30 Julai 2021, 09:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan disifatkan sebagai seorang pengarang dan penyair yang tidak dapat dipisahkan daripada jiwa dan fitrah seorang bonda yang ada dalam dirinya.

Kenyataan menarik daripada Panel Anugerah Sastera Negara (2016) ketika menobatkan Zurinah Hassan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara menjelaskan, beliau seorang yang cenderung kepada “pernyataan sfera diri wanita dan sfera kekeluargaan”.

Dr. Shamsudin Othman, penyair dan pensyarah kanan dari Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia, ketika membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk “Kecenderungan Fitrah Bonda dalam Kumpulan Puisi Menunggu Pesawat” di Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan, membuat satu pernyataan jelas bahawa hubungan antara Zurinah Hassan dengan fitrahnya sebagai seorang bonda ialah hubungan yang menjelaskan personaliti, pembentukan keperibadian dan rupa susuk karya sastera Sasterawan Negara ke-13 ini.

Shamsudin merupakan satu daripada 18 orang pembentang yang membentangkan hasil kajian dalam seminar itu yang berlangsung pada 29 Julai 2021 (Khamis), jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Berkenaan istilah utama yang berlegar dalam kertas kerja beliau, Shamsudin memilih untuk menggunakan isitlah “bonda”, bukan ibu atau emak, kerana sedar dan cakna dengan konotasi maksud diksinya yang mendalam.

“Melalui Kamus Dewan Perdana, falsafah Melayu meletakkan istilah ibu atau emak boleh juga dirujuk dalam ‘ibu ayam’ atau ‘ibu tumpang’, antara istilah yang membawa konotasi yang negatif. Bonda terlindung daripada konotasi itu,” jelas Shamsudin.

Dalam Menunggu Pesawat, kehadiran unsur fitrah bonda dalam puisi-puisi Zurinah dihidangkan secara semula jadi dan halus. Fitrah bonda yang diketengahkan dalam tulisan beliau terhasil daripada naluri emansipasi seorang bonda.

Shamsudin menegaskan, “Kita sedia maklum bahawa naluri seorang bonda sangat dekat dengan tindak-tanduk yang memberikan penekanan pada unsur nasihat dan didikan untuk berbuat kebaikan.”

Pengarang tidak selalunya memberikan nasihat dalam bentuk langsung kepada anak, tetapi dibuat dengan unsur tersirat yang dihasilkan melalui penenungan. Hal ini dilihat mampu membuat pembaca sedar secara langsung atau sebaliknya. Inilah sebenarnya cara nasihat yang berkesan pada pemikiran seseorang pembaca.

“Zurinah Hassan selama era kepenyairannya memilih pendekatan fitrah bonda dalam sfera kekeluargaan bagi menyampaikan pengucapan puisinya,” tambah Shamsudin.

Shamsudin mengambil tokoh kesusasteraan Arab dan pemikiran Islam, Syed Qutb sebagai titik perbandingan Zurinah dalam fitrah penulisannya.

Syed Qutb meletakkan bonda (ibu) sebagai satu unsur penting dalam sistem pendidikan, mendidik dan membimbing manusia untuk mencapai tahap yang tertinggi dalam kehidupan. Bonda juga mengumpul nasihat dan unsur pengalaman untuk disampaikan kepada individu tertentu demi membentuk peribadi insan yang baik, selaras dengan tuntutan agama, budaya dan sosial.

“Zurinah menyuntik pemikiran ini ke dalam puisi-puisinya dengan sangat berhati-hati,” ujar Shamsudin.

Nasihat disisipkan secara tersirat dalam puisi “Suatu Malam Seorang Tetamu Datang” dan “Lurah Bilut”, yang masih dalam ruang sfera kekeluargaan tentang abang dan adik perihal harta pusaka.

Di samping memperlihatkan nasihat tentang kepentingan memahami hukum-hakam mewarisi pusaka keluarga dan menjaga amanah, juga diketengahkan oleh pengarang secara bayang-bayang tentang persoalan: bagaimana sekiranya hal ini dilakukan oleh seorang pemimpin negara?

Zurinah memilih diksi yang tepat dan menyusun bait dengan lembut bagi menyampaikan nasihat. Puisi beliau berperanan sebagai alat untuk membentuk manusia dan masyarakat yang lebih sedar dan berpijak di atas bumi.

“Sebagai seorang bonda yang sayangkan kebahagiaan dan kedamaian, maka sangat wajarlah beliau mengingatkan anak-anak supaya berpegang teguh pada prinsip kemenjadian seorang pemimpin, sama ada ia dirujuk sebagai abang ataupun ketua,” jelas Shamsudin.

Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan dengan tema “Daripada Pujangga Tidak Bernama kepada Sasterawan Negara Wanita Pertama” diadakan sebagai ruang untuk pengkaji-pengkaji sastera dan para akademik mengembangkan pengetahuan dan elemen kajian terhadap karya-karya Sasterawan Negara. Seminar ini merupakan seminar kali yang ke-13 dilaksanakan oleh DBP.

Terpaksa dilangsungkan semasa era pandemik global, seminar yang dianjurkan secara dalam talian ini telah mengumpulkan para jemputan, sasterawan, pembentang, penggiat sastera dan orang awam sebagai peserta melalui aplikasi Zoom. Baca kertas kerja Dr. Shamsudin Othman di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.