21 Julai 2021, 10:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Profesor Diraja Dr. Ungku Aziz bin Ungku Abdul Hamid bukan sahaja tokoh yang disegani dalam bidang pendidikan dan ekonomi, bahkan kewibawaannya menyerlah sebagai pencetus idea penubuhan badan ekonomi, institusi dan badan bahasa. Kegigihan beliau sebagai Naib Canselor ke-2 Universiti Malaya (UM) dalam menerajui dan mengembangkan keintelektualan dunia akademik yang bertunjangkan bahasa Melayu, wajar diteladani.

Latar belakang beliau daripada keturunan bangsawan amat menyerlahkan daya karismatik dan kebijaksanaan yang sangat terkehadapan, malah beliau mempunyai daya kekuatan sebagai perunding yang dihormati. Aura perundingan yang dimiliki, digunakan sebaik-baiknya untuk mengembangkan keintelektualan dunia akademik tempatan ketika proses transisi dunia akademik pascamerdeka.

“Dahulu sebelum merdeka, negara kita terikut-ikut dengan kehendak penjajah. Tetapi setelah merdeka, Ungku Aziz sangat prihatin dan mengikut dasar keaslian negara yang menitikberatkan setiap pelajaran perlu diajar dalam bahasa Melayu. Beliau juga tidak mengamalkan sistem meritokrasi bahkan sering menerajui pembangunan negara dalam aspek pendidikan. Justeru, pencapaian pelajar dan pembinaan bangsa yang maju dapat dikecapi oleh setiap rakyat tanpa mengira miskin atau kaya,” jelas Ybhg. Kapten Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob, Mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya ke-8.

Keunikan Ungku Aziz begitu luar biasa kerana mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang unik. Beliau seorang pemikir yang sangat mengambil berat tentang kehidupan masyarakat. Justeru, pelbagai strategi dan lontaran idea diatur untuk membantu rakyat dalam usaha menikmati agihan kekayaan negara.

Ungku Aziz juga merupakan tenaga penggerak utama Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga, pada tahun 1956. Pembabitan aktif dalam kongres ini menjadi antara asas terlantiknya beliau sebagai Pengarah pertama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Tambahan pula pada ketika itu, jawatan Ketua Pengarah DBP belum wujud. Meskipun hanya setahun menyandang jawatan sebagai Pengarah DBP, namun asas hala tuju DBP cetusan beliau kemudiannya digerakkan oleh Tun Syed Nasir Syed Ismail sebagai Pengarah kedua DBP.

Semangat bahasa dan sastera yang sentiasa terpugar dalam diri beliau sepanjang menjadi Pengarah DBP telah dibawa masuk ke dalam UM, lalu bertindak memartabatkan bahasa kebangsaan dengan mewajibkan setiap pengajaran subjek di UM perlu diajar dalam bahasa Melayu, kecuali bagi subjek tertentu, khususnya bidang perubatan. Pun demikian, pelbagai usaha digerakkan sehingga DBP akhirnya menterjemahkan setiap terminologi perubatan ke dalam bahasa Melayu. Kejituan semangat Kebangsaan beliau juga amat terserlah dan terpancar sehingga bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar di UM pacsamerdeka.

Pada tahun 1978, beliau turut mengilhamkan Rancangan Penulisan Kreatif dan Deskriptif (RPKD) di Fakulti Sastera UM, bersama-sama dengan Profesor Abu Bakar Hamid sebagai penyelarasnya. Cetusan ilham itu timbul daripada kesedaran beliau tentang peri pentingnya penulisan sebagai kemahiran bagi mahasiswa. Hal ini sejajar dengan usaha kerajaan dalam usaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam pendidikan tinggi negara.

Beliau juga antara tokoh penting yang tidak menyetujui pelaksanaan Program Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) 2003. Beliau berpendapat, penguasaan bahasa Inggeris perlu ditingkatkan melalui pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris itu sendiri. Ketegasan sikap dan pendirian yang jelas ini menjadikan beliau tokoh yang disegani dan dikenangi hingga kini.

Minat dan sokongan beliau terhadap aktiviti bahasa, sastera dan budaya juga tidak dapat dinafikan. Hal ini dapat dibuktikan melalui rakaman foto selepas persembahan wayang kulit yang dimainkan oleh Hashim Yaacob pada suatu ketika dahulu. Bahkan semasa  Hasim Yaacob menjadi Naib Canselor UM ke-8, Ungku Aziz juga ada meletakkan wayang kulit dalam Muzium Seni Asia untuk menyemarakkan lagi pusat kebudayaan itu dalam usaha menghargai warisan negara.

Program Canai Bahasa dan Sastera ini telah berlangsung di Studio Siaran langsung Media Sosial DBP pada 19 Julai jam 10.00 pagi. Perkongsian pengalaman bersama Ungku Aziz oleh Hashim Yaacob ini telah memancing minat penonton dan moderatornya, Abdul Ghani Abu.

Program perbincangan ini boleh ditonton di sini. Beli buku biografi Riwayat Ungku Aziz di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.