10 Ogos 2021, 22:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Raja Yusoff Ariffin pernah mendapat pelbagai pengajaran daripada penghayatan cerita binatang yang terdapat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu semasa menuntut di tingkatan enam. Beliau ingin mengongsikan pengalaman itu.

Walaupun cara kancil itu tidak wajar diikuti kerana ia sebenarnya menipu, tetapi hal yang lebih penting ialah teladan sebaliknya, bahawa si kecil tidak semestinya sentiasa menjadi mangsa si besar.

Selain cerita hantu, cerita asal usul dan cerita berbingkai, sebuah lagi cerita lisan atau dongeng rakyat yang disukai ramai dalam kesusasteraan Melayu lama ialah cerita binatang. Watak haiwan yang paling terkenal dan sentiasa dikaitkan dengan cerita ini ialah kancil.

Terdapat sebuah hikayat mengenai kancil ataupun pelanduk yang terkenal, iaitu Hikayat Pelanduk Jenaka (kini, lebih dikenali sebagai Cerita Sang Kancil). Dalam cerita tersebut, kancil dianggap sebagai wira. Kancil ini tidak menggunakan kekuatan fizikal untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya, tetapi kemampuan daya fikirnya.

Keperwiraan kancil tersebut jelas diceritakan menerusi kemenangannya dengan menggunakan akal fikirannya ketika menghadapi binatang yang jauh lebih besar dan berbahaya, seperti gajah, harimau, buaya, dan ular.

Walaupun cara kancil itu tidak wajar diikuti kerana ia sebenarnya menipu, tetapi hal yang lebih penting ialah teladan sebaliknya, bahawa si kecil tidak semestinya sentiasa menjadi mangsa si besar. Justeru, kancil yang diwujudkan menjadi lambang kekuatan golongan kecil tetapi pintar.

Selain bahagian yang menceritakan kemenangan kancil itu, terdapat dua bahagian lagi dalam Hikayat Pelanduk Jenaka yang menarik perhatian. Satu daripadanya menceritakan kancil menjadi hakim apabila berperanan menyelesaikan beberapa masalah atau perbalahan manusia dengan binatang lain, yang turut mengandungi falsafah dan pengajaran yang tertentu.

Secara halus, cerita ini menunjukkan bahawa manusia mesti menyedari kelemahan diri. Manusia wajar menyedari mengapa binatang pula yang mesti menyelesaikan masalah manusia (yang disebabkan oleh manusia sendiri), sedangkan manusia merupakan sebaik-baik kejadian yang turut dikurniai Allah akal fikiran. Oleh sebab ada akal fikiran, hanya manusia sendiri yang dapat menyelesaikan perbalahan sesama mereka, bukan bergantung harapan pada anasir lain.

Cerita Sang Kancil dalam bentuk buku cerita terbitan ITBM.

Justeru, cerita kancil turut mengajar kita agar menggunakan akal untuk berfikir apabila menghadapi sesuatu masalah. Di sinilah kepintaran sang kancil wajar diteladani. Jangan gunakan kebijaksanaan untuk tujuan keburukan, tetapi gunakan akal sebaik-baiknya agar tidak hanya berserah pada takdir hidup di hadapan.

Satu bahagian lagi yang menarik membawa cerita kancil dikalahkan oleh binatang yang lebih kecil atau lemah, iaitu siput babi, agas dan bangau. Cerita-cerita ini bertujuan untuk memberikan kesedaran bahawa seseorang yang pintar dan bijak jangan sentiasa berlagak sombong serta lupa daratan kerana sesekali dia akan turut kecewa lantaran ada yang lebih pandai daripadanya. Satu kenyataan yang pahit untuk ditelan pada masa kini ialah ramai manusia menyalahgunakan kepintaran mereka untuk menipu dan mencari kemewahan, tanpa menyedari, mereka akhirnya akan menerima akibat perbuatannya juga suatu masa nanti.

Walaupun suasana, latar tempat dan masanya purba, isi kandungan dan watak-wataknya tetap boleh disesuaikan dengan keadaan dan suasana zaman sekarang.

Cerita binatang, khususnya watak kancil merupakan rekaan semata-mata. Walaupun begitu, ceritanya diminati oleh kanak-kanak pelbagai usia sehingga kini. Meskipun kini kancil sukar ditemui di Malaysia, tetapi namanya tidak pernah luput daripada ingatan masyarakat kerana kewujudan cerita mengenainya dikisahkan secara turun-temurun.

