Oleh Salman Sulaiman
14 Julai 2021, 17:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kita bertanya, “Di manakah Tuah Sujana menghilang?” Salman Sulaiman, sahabatnya, memberikan jawapan.

Dia mungkin lebih tenang keseorangan. Biarkanlah dia didiamkan alam, asalkan Tuhan memeliharanya dengan aman.

Biarlah dia menyepi, kerana dengan jauh menyendiri dan bersunyi-sunyi itulah dia menulis karya-karya besarnya, karya-karya masa depannya. Kerana sejak dulu memang begitulah dia, itulah caranya.

Dia akan muncul dengan karangan ulungnya yang menyentuh hati. Dia akan muncul. Semporna sebenarnya terlalu indah menyembunyikannya di dalam pengap alam dan senyap pohonan. Dia terlalu asyik dengan pantai dan ikan, dengan laut dan karang. Kicau burung telah melupakannya pada tanah semenanjung.

Seperti Kawabata yang diasyikkan gunung dan bulan. Dia sedang merenung hutan dan tumbuhan. Dia mungkin lebih tenang keseorangan. Biarkanlah dia didiamkan alam, asalkan Tuhan memeliharanya dengan aman. Kerana Semporna barangkali sudah begitu sempurna dan amat mempesona untuknya sebagai seorang pengarang.

Seperti Hemingway, barangkali dia mahu merenung samudera dan bersahabat dengan laut. Atau sekadar duduk di jambatan melihat sungai, memerhati ikan dan sesekali mencari-cari kalau-kalau ada kelibat apa-apa binatang yang melintas atau terbang – diam di jambatan seperti seorang lelaki tua dalam “The Old Man at the Bridge”.

Mungkin dia telah begitu senang bermain ombak, leka dengan deburan buih-buihnya, sebagaimana penyair Ai Qing dalam “Ombak”:

dia juga suka ombak putih itu
dia akan menggigit tebing curam
dan kejam mematahkan dayung buritan
                             mengoyakkan kain layar

tidak tenteram sebentar
dia dengan penuh hati memaparkan
kisah sayu pelayar
sejak dahulu kala

mungkin tidak berbudi
tapi dia indah
aku suka akan ombak putih itu
 – bila buihnya memercikkan badanku
pernah aku melahirkan terima kasih yang terdalam

Memang kau telah lama mengenal laut Besut, namun barangkali dengan saujana samudera bumi di bawah bayu kini telah kau larut. Tugas barumu di pulau, dikelilingi laut cantik negeri Sabah. Sudah hilangkah kasih dan rindumu terhadap tanah Kota Bharu? Ataukah kau sengaja diam bisu kerana telah dihanyutkan waktu?

Masih kuterkenang akan sebuah rumah agam di Pengkalan Chepa. Dan sebuah kedai makan di pinggir jalan ke sana. Sudah menikahkah anak mak cik tuan kedai yang berhasrat bermenantukanmu dulu? Paginya, kau tumpangkan aku berpacu laju dengan kereta kecilmu ke Kota Bharu. Kau perlu segera sampai untuk latihan mengajarmu di sebuah sekolah di situ.

Kita mungkin telah lama melepaskan kenangan. Membiarkan ia pergi bersama masa lalu. Dan kepada waktu juga kita serahkan diri kita untuk entah bila kembali bersua. Barangkali kerana terlalu rindu aku menulis begini. Seperti disenandungkan oleh Tagore dalam Gitanjali:

aku rindui engkau
engkau sendiri!
  – semoga hatiku
tak kunjung mengulanginya
semua hasrat
yang melengahkan aku
siang dan malam
helah belaka dan hampa

 seperti malam
menyembunyikan rindu hatinya
pada cahaya
dalam mendungnya
demikian pulalah
terdengar pekikan
dari lubuk kesedaranku –
aku rindui engkau
engkau sendiri!

Selamat mengamati sunyi dan menelaah diri, Tuah!

3 & 9 – 13 Julai 2021

Bersama-sama Tuah Sujana (kanan) sebagai pembimbing dalam satu bengkel penulisan di SK Kandis, Bachok, Kelantan pada bulan Mei 2012.

_________________________

Salman Sulaiman graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera, Universiti Sains Malaysia (2006). Karya cerpen dan sajaknya memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) tahun 2003, 2004, 2008 dan 2009. Mewakili penulis muda Malaysia ke Program Penulisan MASTERA di Anyer, Banten, Indonesia pada tahun 2012. Menjadi AJK Persatuan Penulis Kelantan sejak tahun 2007 hingga 2017. Beliau telah menulis lima buah buku: Pemain Bahasa, Sebelum Menjadi Penakut, ‘Ngembara…, ALLAH!, dan Nuh, Si Tukang Kayu & Sebuah Perahu. Sajaknya, “Ini Tanah Kita” dipilih sebagai teks Kesusasteraan Melayu SPM 2015–2019. Pernah menyandang Johan Sayembara Deklamasi Puisi BBK Kelantan 2015 dan menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan dalam Anugerah Sastera Negeri Kelantan 2019/2020. Salman Sulaiman kini merupakan penuntut pascasiswazah bidang Kesusasteraan Melayu Klasik di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.