20 Julai 2021, 22:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menyedari keperluan untuk menyebarkan bahasa dan sastera melalui medium teknologi terkini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menggiatkan langkah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak, terutamanya badan penyiaran. Hal ini bagi memastikan rantaian produk daripada sumber sastera dalam pelbagai bentuk persembahan dapat disiarkan kepada masyarakat, selain relevan dengan perkembangan semasa.

Audio siar (podcast) merupakan satu kaedah penerbitan secara audio melalui aplikasi pintar dalam bentuk digital yang boleh didengari secara strim bagi penyebaran maklumat kepada masyarakat di Malaysia. SYOK merupakan salah satu jenama audio siar yang menyiarkan pelbagai siri audio siar melalui aplikasi SYOK dan dihasilkan di bawah jenama Syokcast Astro Radio.

Langkah ini sebenarnya telah mula dirintis pada tahun 2020 melalui Bahagian Promosi dan Pengiktirafan yang menerbitkan enam siri audio siar cerita hikayat dan cerita rakyat, iaitu Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Malim Deman, Cerita Pak Pandir, dan Cerita Pak Kaduk melalui jenama Hikayat Gegar Pagi. Bagi menerbitkan cerita hikayat dan cerita rakyat dalam bentuk audio siar, pihak DBP telah bereksperimentasi dengan teks asal dan memberikan persembahan dalam bentuk perbualan santai dengan penyampai Radio Gegar, iaitu Mek Zura dan Shah. Persembahannya mesra pendengar dan tidak terlalu panjang. Penyampai siri cerita hikayat dan cerita rakyat ini ialah Musasliza Mustan Shir dan Nur Liyana Aqilah Zulkefli, perancang bahasa di DBP.

Mek Zura dan Shah berceloteh dalam Hikayat Gegar Pagi.

Sambutan baik daripada pendengar membuka langkah kepada DBP dan Syokcast Astro Radio untuk menjalinkan satu lagi kerjasama yang unik, iaitu penerbitan siri audio siar Belang Harimau Besi. Penghasilan tujuh siri audio siar Belang Harimau Besi menyaksikan penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diketuai oleh Mejar Meor Al-Azfar Meor Ahmad dan dibantu oleh Lily Haslina Nasir serta Rosie Haslinda Nasir. Rakaman ini berkonsepkan rakaman audio babak penting daripada buku Somalia Belang Harimau Besi. Buku yang ditulis oleh Mejar Jeneral Datuk Haji Mohd Halim Khalid ini mendokumentasikan kisah benar perjuangan Malaysia Batallion 1 (MALBATT 1) di Bakara Market, Mogadishu, Somalia.

Bagi tahun 2021, DBP telah meneruskan kerjasama dengan Syokcast Astro Radio dengan penerbitan 10 siri audio siar Gambaran Syurga. Siri ini bersumberkan buku Gambaran Syurga Menurut Fakhr al-Din al-Razi yang disusun oleh Dr. Mohd Manawi Mohd Akib. Tuan Haji Mohd Salahuddin, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP telah bertindak selaku pennyampai dalam siri audio siar kali ini dan dibantu oleh dua orang bakat kanak-kanak, iaitu Nor Hasanah Nisa’ Nahar dan Muhammad Athif Mohd Azman. Siri pertama audio siar ini telah dimuat naik di aplikasi SYOK pada 16 Julai 2021 dan boleh dilayari dengan cara memuat naik aplikasi SYOK secara percuma di Google Play Store, Apple Apps Store dan Huawei Apps Gallery. Selain itu, anda juga boleh mendengar siri audio siar ini melalui pautan ini.

Beli buku Gambaran Syurga Menurut Fakhr al-Din al-Razi di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.