3 Ogos 2021, 22:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Adam Taufiq Suharto selesai membaca buku Sastera: Pengalaman, Ilmu, Imaginasi dan Kitarannya karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad dan menemui beberapa persoalan dan perbincangan yang memerlukan perhatian.

Sebahagian hal lain yang menarik apabila Shahnon membongkar tentang ‘penyakit-penyakit’ dalam sastera tanah air (merujuk tahun 1990-an atau masihkah hal ini releven?) yang memandulkan perkembangan susastera.

Inilah buku bukan fiksyen kedua karangan Sasterawan Negara (SN) Allahyarham Shahnon Ahmad yang dibaca selepas Gubahan Novel. Gubahan Novel lebih berfokus pada hal estetika dalam hal menggubah atau menghasilkan sesebuah novel atau karya, manakala buku ini pula walaupun masih ada saranan untuk menjadi penulis, bentuknya merupakan himpunan esei yang rencam serta menonjolkan idealisme Shahnon Ahmad terhadap sastera, kemanusiaan dan Islam, atau ingin saya meminjam kata-kata Salleh Ben Joned, yakni “sastera idaman”. Dalam kes buku ini, kita sedang dibentangkan oleh Shahnon Ahmad tentang “sastera idaman”nya.

Disebabkan himpunan esei dalam buku ini rencam, maka saya mungkin menyentuh beberapa bahagian yang berbekas, antaranya Shahnon membentangkan semacam manual atau jalan untuk menjadi penulis yang baik, dengan tidak semata-mata mengharapkan pengalaman, tetapi pentingnya untuk menyepadukan pengalaman dengan ilmu dan imaginasi bagi tujuan berkarya. Buat Shahnon, untuk menjadi penulis, pengalaman sahaja tidak cukup tanpa ilmu, juga pengalaman dan ilmu sahaja pun tidak cukup tanpa imaginasi. Menurutnya, perlu ada kesepaduan antara ketiga-tiga hal ini dalam penghasilan naskah.

Sebahagian hal lain yang menarik apabila Shahnon membongkar tentang “penyakit-penyakit” dalam sastera tanah air (merujuk tahun 1990-an atau masihkah hal ini releven?) yang memandulkan perkembangan susastera. Antaranya, “penyakit” suka berpersatuan jika dalam konteks luar naskhah. Ghairah berpersatuan ini akhirnya merengsakan ghairah terhadap naskhah sastera itu sendiri. Saya kira kritikan ini relevan kepada semua lapangan dan tidak terbatas kepada sastera sahaja. Sementara itu, dalam konteks kandungan naskhah pula, Shahnon menegaskan masalah utama sastera tanah air ialah lambakan idea dalam satu-satu naskhah yang akhirnya menghasilkan sebuah karya didaktik atau “berkhutbah” sehingga melupakan kraf dan estetika. Hal ini menjadi bualan dan persoalan sehingga detik ini. Menariknya, seingat saya, SN A. Samad Said dalam salah sebuah novelnya, Langit Petang (jika saya tak silap) ada menyebut yang Shahnon sendiri terlalu mengetengahkan intelektualnya, berbanding dengan estetika dalam teks-teks karangannya. Apa-apa pun, hal itu sekadar pandangannya, saya sendiri pun kurang bersetuju.

Selain hal-hal ajaran penulisan, dalam beberapa bahagian, Shahnon menolak keras pascamodenisme, baik secara falsafah mahupun secara estetika. Beliau menggunakan istillah “jungkir balik” untuk merujuk kekacauan dan ketidakjelasan terhadap karya-karya yang bersifat pasmodenisme. Antara sebab utama penolakan Shahnon terhadap pascamodenisme ialah, menurutnya, wujud pascamodenisme menolak “kebenaran hakiki”, termasuk Tuhan dan agama.

Saya tidak mahu menyentuh hal kepercayaan itu, tetapi penolakan Shahnon ini seakan-akan berkontradik dengan luahan dan rengekannya terhadap karya sastera tanah air yang belum keluar atau masih terperangkap dengan tatapenulisan hikayat, atau disebutnya sebagai traveller’s tale (pada era itu), yang bermonotoni dan tidak berkembang. Kontradiknya adalah apabila beliau mengkritik keras karya-karya tempatan yang cuba mengambil pendekatan pascamodenisme. Menurutnya, karya-karya ini “tidak jelas kemanusiaannya”, hilang idealisme, dan seperti “manusia-manusia yang kecewa – yang tidak pernah mimpikan idealisme selain keluhan dan gundah gulana.” Persoalannya, bukankah sikap atau pandangan ini juga akan menjadi dinding penyekat perkembangan sastera tanah air?

Walau bagaimanapun, Shahnon Ahmad tidak menafikan bahawa pengaruh pascamodenisme ini telah memberikan sumbangan besar kepada sastera dunia dengan teori kritikan sastera yang tumbuh terus. Beliau tetap tegas menekankan, penulis tanah air harus ada “keperibadian sendiri”, yang membezakannya dengan penulis Barat atau di luarnya. Sayangnya, menurut saya, “keperibadian sendiri” ini masih (atau telah?) menjadi misteri dengan hadirnya badai globalisasi.

Apa-apa pun, sebalik kerencaman himpunan esei dalam buku ini, yang tekal sekali ialah suaranya tentang sastera atau seni Islam. Seawal bab pendahuluan lagi, Shahnon telah memetik kata-kata Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas tentang ilmu, yakni “Ketibaan sesuatu makna hasil daripada maklumat yang benar ke dalam diri seseorang.” Berpaut dengan petikan al-Attas itu, Shahnon tekankan kewajipan untuk memperoleh ilmu yang datang daripada “kebenaran hakiki”. Petikan itu diikuti dengan hujah panjangnya tentang Islamisasi seni dan Islamisasi Sastera yang akhirnya membawa beliau kepada kenyataan: “Hanya saya rasakan kita sebagai sasterawan perlu kembali kepada tahap mengunakan pengalaman, ilmu dan imaginasi yang autentik yang diperoleh daripada sumber yang hakiki”.

Membaca buku ini sehingga tamat memahamkan saya betapa di alam fikir seorang Shahnon Ahmad memang wujud “sastera idaman” yang menurutnya harus terkandung 3K, iaitu kebenaran, kebaikan dan keindahan (yang saya syak diilhamkan daripada falsafah seni Buya Hamka bahawa seni harus ada keindahan, kesempurnaan dan kemuliaan), atau dalam erti kata lain, Seni dan Sastera Islam. Semoga buku ini dapat dibaca oleh lebih ramai orang.

Al-Fatihah, Cikgu Shahnon Ahmad.

Beli buku Sastera: Pengalaman, Ilmu, Imaginasi dan Kitarannya di sini.

_________________________

Adam Taufiq Suharto merupakan penulis dan pengkarya bebas. Selain pernah bertugas sebagai penulis skrip untuk stesen televisyen tempatan, beliau juga aktif membikin filem pendek, juga menulis esei dan cerpen.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi