Oleh Ridzuan Kamis
1 Ogos 2021, 07:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ridzuan Kamis melihat pentingnya membaca puisi kanak-kanak pada taraf kefahamannya yang sesuai dengan khalayaknya.

Sebagai penulis dewasa yang menulis puisi dewasa (umum), tidak seharusnya membaca puisi kanak-kanak dari kaca mata dewasa kerana puisi kanak-kanak sememangnya bersifat sedemikian rupa, yakni polos, selapis makna, berentak dan kontot.

Puisi kanak-kanak berkemungkinan karya yang dihasilkan sama ada oleh kanak-kanak sendiri atau digarap oleh penulis dewasa untuk bacaan kanak-kanak. Puisi kanak-kanak paling acap ditulis ialah sajak selain pantun, gurindam dan syair. Pada asasnya, puisi kanak-kanak sememangnya menggunakan bahasa biasa yang mewakili aras komunikatif paling rendah dan mudah untuk difahami. Biasanya, tema dan persoalan puisi kanak-kanak merujuk hal diri sendiri, persekitaran terdekat dan perihal umum, seperti kebersihan, keselamatan, kesihatan, kasih sayang, alam sekitar, kisah binatang, kemanusiaan dan ketuhanan.

Maka tidak hairanlah, puisi kanak-kanak dibaitkan dalam lapisan makna yang polos, bersahaja, bahasa mudah, selain mempunyai permainan rima bunyi aliterasi atau asonansi yang berentak. Kendatipun, sajak yang dihasilkan bersifat polos dan selapis, namun setiap karya yang diketengahkan sesungguhnya mempunyai elemen pendidikan, berpengajaran, berpedoman, dan adanya nilai-nilai murni yang diterapkan secara dominan.

Karya kreatif sastera biasanya dikategorikan kepada tiga, yakni karya dewasa (umum), remaja dan kanak-kanak. Maka, sudah pastilah ketiga-tiga kategori ini mempunyai aras komunikatif berbeza dan gaya penyampaian yang tersendiri. Di negara kita, karya yang cenderung ke arah keremajaan dan kanak-kanak disifatkan amat kurang dan terhad daripada karya kreatif sastera berbentuk dewasa. Buku-buku atau karya eceran sastera lebih dimonopoli oleh karya umum. Situasi ini memungkinkan seseorang pembaca kurang didedahkan dengan karya kanak-kanak.

Penerbitan buku puisi kanak-kanak sebetulnya boleh dibilang dengan jari kerana kurangnya minat penulis untuk menghasilkan karya sasaran kanak-kanak berbanding dengan buku cerita kanak-kanak yang sememangnya berlambak diterbitkan. Selain itu, tidak banyak penerbit yang berminat untuk menerbitkan buku berkonsepkan puisi kanak-kanak selain tiadanya ruang dalam majalah atau akhbar untuk ruangan karya kanak-kanak.

Buku Puisi Kanak-kanak

Menurut dapatan data daripada artikel penulis Mohd Helmi Ahmad, pada tahun 2017 dan 2018, hanya terdapat enam buah judul buku puisi kanak-kanak perseorangan di pasaran, iaitu Kenangan Ayah (DBP) karya Zainal Abdul Kadir, Terbanglah Layang-layang (DBP) garapan Mahaya Mohd. Yassin, Buku (ITBM) juga tulisan Mahaya, Pelangi (DBP) karya Ridzuan Kamis, Menjadi Bintang (OyezBooks) hasil Mazni Md. Ramly, dan Anak Itik Tuk Wi (ITBM) karya Allahyarham Azmi Yusoff. Terdapat juga beberapa antologi puisi kanak-kanak yang ditulis oleh beberapa orang penulis dan diterbitkan, iaitu antologi syair kanak-kanak Untung Menabung (DBP) garapan Hamidi Mohd Yudin, Abma Dinera dan CT Nurza serta antologi puisi kanak-kanak Demi Sebuah Kejayaan (UUM Press) tulisan Hamidi Mohd Yudin, Nazim Mohd Subari, Noor Azihan Sulaiman, Nordin Saad, dan Ridzuan Kamis. Namun begitu, pada tahun 2019 dan 2020, masih belum kedapatan buku puisi kanak-kanak diterbitkan. Yang ada cuma terbitan dalam bentuk zine, iaitu Demi Cita-cita Murni selenggaraan Hamidi Md Yudin dan Idolaku tulisan Nazim Mohd Subari terbitan Mari Menulis Sastera Kanak-kanak (MMSK).

Oleh sebab gaya penyampaian puisi kanak-kanak yang selapis dan polos selain mudah untuk difahami, kedapatan sesetengah pembaca (penulis) yang menyifatkan kanak-kanak tidak harus didedahkan dengan puisi “suapan” dengan makna “lurus bendul” atau “berterus terang”. Boleh dikatakan hampir kesemua puisi kanak-kanak dalam kumpulan sasaran lima hingga 12 tahun ialah puisi berunsur didaktik, yakni kaedah atau pendekatan ilmiah dalam gaya pembelajaran untuk memberikan maklumat sehala. Mungkin benar pandangan lain bahawa kanak-kanak harus menghadam puisi yang lebih berat dan berlapis makna.

