Oleh Karmila Azmi
18 Julai 2021, 13:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Dalam tradisi sastera terlalu banyak naskhah yang ditulis dengan mengangkat imej kesaktian dan kehebatan golongan pemerintah. Tradisi ini diluar logik akal tetapi mudah difahami sebagai satu bentuk kawalan psikologi kepada golongan diperintah.

Walau bagaimanapun, kisah-kisah kesaktian ini yang didefinisikan sebagai mitos, kekal menyelubungi masyarakat, malah dalam konteks bangsa Melayu mitos masih tebal sehingga menyekat kemajuan bangsa walaupun sesudah negara merdeka.

Itulah kesimpulan yang boleh dibuat dalam “Wacana Mitos-mitos dalam Sastera: Ke Mana Kita Dibawa?” yang dianjurkan oleh Perkhidmatan Perpustakaan Bahasa Melayu (NLB), Singapura sempena Read Fest, pada 14 Julai jam 8.00 malam. Perbincangan ini berdasarkan buku adikarya Syed Hussein Alatas, Mitos Peribumi Malas.

Menemukan dua panel, Dr. Azhar Ibrahim Alwee dari Universiti Nasional Singapura dan Dr. Mohd Faizal Musa dari Universiti Kebangsaan Malaysia, wacana itu memperjelas mitos yang dicipta bagi mempertahan kepentingan kumpulan tertentu, seharusnya diberikan perhatian.

Azhar berkata, mitos memang melingkari kehidupan umat manusia dan dalam konteks Nusantara, ciptaanya tertuju kepada orang Melayu. Selain boleh ditemui dalam naskhah sastera klasik, ia juga dihujahkan oleh golongan orientalis dalam usaha mereka merendahkan anak watan bagi menghalalkan penjajahan.

“Selain mengangkat citra kesakralan pemerintah, mitos penjajah zaman kolonial menghujahkan mengenai orang Melayu atau peribumi itu malas. Mereka ini akan punah dan akan dikuasai kelompok bangsa yang lebih rajin, seperti Cina dan Arab, malah wujud mitos mengenai superiority bangsa kulit putih.

“Pada zaman moden ini, walaupun sebahagian mitos itu pudar tetapi wujud pula mitos baharu, misalnya keterpilihan gender, bangsa dan kebagusan satu-satu sistem ekonomi,” katanya.

Azhar berkata, mitos mengenai kekebalan atau kehebatan golongan feudal yang kerap ditemukan dalam naskhah klasik bagaimanapun masih lagi boleh ditemui dalam sastera generasi muda dan hal ini agak mengecewakan.

“Mitos sebegini biasa ditemui dalam sastera haluan kanan, tetapi sebagai pensyarah yang mengajar di universiti saya juga menemuinya dalam karya generasi muda. Walaupun mereka ini golongan yang banyak membaca dan berfikiran jauh lebih kritis tetapi mereka masih berada dalam lingkungan ideologi yang lama,” katanya.

Sementara itu, Mohd Faizal berkata, mitos feudalisme bukan hanya mencengkam orang Melayu tetapi juga bangsa Jepun dan Inggeris. Walau bagaimanapun, dalam hal itu, terdapat perbezaan dengan bangsa Melayu kerana pemerintah Jepun dan Inggeris dilihat lebih bijak dan mendengar kata.

“Mitos feudalisme tebal dalam kalangan orang Melayu sehingga mereka tidak boleh bergerak ke hadapan dan hal ini bukan terhad terhadap raja-raja sahaja tetapi juga orang politik. Feudal juga dilihat wujud pada lapisan pahlawan, pelaksana golongan bangsawan dan juga agamawan yang menjadi benteng feudalisme.

“Walaupun negara sudah merdeka, psikologi feudal ini masih kuat dalam golongan orang Melayu sehinggakan mereka tidak berani bangkit bertanya,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.