Oleh Orked Una
30 Julai 2021, 08:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menjadi seorang wanita berkerjaya sememangnya mencabar kerana perlu menyeimbangkan antara peranan di tempat kerja dengan keluarga. Apatah lagi bagi pengarang wanita yang memikul banyak komitmen, mereka perlu membahagikan masa, fokus dan tenaga supaya proses penghasilan karya kreatif dapat diteruskan. Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan menzahirkan perjuangan wanita mengimbangi kerjaya dan rumah tangga dalam cerpen-cerpennya yang diadun dengan fakta dan fiksyen.

Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid, pensyarah dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia, mengetengahkan cabaran wanita ini dalam kertas kerja yang bertajuk “Lelah Wanita Mengurus Kerjaya dan Rumah Tangga: Meneliti Cerpen-cerpen Terpilih Zurinah Hassan” dalam majlis seminar Sasterawan Negara ke-13 Datuk Dr. Zurinah Hassan. Seminar anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka ini telah menghimpunkan lebih 21 buah kertas kerja, dengan 18 daripadanya dibentangkan.

Cerpen-cerpen yang dipilih merupakan cerpen daripada kumpulan Meneruskan Perjalanan (1987), Menjelang Pemilihan (2004) dan Murka Lautan (2016).

Nazreen menganalisis cerpen-cerpen Zurinah menggunakan kerangka konseptual keseimbangan kerjaya dan kehidupan bagi membincangkan cabaran-cabaran wanita mengurus kerjaya dan rumah tangga.

Empat cabaran yang diketengahkan termasuk (1) tekanan tanggungjawab keluarga dan kerjaya, (2) pengurusan masa tidak berkesan, (3) tiada sokongan daripada keluarga, dan (4) kesaksamaan gender dalam sektor pekerjaan. Cabaran-cabaran ini wujud akibat persepsi bias gender yang dibentuk dari awal, menyebabkan peranan wanita dikecilkan, tidak dipandang tinggi, peranan dibeza-bezakan, malah masih dituntut untuk menguruskan hal rumah tangga walaupun berkerjaya, seperti ungkapan “sehebat-hebat wanita akhirnya ke dapur juga”.

Misalnya, cerpen “Catatan di Meja Makan”, “Seperti Ibu” dan “Tangisan Peragut menampilkan cabaran tiada sokongan daripada ahli keluarga yang membuatkan si wanita terperuk, diperleceh, dipandang tidak intelektual, dan tidak dibantu lantas mereka tidak dapat mengembangkan potensi akibat persepsi bias gender.

Cabaran kesaksamaan gender dalam sektor pekerjaan pula hadir dalam cerpen “Kelahiran”, “Perjalanan Sendiri” dan “Anita” yang menonjolkan sisi pekerja wanita, majikan dan rakan sekerja. Dalam cerpen ini, kompetensi dan kepimpinan wanita dipersoalkan. Hal mengandung dijadikan isu dan diskriminasi gender dalam pekerjaan.

Menurut Nazreen, gender secara umumnya merujuk satu konsep budaya yang digunakan untuk membezakan peranan, mentaliti, tingkah laku dan juga emosi antara lelaki dengan perempuan yang berkembang dalam masyarakat.

“Stereotaip yang dilemparkan kepada wanita adalah apabila mereka cuba bersuara sedikit, mereka akan dikatakan sebagai meroyan, seperti yang berlaku terhadap pemain tenis Amerika Syarikat, Serena Williams ketika mencabar keputusan pengadil. Tindakan sama yang dilakukan oleh John McEnrou pula diterima, malah dia diangkat sebagai seorang jaguh yang tegas,” katanya.

Sambungnya lagi, filem Barat banyak memaparkan stereotaip wanita yang klise, contohnya seperti bos wanita yang garang di tempat kerja.

 

 

Cerpen-cerpen Zurinah yang membawa tema perjuangan wanita mengimbangi kerjaya dan keluarga ialah “Catatan di Meja Makan”, “Perjalanan Sendiri”, “Tibanya Musim Gugur”, “Siti Hawa dan Pengembara yang Singgah”, “Anita”, Seperti Ibu”, “Tangisan Peragut” dan “Kelahiran”. Kesemua cerpen ini mewakili transisi wanita daripada status bujang kepada berkahwin ketika mendepani cabaran untuk mengekalkan kerjaya dan kepengarangan dalam kesibukan aktiviti harian.

Menerusi kajian terhadap cerpen-cerpen Zurinah ini, Nazreen menyimpulkan bahawa secara realitinya, wanita kontemporari masih sukar untuk mencapai keseimbangan kerjaya dan kehidupan kekeluargaan.

Pembentangan ini dipersembahkan dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan dengan tema “Daripada Pujangga Tidak Bernama kepada Sasterawan Negara Wanita Pertama” pada 29 Julai bermula jam 9.00 pagi melalui platform Zoom. Kertas kerja penuh pemakalah boleh dibaca di sini. Beli kumpulan cerpen Meneruskan Perjalanan, Menjelang Pemilihan dan Murka Lautan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.