22 Julai 2021, 10:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Salam bahasa bermula kata,
Bersyairan pesan mahu dicuba,
Adab Bahasa syair tajuknya,
Dengarkanlah saudara moga ada faedahnya.

Mengguna dengan landasan manusiawi,
Itulah panduan utama harus kita akui,
Dengan bahasa kita menjiwai,
Perhubungan manusia terjalin insani.

Melafaz dengan senonoh harus dipasti,
Tanpa melucah tanpa meludahi,
Hindarkan seranah himpunan maki,
Itulah punca banyak yang terlukai.

Menyusun kata dengan akal budi,
Jadikan bahasa terhimpun segala ilmi,
Dengan ilham dan kesadaran membumi,
Terbangun masyarakat yang menyantuni.

Mengatur istilah tanpa sikap mencerobohi,
Berbahasa bukan dengan bernafsu-nafsi,
Gurau dan senda pandai dibatasi,
Bukan sesenang bicara sampai menderai.

Mengelak keganasan bahasa sama dijauhi,
Baik ungkapan dan perbuatan pasti,
Seperti ugutan samsengan yang mengganasi,
Bayangkan sendiri kalau kita pula dianiayai.

Menyampai dengan tidak menghina mengaibi,
Itulah adab yang kita sudah diajari,
Baik yang miskin kaya, rendah dan tinggi,
Intinya berbahasa mengendah nan beradili.

Membahasa dengan tidak mengangkuh diri,
Baik dalam kata mahupun tulisan sendiri,
Usahlah fikir kita saja yang benar dan murni,
Mana yang terlebih cepat kita teguri dan sedari.

Melantun kias perumpamaan dengan berhati,
Kerana tujuan mencapai tafsir maknawi,
Tetapi bukan bermain kata untuk mengkaburi,
Kerana itu adalah jahat bagai syaitani.

Mengguna dengan bertimbang merasai,
Itulah bahasa yang molek berharmoni,
Yang mengakrabi dan mendekati,
Bukan menjauhkan atau memusuhi.

Mengetepikan bahasa yang menyumpahi dan mengkhianati,
Termasuk yang terpegun minda tertawani,
Itulah punca pikiran tak mandiri,
Akibatnya selama fikiran membuntuti.

Saudara sebahasa samalah diingati,
Soal bahasa bukan setakat berjawi berumi,
Soal bahasa pada dasarnya paling asasi,
Penyempurnaan bahasa pencerahan manusiawi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.