Oleh Ramzah Dambul
18 Julai 2021, 07:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ramzah Dambul mencari jalan agar sastera dapat menjadi alat penyatuan dan persefahaman antara negara Asia Tenggara.

Ya, gagasan sastera juga terlibat aktif dalam program-program merentas sempadan, tetapi majoritinya cuma bersifat aktiviti persatuan yang tidak terinstitusi secara rasmi di bawah punca kuasa kerajaan atau pemerintah.

Sastera Malaysia mesti bergelinjang keluar ke arena yang lebih signifikan, jika mahu kekal relevan dan mampu terus menyantuni agenda-agenda dunia kontemporari. Dalam naratif arus perdana, sastera seolah-olah cuma melukut di tepi gantang, sekadar bacaan rehlah untuk gratifikasi emosi dan mental. Ya betul, manfaat gratifikasi juga bukanlah sesuatu yang calang-calang. Kelegaan perasaan dan percambahan minda sangat mustahak untuk menjana katarsis ilmu, seterusnya melahirkan generasi cendekia yang benar-benar insaniah. Kualiti ini, yang dipacu tegar oleh sastera, diakui menjadi pemacu terpenting bagi melahirkan masyarakat yang seimbang zahir dan rohaninya.

Namun demikian, semua tradisi persuratan, sama ada sains atau sastera, secara fitrah memang menuju kepada pemugaran jiwa sedemikian. Perbezaanya, persuratan sains telah melangkau lebih daripada peranan asas ini. Ia turut menawarkan fungsi praktikal dan advokasi (sokongan) sivil yang lebih tuntas, bukan sekadar menjadi alat menambahkan pengetahuan dan terapi jiwa. Sastera juga sebenarnya boleh menggalas peranan yang besar ini. Bahkan, usaha-usaha tersebut telah pun bermula sekian lama, dan masih terus berlangsung, tetapi belum mencapai tahap yang benar-benar berimpak. Misalnya, kemampuan untuk mempengaruhi naratif nasional secara konsisten menerusi transformasi polisi.

Dalam tulisan yang lalu, saya menyentuh gerakan sivil sains yang lebih dinamik berbanding sastera dalam usaha advokasi dasar-dasar negara. Kali ini, saya mahu menimbangtarakan sekali lagi kedua-dua tradisi persuratan ini (sains dan sastera) dalam konteks memainkan peranan diplomasi. Mengapa diplomasi persuratan itu penting? Kerana diplomasi politik selalu dicabar oleh limitasi dan prejudis ideologi. Cirinya tidak cukup sejagat dan kadang-kadang terkepung oleh fahaman nasionalisme sempit. Dalam situasi geopolitik global masa kini yang selalu bergempita, diplomasi politik lebih kerap mencetuskan ketegangan dan musibah, bukan persefahaman dan muhibah.

Justeru, dunia yang semakin terbelah dan banyak karenah ini perlukan daya pengikat tambahan, selain diplomasi politik. Dalam hal ini, barangkali diplomasi sains dan sastera mampu menjadi alternatif, sekiranya benar-benar digerakkan pada landasan yang tepat. Siapa tahu, kan?

Aktiviti sastera serantau yang tersusun, dengan tujuan menjalin hubungan rentas negara, sebenarnya sudah mekar di Nusantara terlebih dahulu berbanding kegiatan-kegiatan berteraskan sains. Hal ini bermakna, bibit-bibit diplomasi sastera telah disemai mendahului diplomasi sains. Tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, jaringan sains serantau berkembang pesat kepada bentuk yang lebih sistematik. Bahkan sehingga melibatkan platform rasmi bersifat bilateral dan multilateral di bawah punca kuasa kerajaan. Hal ini sekali gus mengangkat markat diplomasi sains ke mercu yang lebih tinggi.

Dalam ASEAN sendiri, telah diwujudkan satu jawatankuasa khas untuk bidang sains, teknologi dan inovasi. Terdapat banyak aktiviti serantau sesama negara di Asia Tenggara yang digerakkan menerusi platform multilateral ini. Program-program tersebut didanai secara kolektif oleh semua kerajaan negara yang terlibat. Hal ini memberikan peluang kepada saintis, teknologis dan teknokrat di Nusantara untuk saling berkongsi idea, kemahiran dan kepakaran. Pertemuan setiap dua tahun jawatankuasa ini, yang terinstitusi secara formal, mencipta diplomasi yang signifikan berteraskan nuansa sains.

Selain itu, gagasan sains juga telah berfungsi lebih jauh, iaitu sebagai sumber penyelesaian pada sengketa sesama negara. Sebagai contoh, kita tinjau situasi tegang di Laut Sulu-Sulawesi, yang terletak di perairan timur negeri Sabah dan berkongsi milik dengan dua negara lain, iaitu Filipina dan Indonesia. Kawasan ini dianggap kawasan sensitif dari segi keselamatan dan kedaulatan, kerana di wilayah sempadan ini berlaku aktiviti-aktiviti pencerobohan (misalnya peristiwa berdarah Tonduo), perebutan pulau (misalnya krisis Ambalat) dan penyeludupan. Akibatnya, perairan ini dianggap zon konflik yang sentiasa merenggangkan hubungan tiga negara yang terlibat.

