16 Julai 2021, 08:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata Raja Yusoff Ariffin, sajak hanya sia-sia jika tidak menganjurkan kepada kebaikan seperti yang dituntut oleh Islam, walaupun sajak itu karya sastera yang paling diminati ramai.

Sajak Islam ialah sajak yang bernilai Islam, ditujukan kepada penyaksian nilai-nilai Islam, dan dihasilkan bukan sahaja oleh penyair Muslim, malah penyair bukan Muslim.

Ramai yang menganggap dan memahami bahawa sajak Islam ialah sajak yang mengandungi kalimat-kalimat umum berunsur Islam, seperti Allah, Rasulullah, kalimat-kalimat al-Quran dan sebagainya. Bagi mereka, sajak sedemikian memang membawa tema keagamaan. Walau bagaimanapun, tidak semestinya dan tidak tepat jika kita terus menganggapnya sebagai sajak Islam. Jika sekadar terbatas pada menyebut nama berunsur Islam yang biasa sahaja, dan dipaparkan dalam bentuk yang bersifat terlalu peribadi, karya begini belum lagi boleh diiktiraf sebagai sajak Islam.

Walaupun banyak yang membawa tema keagamaan (Islam), tetapi sebenarnya, sajak yang boleh dianggap sebagai sajak Islam agak sukar ditemui. Islam memang menganjurkan segala kebaikan untuk diamalkan oleh penganutnya, dan cara-cara yang baik dalam usaha menyelesaikan setiap masalah.

Sajak Islam, sebaik-baiknya mestilah turut membawa unsur-unsur sedemikian. Islam merupakan agama sejagat dan sajak Islam mesti turut membawa tema yang bersifat sejagat. Oleh hal yang demikian, beberapa aspek seperti kemasyarakatan, kebudayaan dan keagamaan amatlah perlu diperhatikan sebagai titik permulaan untuk membicarakan serta menghasilkan sajak yang boleh dianggap sebagai sajak Islam.

Sistem sosial dan politik yang mentadbir segala institusi dalam masyarakat menurut undang-undang peraturan Islam dibicarakan menerusi aspek kemasyarakatan.

Sementara itu, unsur moral dan budi bicara sesama manusia, dan antara manusia dengan makhluk mengikut ajaran Islam dibicarakan menerusi aspek kebudayaan. Ajaran Islam mengandungi nilai hidup yang menjamin kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat.

Aspek keagamaan pula membicarakan akidah kepercayaan kepada Allah menurut konsep iman yang diseru oleh Rasulullah SAW menerusi al-Quran dan hadis.

Para penyair diingatkan agar tidak menggunakan citra buruk, lucah, keganasan, kekasaran, dan kekejaman dalam sajak yang dihasilkan. Sajak Islam juga mesti mempunyai nilai Islam yang sejati, serta dapat dipertahan dalam semua ruang tempat dan waktu, kerana Islam sendiri sesuai dengan semua ruang itu.

Secara perlambangan, sajak keislaman memaparkan setiap perkara yang diceritakan oleh al-Quran tentang berita baik dan buruk, balasan baik (bagi orang yang taat kepada Allah) dan balasan buruk (bagi orang yang menderhaka kepada Allah).

Sajak Islam seharusnya mampu berperanan membentuk insan secara menyeluruh agar bertakwa, beriman dan tidak berlandaskan dasar perkauman, kerana Islam menentang faham perkauman. Karya ini juga hasil sastera yang dapat menerapkan atau membawa tema berunsur moral dengan kerohanian Islam yang sebenar.

Selain hal sejagat, isi kandungan sajak Islam juga boleh menyentuh kepincangan dalam masyarakat, seperti kepalsuan, persaingan rohani dan penindasan. Sesebuah sajak boleh dianggap sebagai sajak Islam jika mengandungi isi yang benar-benar bernilai Islam.

Sajak Islam ialah sajak yang bernilai Islam, ditujukan kepada penyaksian nilai-nilai Islam, dan dihasilkan bukan sahaja oleh penyair Muslim, malah penyair bukan Muslim. Perhatikan sajak “Permulaan dan Kesudahan” karya Joseph Selvam, penyair bukan Muslim:

Kita mulakan sesuatu
dengan mengucap
Bismillah
Kita sudahkan sesuatu
dengan mengucap
Alhamdulillah
Kelahiran mengucapkan
Alhamdulillah
Kematian mengucapkan
Innalillah.

Sajak ini membawa tema yang luas dan berunsur dakwah, serta tidak bersifat peribadi meskipun sepintas lalu sajak ini kelihatan bersifat sedemikian.

Sajak Islam juga ialah sajak yang terbabit dalam memperjuang dan menyeru kepada meninggikan serta menegakkan keindahan, kebenaran dan kebaikan, selain melarang atau merendah-rendahkan serta menghapuskan keburukan dan kepalsuan, apatah lagi kejahatan.

Dengan hal yang demikian, para penyair, terutamanya beragama Islam, mestilah mengkaji serta memahami falsafah dan estetika Islam untuk menghasilkan sajak Islam yang bermutu, selain memenuhi kehendak estetika Islamnya.

Perhatikan pula rangkap ketiga sajak “Budi” karya Arbak Othman:

III

Apabila pancaindera, hati dan akal
dipadukan dalam segala
pemandangan
budi melahirkan anak kebenaran
yang mendidik setiap insan
di sekolah pemulihan
lalu kita pun bangun
sesergam tugu
mendakap tamadun.

Lihat juga rangkap pertama sajak “Secalit Fahaman Bersilang Terbawa Menghidu Cerca Kekafiran” karya S.M. Salim:

Betapa sayangnya
yang cinta setia umat Muhammad
hatinya banyak tertuba
menghidu dasar merangkak berangkat mendabik
dada
bersua bersemuka sesama tanpa lagi
melambai salam mesra
sampai bila?

Seterusnya, perhatikan sebahagian petikan daripada sajak “Seorang Perempuan Bernama Isteri” karya Anuar Hashim:

Seorang perempuan bernama isteri
bukanlah sebuah eksperimen
untuk membuktikan soal kelakian
tapi adalah seorang perempuan
yang terlalu hampir di hidung
seorang suami
yang menghidu bau wanginya
di semerbak malam
di dingin pagi.

Sajak-sajak yang ditampilkan ini sememangnya membawa tema yang sejagat dan menganjurkan kepada kebaikan sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Ketiga-tiganya ialah sajak Islam.

Jelas, Islam ialah hasil sastera yang menyentuh nilai-nilai Islam, malah membangunkannya. Isi dan kulitnya benar-benar perlu bernilai Islam. Dalam sesebuah sajak Islam, kesemua aspek Islam disatukan dengan manusia sebaik-baiknya, termasuk persoalan masyarakat dalam kesatuan isi yang realistik, meyakinkan yang dikarang dengan bentuk yang halus dan indah.

_________________________

Raja Yusoff Ariffin atau Raja Yusoff Raja Ariffin dilahirkan pada 21 Ogos 1962 di Pulau Tiga Kanan, Parit, Perak. Beliau menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Raja Yusoff merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur, rakan Tajulmedia Melayu dan pernah menganggotai PAKSI. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun “Beraya di Kampung Warisan Melayu” Satu Property (2020).

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi