6 Ogos 2021, 09:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Singapura – Sastera ialah alat untuk menyampaikan tujuan, mempertajam pandangan manusia terhadap hidupnya, memberikan kesedaran dan memperkaya jiwa, mempertingkat peradaban manusia, dan juga sebagai dokumen kebudayaan yang melafazkan cita rasa, hati budi, orientasi pemikiran dan keagamaan yang diungkapkan dalam bentuk bertulis. Hal ini dapat dibuktikan melalui artifak-artifak sejarah dan budaya yang banyak ditemukan dari Aceh hingga Papua, bahkan mengangkat bahasa Melayu sebagai lingua franca. Di Sri Lanka misalnya, bukti perkembangan percetakan penulisan Melayu telah ditemui sejak abad ke-19 lagi.

Melihat akan peri penting kefahaman terhadap ranah sastera yang perlu dijana dan diturap ke dalam jiwa dan pemikiran manusia dekad ini, maka Yayasan Warisan Melayu melalui siri wacananya yang ketujuh, telah membincangkan isi keintelektualan Melayu dengan judul “Sastera Melayu Kecendekiawan Berseni Kata” yang disampaikan oleh Dr. Azhar Ibrahim Alwee dari Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura pada 31 Julai melalui siaran langsung Facebook.

Takrif sastera Melayu mungkin lebih dikenali oleh penulis, pengkritik dan dunia penerbitan Melayu, namun ungkapan berseni ini memerlukan daya estetik dan kematangan yang tidak wajar difahami secara literal semata-mata. Bahkan, maksud kata berseni mengandungi kemampuan untuk mengungkapkan kefasihan yang tersendiri, kedalaman isi yang kuat, serta dapat menjana imaginasi, idea alternatif dan visi baharu. Justeru, ruang lingkup estetika yang terkandung dalam sastera tidak boleh bergantung semata-matanya pada nilai estetika tradisional zaman dahulu. Perlu ada anjakan paradigma yang bersesuaian dengan perkembangan arus pemodenan yang deras. Lantaran itu, konteks kata yang terlafaz perlulah padu dan baharu. Hal ini demikian penting kerana sastera dapat membawa para pembaca ke gerbang baharu untuk melihat realiti dan memperkembangkan apa-apa sahaja yang lebih baik untuk diusahakan.

Dr. Azhar Ibrahim Alwee

“Justeru, amat janggal dan tempang sekiranya setiap kajian tentang keintelektualan Melayu tidak merujuk ranah sastera melalui sasterawan Melayu. Hal ini kerana, sastera bukanlah cerita-cerita kosong. Sebaliknya, sastera dan keintelektualan sering berhubung dan tidak boleh dipisahkan.

“Misalnya, karya-karya Muhammad Haji Salleh yang kaya dengan puitika sastera Melayu, Harun Aminurrashid yang terkenal dengan novel-novel sejarah, Shahnon Ahmad yang sering mengungkapkan persoalan kemasyarakatan dan kemanusiaan, Siti Zainon Ismail bersama puisi, cerpen dan kajian ilmiahnya, dan Kassim Ahmad yang terkenal sebagai public intellectual yang sering tampil dalam sfera pemikiran Melayu, maka parameter keintelektualan para sasterawan ini jelas dapat diukur,” ujar Azhar Ibrahim.

Tidak kurang juga sasterawan Singapura yang aktif berpencak di ranah sastera, bahkan hasil karya mereka dinikmati oleh masyarakat kerana padat dengan cerita yang mengangkat persoalan sosial dan gagasan kemanusiaan. “Kelompok sasterawan ini harus diungguli pemikirannya, kerana peranan mereka dalam menyatakan keberanian di hadapan penguasa misalnya, adalah amat penting untuk menegur retorika kosong, licik dan jahat. Mereka mewakili suara hati masyarakat yang mengimpikan keadilan dan keamanan sejagat,” tambah beliau.

Demikian, hal ini perlu difahami tentang peri pentingnya keharusan membicarakan kecendekiawan ranah sastera, kerana tradisi persuratan yang datang daripada pujangga Melayu, perawi, ulama dan tukang cerita adalah untuk menggerakkan pesanan, kritikan dan gagasan idea daripada satu generasi kepada generasi seterusnya. Inilah tujuan dan kepentingan sastera yang wujud sejak abad ke-20. Misalnya selepas peperangan, ada usaha dipancarkan melalui penulisan yang mengangkat aspirasi untuk bangun dan merenung kembali penindasan yang telah dilakukan oleh kuasa feudal dan kolonial yang tidak berpihak kepada rakyat. Justeru, sastera sebagai wadah pengaliran idea untuk kemajuan dan perubahan dalam masyarakat, juga penting dilihat sebagai wahana pendidikan, kebudayaan, kebahasaan, dan kesenian.

Namun demikian, kelompok sastera dan sasterawan pula sering dipandang sepi dan terasing. Pemikiran dan suara hati mereka yang mewakili kelompok sanubari rakyat selalu sahaja dipinggirkan. Maka, tidak hairan apabila karya-karya sastera amat jarang dipertonton atau difilemkan. Hanya selepas ketiadaan seseorang penggiat sastera atau sasterawan, barulah karya-karya mereka diangkat. Sedang dari sisi lain, ramai penulis moden menulis novel bukan untuk menyumbang kepada sastera tetapi untuk dijadikan drama dan filem. Menurut Dr. Azhar, para pempengaruh pula membanjiri dunia penulisan media sosial dan mereka tidak datang daripada “top leadership” sastera. Golongan teknokrat pula tidak menganggap sastera sebagai sesuatu yang menguntungkan atau boleh membawa perubahan pada pembangunan masyarakat. Sedangkan, daya pemikiran hayat sasterawan lebih panjang, malah gerakan budaya, seni serta sastera lebih luas, bebas dan berdaya tahan dalam suatu jarak masa yang panjang jika dibandingkan dengan hayat politik.

Kecendekiawan pemikiran golongan ini mampu menerobos ke dalam ranah pendidikan remaja dan dewasa. Masalah kekurangan sokongan terhadap sastera ini juga timbul akibat daripada keghairahan pengteorian, iaitu ketaasuban membaca teori sastera tanpa membaca karyanya. Justeru, dunia sastera terpisah daripada golongan cerdik pandai, sedangkan keintelektualan dan kecendekiawannya jelas terangkum dalam sastera Melayu.

“Orang yang menganggap sastera tidak membawa impak yang baik kepada dunia adalah orang yang barangkali tidak membaca karya sastera,” ujar Azhar Ibrahim.

Lihat kembali bicara Sasterawan Negara Keris Mas yang ditinggalkan kepada masyarakat umum:

Cara saya menulis mungkin ada yang bersamaan atau yang sesuai dengan teori-teori itu, tetapi bukan itu pola pokoknya. Pokoknya ialah penyampaian perasaan dan fikiran yang ada gunanya untuk kemanusiaan dan kemasyarakatan. Bila kita melahirkan perasaan, maka itu adalah proses kesenian yang menjadi asas estetika. Dan bila kita melahirkan isi, iaitu idea-idea yang menjadi mesej, maka itu adalah proses intelektual.

Demikian, membaca sastera Melayu sememangnya menyamai membaca kecendekiawan Melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.