Oleh Orked Una
8 Ogos 2021, 22:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) tidak melupakan penggiat dan perniagaan industri kreatif, khususnya penggiat sastera yang terkesan dengan pandemik supaya mampu bangkit semula dan meneruskan pengkaryaan menerusi Geran Pemulihan Industri Kreatif (GPIK). Kali ini, MyCreative Ventures membuka pendaftaran bagi pusingan keempat Geran Sastera dan Penerbitan Buku mulai 19 Julai hingga 30 Ogos 2021 bagi permohonan individu, syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan menerusi laman sesawang MyCreative.

Kumpulan MyCreative Ventures dengan kerjasama Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) mengadakan sesi penerangan webinar yang disiarkan di platform Zoom dan Facebook Langsung pada 5 Ogos jam 8.30 malam. Encik Mohd Hafifi Mohd Noor, sekretariat geran Sastera dan Penerbitan Buku dan Encik Masalwi Hasawan, pengurus pelaburan  menerangkan geran dan inisiatif kewangan. Turut hadir ialah Encik Nasir Juri, pengurus besar kewangan; Encik Wan Asyraf Azizi, pengurus geran; dan Puan Gina Subki, pegawai komunikasi korporat.

Penerangan pertama dimulakan oleh Mohd Hafifi mengenai Geran Sastera dan Terbitan Buku (GPIK Sastera). Geran ini merupakan bantuan kepada para penerbit buku tempatan dan majalah serta karyawan buku bagi melangsungkan aktiviti kajian, penulisan, penerbitan, jualan, serta promosi buku, termasuk karya sastera tempatan, karya fiksyen dan bukan fiksyen, novel grafik, buku komik, puisi, biografi, kajian, dan laporan. Jumlah bantuan yang boleh dipohon bergantung pada permohonan pemohon.

Permohonan ini juga terbuka kepada para penulis yang sudah bersara dengan pencen tetap, malah inisiatif geran bertujuan untuk membantu karyawan yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Bagi sebarang kemusykilan, Hafifi boleh dihubungi menerusi WhatsApp (017-3013365) atau melalui e-mel [email protected].

Sesi seterusnya disambung oleh Masalwi yang menerangkan Pelan Pemasaran dan Promosi Digital (GPPD) bagi Penciptaan Kandungan Kreatif: Cabang Kreatif Kesusasteraan yang melibatkan buku, majalah, komik, dan novel grafik. Geran ini direka khas bagi membantu para penggiat industri kreatif dalam pemasaran, baik dalam bentuk barangan, perkhidmatan atau memasarkan bakat mereka secara dalam talian melalui aplikasi, paparan iklan dan pengantara digital yang lain, seperti Media Prima Digital, Astro atau mana-mana platform digital yang diterima oleh MyCreative Ventures, seperti Facebook, Instagram, Google, Tik Tok, Snapchat, Twitter, YouTube, LindkedIn, dan Pinterest. Pakej tawaran yang diberikan adalah berbeza mengikut platform, aplikasi dan kekerapan iklan. Pembayaran semula sehingga RM 3 ribu disediakan di bawah program ini.

Inisiatif bantuan pinjaman kewangan turut disediakan oleh MyCreative Ventures yang disasarkan kepada entiti milikan tunggal, perkongsian atau syarikat sendirian berhad yang terkesan akibat pandemik menerusi Skim Padanan Pinjaman Pelaburan (SPPP) dan Pinjaman Mudah Trek Laju: Pinjaman Pengantaraan bagi Penerbit Kandungan Industri Kreatif, Pinjaman Mikro bagi Usahawan Kreatif, dan Pinjaman Pemulihan Perniagaan Industri Kreatif.

Masalwi meneruskan penerangan dengan menyarankan penggiat industri supaya memohon Program Halaju Digital, satu langkah untuk membantu penggiat industri kreatif mengadaptasi dimensi digital ke dalam perniagaan ataupun aktiviti kreatif mereka. Inisiatif ini turut memberikan bimbingan latihan dan pemberian peralatan percuma oleh Google bagi membantu penggiat seni mengadaptasi norma baharu dengan lebih cepat. Kemudahan yang ditawarkan termasuk Google for Nonprofits dan Google Arts and Culture. Bagi latihan pula ialah YouTube Creator Academy, Mahir Digital bersama Google dan Skillshop.

Para pemohon digalakkan untuk menghantar permohonan lengkap sebelum tarikh tutup 30 Ogos 2021.

Tonton sesi penerangan ini di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.