Kisah-kisah rakyat seperti cerita binatang sememangnya wajar dilestarikan. Cerita binatang kita juga mampu menghiburkan, walaupun usaha memasyarakatkan ceritanya pada hari ini masih tidak cukup kuat. Atas cabaran zaman serba moden sekarang, sudah terlalu banyak unsur media dan wahana dari luar negara yang turut menuntut ruang penyampaiannya dalam kalangan masyarakat, malah kebanyakan isi kandungannya juga cukup menghiburkan dan mempunyai garapan yang sofistikated dan maju.

Namun begitu, hal ini tidak sepatutnya mengurangkan kekuatan yang sudah ada dalam cerita binatang tempatan. Walaupun suasana, latar tempat dan masanya purba, isi kandungan dan watak-wataknya tetap boleh disesuaikan dengan keadaan dan suasana zaman sekarang. Isi pengajarannya tetap relevan sepanjang masa.

Cerita binatang dapat memberikan pengajaran moral, selain menyampaikan kritikan dan sindiran terhadap manusia. Lihat sahaja dengan kisah Sang Kancil. Jelas, pengajaran moral, kritikan dan sindiran terserap kukuh dalam isi ceritanya.

Animasi Hikayat Sang Kancil terbitan Filem Negara Malaysia.

Pada masa lalu, cerita binatang pernah dijadikan komik di beberapa akhbar dan majalah. Walau bagaimanapun, hal itu belum memadai kerana media lain yang lebih berpengaruh diperlukan untuk memainkan peranan. Dalam hal ini, televisyen diyakini dapat memainkan peranan tersebut dengan berkesan.

Saya fikir usaha memperkenal cerita binatang lebih wajar dimulakan daripada peringkat kanak-kanak. Ada juga cara lain yang lebih berkesan, iaitu filem animasi (tempoh masa penceritaan yang lebih panjang) yang disiarkan di televisyen. Kanak-kanak menggemari cerita binatang dan filem animasi. Justeru, filem animasi merupakan media yang paling tepat. Tidak lama dahulu, terdapat beberapa buah filem animasi tempatan, seperti siri Hikayat Sang Kancil; Sang Kancil, Kerbau dan Budaya, Sang Kancil dan Monyet dan Sang Kancil dan Buaya terbitan Filem Negara Malaysia. Namun demikian, Garapan ini hanyalah filem selingan, bukan rantaian. Usaha tersebut perlu dilakukan dengan lebih serius dan konsisten.

Kanak-kanak kita hari ini juga lebih menggemari dan mengenali watak-watak haiwan daripada filem animasi Barat, khususnya dari Studio Disney, seperti The Lion King, Ratatouille, The Jungle Book, Zootopia, dan A Bug’s Life. Begitu juga dengan anime dan manga Jepun yang makin popular dalam kalangan kanak-kanak.

Oleh itu, para karyawan kita, khususnya dalam industri kreatif filem dan televisyen, perlu serius dan berusaha gigih mencari prakarsa dan strategi untuk merekayasa dan menghidupkan kembali watak-watak binatang yang sedia ada dalam kisah lisan rakyat kita. Kisah-kisah ini boleh ditampilkan dengan suasana, pengajaran dan garapan yang lebih sesuai dengan zaman sekarang.

Diharapkan gerakan merekayasa cerita binatang dalam filem animasi kita dapat dihasilkan, sedikit demi sedikit. Semoga jumlahnya nanti dapat mengimbangi jumlah filem animasi Barat (sekurang-kurangnya, jikalau pun tidak dapat terus menggantikan). Ceritanya juga boleh diselitkan dengan isu semasa, seperti perpaduan, kejiranan dan kepimpinan negara, selagi jiwa dan keasliannya masih dikekalkan. Sebenarnya, industri animasi kita sudah pun berjaya menghasilkan isi kandungan yang membanggakan dan mendunia, seperti tiga francais animasi yang terkenal, Upin & Ipin, Ejen Ali dan Boboiboy. Sudah tiba kita melihat kembali warisan khazanah cerita kita sendiri untuk suatu pacuan imej yang menyegarkan dan tetap mengandungi budaya dan kebaikan tradisinya.

Tonton cerita binatang untuk kanak-kanak terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka di sini.

_________________________

Raja Yusoff Ariffin atau Raja Yusoff Raja Ariffin dilahirkan pada 21 Ogos 1962 di Pulau Tiga Kanan, Parit, Perak. Beliau menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Raja Yusoff merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur, rakan Tajulmedia Melayu dan pernah menganggotai PAKSI. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun “Beraya di Kampung Warisan Melayu” Satu Property (2020).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.