22 Julai 2021, 15:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pantun ialah warisan peradaban dan seni budaya Nusantara yang tinggi nilainya. Pantun diamalkan sekian lama dalam masyarakat rumpun Melayu. Pantun menggambarkan genius Melayu dalam tutur kata. Oleh yang demikian, pantun telah diiktiraf sebagai Warisan Melayu tidak Ketara oleh UNESCO pada 17 Disember 2020 di Paris, Perancis.

Bersempena dengan pengiktirafan ini juga, Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara serta agensi kerajaan negeri dan persekutuan telah mengambil inisiatif mengadakan siaran langsung webinar “Pantun Sebagai Warisan Peradaban Rumpun Melayu Nusantara” pada 21 Julai 2021 jam 10.00 pagi bersama-sama moderatornya Ezlina Alias, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka.

“Setelah kedatangan Islam di Nusantara, al-Quran dijadikan panduan menulis pantun dengan daya keintelektualan orang Melayu menyesuaikan suasana dengan tutur kata. Misalnya, Surah An-Nas, perhatikan kalimah akhir setiap ayatnya yang sama, iaitu ‘الناس’, betapa cantik rimanya tersusun,” ujar YBhg. Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar selaku Pengerusi Biro Sosiobudaya, Dunia Melayu Dunia Islam.

Betapa kuat pengaruh kedatangan Islam dalam sosiobudaya Melayu sehingga para pedagang dan sesiapa sahaja yang ingin memasuki rumpun Melayu perlu berpantun. Daya keintelektualan orang Melayu terdahulu amat menyerlah kerana pantun menjadi tutur bicara yang dilazimi oleh penutur tanpa perlu pun menulisnya.

“Itulah warisan khazanah kita yang patut diajar dan dididik dalam sistem persekolahan, bukan semata-mata untuk peperiksaan, tetapi perlu dihayati,” tambah Abdul Latiff yang juga merupakan Pengerusi Majlis Penasihat Peradaban Melayu Malaysia.

Pantun juga dikenali bukan sekadar bentuk dan diksinya, malah melalui pernyataan mesejnya. Kaedah pernyataan secara lisan yang tertampil pada kandungan, ilmu, gaya bahasa, kritikan, sindiran dan jenaka, mencakupi seluruh aspek kehidupan dan tamadun masyarakat.

“Pantun memancarkan peradaban dan mewakili tasawur manusia. Demikian Islam menjentik nilai keagamaan dan peradaban dalam pemikiran masyarakat Melayu. Justeru, muncul pantun-pantun berbentuk akidah dan ibadah yang mengandungi nilai-nilai keagamaan. Pantun dan rangkapnya juga menggambarkan retorik orang Melayu. Gaya hiperbola dan rima yang mengandungi bunyi-bunyian indah merupakan pengucapan yang tinggi nilai estetikanya,” jelas YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Hj. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka.

Antara contoh pantun yang mengandungi nilai adab, budi dan unsur hiperbola ialah:

Burung serindit terbang melayang,
           Berhenti hinggap di ranting mati;
Bukan ringgit dipandang orang,
          Tetapi memandang bahasa dan budi.

 Rumah kecil tiang seribu,
          Rumah besar tiang sebatang;
Sewaktu kecil ditimang ibu,
          Sudah besar ditatang gelombang.

Awang Sariyan juga sempat membacakan pantun ciptaannya sendiri yang mengandungi unsur tasawur terhadap nilai keagamaan:

Intan permata penghias mahkota,
          Dibawa orang ke Inderagiri;
Cercaan di dunia hanya sementara,
          Di mizan Allah hakikatnya terbukti.

Sementara itu, YBhg. Associates Proffesor Dato’ Perdana Dr. H. Abd. Malek, M. Pd selaku Pengerusi Biro Sosio Budaya DMDI Provinsi Kepulauan Riau Indonesia pula mengupas tentang sejarah penulisan pantun dan ontologi estetika Melayu.

Terang beliau, “Penulis pertama yang telah menerbitkan buku kumpulan pantun ialah Haji Ibrahim, iaitu seorang penulis Kesultanan Riau-Lingga yang seangkatan dengan Raja Ali Haji. Haji Ibrahim juga merupakan orang pertama yang menulis estimologi bahasa Melayu. Daya pikat yang terkandung dalam pantun mempunyai cita rasa yang penuh kejutan tetapi sangat indah, bermakna dan bermanfaat.”

Tambahnya lagi, pantun juga berperanan sebagai penyerlah kehalusan budi. Atas dasar itu jugalah, ahli linguistik, Renward Brandstetter mengaitkan akar kata ‘tun’ sebagai teratur dan berhubung makna dengan ‘tuntun’ yang bermaksud bimbing, membimbing, mengatur dan menggerakkan. Maka dengan itu, sastera khasnya pantun berperanan menyatakan hasrat, semangat dan tanggungjawab untuk mengekalkan budi yang dapat diwujudkan menjadi peneguh serta pengubah jati diri dan karakter bangsa.

“Jika pantun memenuhi syarat ontologi estetika Melayu iaitu ‘Seri Pantai’ (keindahan zahiriah, duniawi 4-6 kata dalam satu baris) dan ‘Seri Gunung’ (keindahan batiniah, Ilahiah yang sesuai dengan ajaran Tuhan) maka ia layak dipanggil ‘Sadu Perdana’ (sungguh bermakna) dan boleh diberikan tujuh laksana (tujuh bintang),” jelas Abd. Malek.

Beliau juga menampilkan pengamalan pantun di kepulauan Riau yang menjadi komunikasi harian dalam media, acara adat istiadat, permainan kanak-kanak, kesenian dan lagu Melayu, selain siaran radio, televisyen serta teater tradisional.

Pada akhir webinar, para panel menyimpulkan peri pentingnya peranan kerajaan bagi memastikan kelestarian pemerkasaan pantun dalam rumpun Melayu. Pesta pantun misalnya, perlu diangkat dengan nilai hadiah yang tinggi kerana inilah warisan kebudayaan negara bersama. Sokongan pemimpin sangat penting demi memastikan warisan budaya ini dipandang tinggi di mata masyarakat.

Siaran ulangan webinar ini boleh ditonton di laman sosial media JKKN Melaka Fan Page.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.