Persoalannya, adakah kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun mampu menterjemahkan makna seperti pembaca dewasa? Kanak-kanak seawal lima tahun misalnya mestilah akan membaca karya dalam lingkungan minatnya, seperti puisi tentang haiwan, imaginasi dan sebagainya, yang diselitkan juga gambar atau ilustrasi untuk menarik minat mereka. Untuk memiliki audiens kanak-kanak yang meminati sastera juga merupakan satu cabaran dan persoalan kerana kanak-kanak tidak meminati sastera bergenre puisi berbanding dengan prosa penceritaan. Berapa sangatkah kanak-kanak yang membeli buku puisi kanak-kanak berbanding dengan buku cerita kanak-kanak?

Bersifat Didaktik

Diperturunkan sebuah puisi kanak-kanak sebagai contoh berjudul “Layang-layang”. Bahasanya mudah, yakni penceritaan didaktik dan selari tentang layang-layang. Walaupun polos, terdapat elemen positif dalam jiwa kanak-kanak untuk menyukai permainan tradisional layang-layang pada zaman mutakhir ini. Terdapat juga nilai-nilai abstrak yang berada dalam konteks pemikiran kanak-kanak yang wajar dimaknakan secara tersurat dan tersirat.

Layang-layang

Gembiranya bermain layang-layang
di tengah padang
pada waktu petang
mengisi masa terluang
hati ceria dan riang.

Layang-layang terbang tinggi
diikat kejat pada tali
dipegang untuk mengemudi
agar tidak terlepas pergi
jika hilang sukar dicari. 

Memang benar, kanak-kanak seharusnya didedahkan dengan puisi kanak-kanak yang beraras tinggi agar kemahiran berfikir mereka lebih luas dan di luar kotak. Namun, mampukah mereka berfikir ke arah tersebut jika puisi polos pun mereka tidak berminat untuk menelaah, bahkan ada yang sukar memahami makna perkataan walaupun ditulis semudah mungkin. Contohnya puisi perihal binatang, alam sekitar, kesihatan dan keselamatan diri. Berdasarkan pemerhatian, puisi-puisi yang berkategori kanak-kanak digarap dengan tujuan memudahkan pemahaman kanak-kanak selain memenuhi piawai penulisan puisi kanak-kanak secara berskop dan berhemah. Di samping itu, penulisan puisi kanak-kanak lebih menjurus kepada bacaan mekanis yang terkawal dan berfokus, selain berciri positif dan terpimpin.

Sebagai penulis dewasa yang menulis puisi dewasa (umum), tidak seharusnya membaca puisi kanak-kanak dari kaca mata dewasa kerana puisi kanak-kanak sememangnya bersifat sedemikian rupa, yakni polos, selapis makna, berentak dan kontot. Ada puisi kanak-kanak yang dibaca dan dilagukan secara didik hibur mengikut standard pengajaran dan pemudahcaraan di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah. Pembaca dewasa harus menerima hakikat bahawa puisi kanak-kanak beraras rendah bertujuan untuk mendidik dan menyalurkan pengajaran tertentu. Kesilapan terbesar penulis karya dewasa ialah menghukum puisi kanak-kanak sebagai karya sampah, karya lewah bersifat lisan, atau tidak mengikut standard penulisan puisi.

Apa salahnya letakkan diri sebagai pembaca kanak-kanak dan bukannya sebagai pembaca dewasa. Masukkan diri ke dalam dunia kanak-kanak agar sesuatu mesej dapat ditanggapi dan difahami secara bertumpu dan bercapah. Tidak harus dinafikan bahawa dalam diri orang dewasa pun sebenarnya ada dunia kanak-kanak atau perangai kanak-kanak. Maka, tidak salah seseorang pembaca atau penulis dewasa meletakkan diri sebagai kanak-kanak tatkala menelaah puisi kanak-kanak.

Sebagai konklusinya, puisi kanak-kanak wajar dibaca dari kaca mata kanak-kanak dan bukannya dibaca dari konteks dewasa atau umum yang biasanya mempunyai aras komunikatif yang tinggi. Kekontotan dan kepolosan puisi kanak-kanak yang dihasilkan sebenarnya mampu mengajak kanak-kanak untuk meminati sastera dan mencintai bahasa sebelum seseorang kanak-kanak terus meminati sastera pada aras yang tersendiri, mengikut perkembangan umur dan takah pemikiran mereka.

_________________________

Ridzuan Kamis dilahirkan di Kampung Repoh, Kangar, Perlis Indera. Beliau banyak menulis sajak, cerpen, gurindam, pantun, syair, haiku, rencana umum, dan makalah sastera yang diterbitkan dalam pelbagai media arus perdana, termasuk Dewan Sastera, Dewan Bahasa, Pelita Bahasa, Dewan Masyarakat, Tunas Cipta, Dewan Siswa, Dewan Budaya, Jendela Utara, Mingguan Malaysia, Utusan Malaysia, dan Berita Harian. Antara karyanya yang dibukukan ialah kumpulan puisi Mendambakan Damai (2014), Apologia (2017), kumpulan puisi kanak-kanak Kerdipan Kejora (2016) dan Pelangi (2018). Ridzuan kini berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPNPs) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi