8 Ogos 2021, 01:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Singapura – Jamal Ismail atau lebih mesra dengan panggilan Pak Jamal merupakan sasterawan Singapura yang sangat berbakat dengan gaya penulisan dan penceritaan yang begitu tersusun dan tersulam indah, sehingga dapat dibayangkan kerja-kerja produksi yang digulatinya selama ini. Terkini, Pak Jamal telah mengangkat siri drama Ombak Selatan tulisannya menjadi sebuah novel.

“Tidak seperti tayangan Ombak Selatan yang bersiaran di kaca televisyen yang lebih tertumpu kepada keperluan penonton, cabaran kali ini, saya perlu menyediakan keperluan sebuah buku yang indah bahasanya dan tinggi nilai kemanusiaannya.

“Tayangan secara visual lebih mudah, tetapi untuk sebuah novel saya perlu menyediakan latar sebelum watak-watak berdialog supaya para pembaca dapat membayangkan apa-apa yang diceritakan. Paling perit, saya perlu mengikut kehendak sebuah novel sastera yang tentunya bersifat memberi harapan,” ujar beliau.

Novel terbaharunya ini merupakan adunan pengalaman hidupnya yang sewaktu masa dahulu pernah berkhidmat dalam Kementerian Kesihatan dan pada suatu ketika ditempatkan di Bahagian Penyakit Berjangkit. Bersesuaian dengan tugasnya itu, maka beliau kerap dihantar ke pulau-pulau kecil di selatan “Tanah Besar” Singapura untuk membuat pemantauan dan penyelidikan. Justeru, di situlah bermulanya pengalaman hidup Jamal mengenali budaya dan cara hidup masyarakat di pesisir pantai yang rata-ratanya berkhidmat sebagai nelayan.

Novel Ombak Selatan ialah cerita tentang kehidupan manusia di pesisir pantai selatan Singapura, yang merangkumi Pulau Sudong sebagai pulau penempatan utama orang Melayu. Krisis kehidupan yang dialami oleh orang Melayu sekitar tahun 1970-an telah mendesak mereka berhijrah ke Singapura, iaitu di Pasir Panjang kerana kemudahan perumahan dan keperluan meneruskan kehidupan. Impak besarnya, mereka meninggalkan kerja sebagai nelayan yang selama ini menjadi akar budaya dan ekonomi penduduk Pulau Sudong. Bahkan, sebuah sekolah Melayu yang terbina di Pulau Sudong juga turut terjejas kerana seorang demi seorang murid di situ meninggalkan sekolah kerana berhijrah. Akhirnya, sekolah itu terpaksa ditutup akibat kekurangan murid, dan hanya tinggal seorang guru sahaja yang setia berkhidmat di situ. Watak guru Badrun dalam novel ini ialah nama sebenar yang terjelma daripada dunia realiti yang diabadikan oleh Jamal Ismail dalam novel ini.

Tatkala mengingat kembali perbualan beliau dengan Cikgu Badrun yang berbunyi, “Jamal, jika ada anak-anak aku yang hendak menjadi guru aku tidak akan izinkan, kerana menjadi guru bermaksud perlu menjadi pejuang,” kelihatan Pak Jamal begitu emosional sehingga mengundang sebak. Sisa-sisa pengalaman dan perjuangan yang pekat daripada seorang guru itu telah menghantar kekuatan kepadanya untuk merakamkan dan mengangkat isu pendidikan di Singapura dalam novel ini. Beliau yakin dan percaya bahawa agamawan ialah manusia yang unik kerana mereka memandang dunia dan akhirat sebagai landasan kehidupan. Namun begitu, kerana pesatnya perkembangan pembangunan, maka madrasah-madrasah di Singapura telah diubah sukatan pelajarannya.

Novel ini juga turut mewarnakan watak guru persilatan yang dijelmakan daripada alam realiti sebagai seorang yang begitu kuat mempertahankan budaya dan cara hidup tradisi. Inilah perca-perca kehidupan tentang kemasyarakatan, gugusan masalah, cabaran, budaya, dan kecintaan terhadap bahasa Melayu yang sempat dirakamkan. Ombak Selatan bukanlah kisah cinta berpanjangan yang tidak berkesudahan, sebaliknya sebuah karya naratif yang hidup dengan nadanya bernafas optimis dan kritis.

Jamal Ismail dan novel terbaharunya.

“Tidak keterlaluan saya katakan bahawa Ombak Selatan ialah karya yang merakamkan dengan baik pengalaman hidup sebuah komuniti Pulau Selatan yang terusung keluar dari kampung halaman mereka,” ujar Dr. Azhar Ibrahim Alwee dari Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura, ketika mengulas novel ini sewaktu majlis pelancarannya melalui siaran langsung Facebook pada 7 Ogos jam 11.00 pagi.

“Penulis adalah satu golongan istimewa yang ada kehalusan rasa. Jika jiwanya terganggu, harus dilayan dan direnung. Juga (mereka) perlu mengambil tahu tentang kehidupan orang di sekeliling, sama ada suka atau tidak. Fakta dan imaginasi akan berkembang seiring untuk menghasilkan sesebuah karya sastera,” ujar Jamal Ismail ketika ditanya tentang tip-tip penulisan bagi penulis muda.

“Hanya karya-karya sastera sahaja yang dapat merakamkan cabaran-cabaran hidup manusia dengan lebih dekat. Inilah sejarah bangsa Melayu yang melalui pelbagai kisah hidup, namun terbuka dalam menerima setiap perubahan,” ujarnya lagi.

Pak Jamal juga menyuarakan harapannya agar novel Ombak Selatan dapat dijadikan mutiara rujukan kepada sesiapa sahaja apabila menghadapi cabaran-cabaran kehidupan.

Tonton program penuh pelancaran novel Ombak Selatan di sini. Sila layari Facebook Prakxis untuk sebarang maklumat pembelian novel ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.