Menerusi platform Coral Triangle Initiative (CTI) yang memayungi enam negara termasuk Malaysia, Filipina dan Indonesia (dengan ikatan rasmi kerajaan-kerajaan yang terlibat) — eksplorasi sains atas semangat memulihara sumber marin telah berlaku dengan rancak di zon perairan ini. Hal yang paling penting, aktiviti tersebut melibatkan penyertaan saintis daripada ketiga-tiga negara, dalam suasana penuh harmoni dan mesra. Maksudnya, ketika diplomasi politik masih tercari-cari titik perdamaian untuk kemelut ini, diplomasi sains telah pun berjaya menautkan tali persefahaman.

Pernahkah diplomasi sastera meneroka dan menerobos sejauh ini, dalam konteks hubungan serantau di Nusantara? Mungkin pernah, mungkin tidak. Ya, gagasan sastera juga terlibat aktif dalam program-program merentas sempadan, tetapi majoritinya cuma bersifat aktiviti persatuan yang tidak terinstitusi secara rasmi di bawah punca kuasa kerajaan atau pemerintah. Sebab itulah impaknya kurang menepati pengertian diplomasi aras tinggi, iaitu sesuatu yang tersurat secara eksplisit dalam polisi negara dan bergerak atas platform rasmi bilateral atau multilateral.

Sebenarnya ada beberapa isu konflik serantau yang sepatutnya boleh ditangani dengan diplomasi sastera. Sayang sekali, peluang tersebut tidak direbut sepenuhnya oleh komuniti dan aktivis sastera. Sebagai misalnya, konflik sosiobudaya antara Malaysia dengan Indonesia berkenaan khazanah tradisi sepunya seperti seni tekstil batik dan kulinari nasi lemak (nasi uduk). Beberapa tahun dulu, berlaku perbalahan tentang apakah negara pemilik sebenar warisan yang disabitkan.

Kenapa agaknya komuniti sastera tidak bertindak proaktif menawarkan jabat persahabatan di tengah-tengah sengketa yang berapi? Sedangkan hal ehwal sosiobudaya begini, terungkap dengan begitu kaya dalam persuratan sastera kedua-dua negara. Jika segalanya diolah dengan perspektif yang jelas menggunakan platform kesusasteraan yang sistematik, sudah pasti kepentingan diplomasi sastera akan menyerlah. Sayangnya, tidak ada gerakan yang tersusun ke arah itu dalam kalangan penggiat sastera.

Kelebihan bidang sains berbanding sastera dalam program-program merentas wilayah ini terletak pada struktur fundamental yang mapan dari segi kewujudan platform rasmi. Bidang sains teknologi sudah teradun kukuh dalam ekosistem hubungan negara di ASEAN. Bidang ini diperkukuhkan dalam bentuk jawatankuasa, perjanjian persefahaman (MoU) dan entiti multilateral spesifik (contohnya, Coral Triangle Initiative) yang diperaku oleh kabinet kerajaan bagi semua negara terlibat. Cabaran kepada para aktivis sastera adalah untuk memacu penubuhan ekosistem yang sama.

Komuniti Puisi Esei ASEAN sedang bergerak ke arah tersebut. Pelopor “puisi esei” ialah Denny JA, seorang sasterawan Indonesia dengan status personaliti digital dan birokrat merentas bidang. Beliau menggagaskan genre baharu ini yang dimaknakan sebagai: ragam sastera dengan kata-kata gaya prosa yang membawa pesan sosiobudaya, geosejarah dan tatanegara melalui kombinasi fakta, fiksyen dan catatan nota kaki. Kerana sifatnya yang unik, genre ini telah merentas sempadan dengan dinamik yang luarbiasa, kemudian merangkai satu ikatan sastera yang lebih intim di Nusantara.

Adakah ini satu permulaan diplomasi sastera yang lebih subur, setanding dengan diplomasi sains yang sudah lama tumbuh mekar? Hanya sejarah masa depan yang mampu menjawab. Tetapi kewujudan gerakan itu sendiri sudah pun menjanjikan suatu potensi dan harapan yang ditunggu-tunggu.

_________________________

Ramzah Dambul (Prof. Madya Datuk Ts. Dr.) ialah seorang sarjana bidang sains atmosfera; yang gemar berpuisi, melukis dan berfantasi. Dalam dunia utopia, dia seekor murai sastera yang selalu berkicau di perbatasan sains. Antara karya bukunya termasuklah kumpulan puisi Alien Menchari Chinta (ITBM, 2012; Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012/2013), Deja Vu Cinta Pencari Katarsis (ITBM, 2014), Dari Cinta kepada Cinta (ITBM, 2015), dan memoir perjalanan Bukan Travelog Haji di Bumi Anbia (Studio Anai Anai, 2017).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.