapat dilihat daripada tindakan anggota juri anugerah sastera berprestij di Georgia, Hadiah Litera, pengarang dan penerbit menarik diri daripada terbabit dengan proses penilaian atau dicalonkan untuk hadiah tersebut.

Tindakan kolektif itu diambil susulan daripada pelantikan pegawai Kementerian Kebudayaan, Ioseb Chumburidze oleh Menterinya, Tea Tsulukiani sebagai salah seorang panel juri untuk menilai hadiah terbabit.

Sehingga awal Ogos ini, lebih daripada 10 pengarang dilaporkan menarik diri daripada dicalonkan, manakala empat daripada lima juri turut meletakkan jawatan ekoran tindakan kali pertama kementerian itu melantik wakilnya untuk menganggotai panel penilai sejak diwujudkan pada tahun 2015, seperti dilaporkan oleh AGENDA.GE.

Dilaporkan, 93 daripada 110 karya yang dicalonkan turut ditarik balik.

Malah, Lembaga Pengarah Rumah Pengarang Georgia yang menjadi urus setia acara turut membantah tindakan kementerian, sekali gus menganggap langkah itu tidak dapat diterima.

Memetik laporan portal berita on.ge, juri yang menarik diri, Bela Tsipuria menegaskan protes itu menggambarkan “kecurigaan yang bukan sahaja daripada para penulis, bahkan seluruh masyarakat Georgia terhadap pentadbiran kerajaan.”

Tsipuria yang juga profesor sastera Georgia dan sastera bandingan serta bekas Timbalan Menteri Pendidikan dan Sains, menarik diri bersama-sama tiga lagi panel, iaitu Oktai Kazumov, Lela Kodalashvili dan Rezo Tabukashvili.

Sementara itu, Pengarah Program Eurasia, PEN America, Polina Sadovskaya berkata percubaan sebelah pihak Kementerian Kebudayaan untuk melantik pegawai kerajaan sebagai juri Hadiah Litera pada tahun ini membangkitkan persoalan penting terhadap campur tangan politik dalam sastera dan seni, serta hak pengarang untuk mengamalkan kebebasan meluahkan ekspresi dan pandangan.

“Anugerah sastera sepatutnya bebas daripada campur tangan kerajaan dan pengarang perlu selesa dalam menghasilkan karya tanpa berdepan risiko penilaian tidak adil daripada juri atau jawatankuasa pemilihan yang ada dorongan politik.

“Implikasi daripada hadiah pada tahun ini sepatutnya menjadi peringatan kepada kerajaan Georgia supaya tidak lagi mengganggu ruang kemerdekaan dan kebebasan,” katanya dalam kenyataan rasmi PEN America di laman webnya.

Hadiah Litera yang diberikan secara tahunan itu, mempunyai enam kategori termasuk novel, prosa dokumentari dan kulit buku terbaik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.