Oleh Fadli al-Akiti
13 Julai 2021, 07:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pemilihan anugerah persuratan terbilang di Asia Tenggara kini kembali bagi tahun 2021. Dewan Bahasa dan Pustaka selaku Sekretariat Tetap SEA Write Award (Malaysia) mempelawa mana-mana institusi, badan yang sah dan berdaftar serta orang perseorangan yang berwibawa dalam bidang sastera untuk mengemukakan pencalonan bagi tahun ini.

Dua tahun lepas, pengumuman dibuat bagi ketiga-tiga penerima dari Malaysia, iaitu Rejab Ismail atau lebih dikenali sebagai Rejab F.I. (tahun 2016), Zainal Abidin Suhaili atau lebih dikenali sebagai Abizai (2017), dan Prof. Madya Dr. Mawar Safei (2018). Majlis penganugerahannya terpaksa ditanggukan berikutan kemangkatan Raja Thailand, Duli Yang Maha Mulia Raja Bhumibol Adulyadej pada 13 Oktober 2016. Baginda digantikan oleh anakandanya, Duli Yang Maha Mulia Raja Maha Vajiralongkorn. Majlis penyampaian bagi ketiga-tiga penerima dari Malaysia berserta penerima dari negara ASEAN lain, iaitu Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina, Vietnam, selain tuan rumah Thailand, diadakan di Royal Ballroom, Hotel Mandarin Oriental, Bangkok pada 25 November 2019. Duli Yang Maha Mulia Puteri Sirivannavari Nariratana Rajakanya menyempurnakan majlis ini.

Syarat dan peraturan pencalonan bagi penganugerahan ketokohan sastera paling ditunggu-tunggu di rantau ini adalah seperti yang berikut:

  1. Pencalonan hendaklah dikemukakan berdasarkan format dalam borang pencalonan yang disediakan oleh Sekretariat Tetap S.E.A. Write Award (Malaysia).
  2. Pencalonan boleh dikemukakan oleh badan/institusi yang sah dan berdaftar, dan juga orang perseorangan.
  3. Calon yang dikemukakan hendaklah warganegara Malaysia yang masih hidup, yang menghasilkan karya kreatif dalam bahasa Melayu secara berterusan.
  4. Hanya satu nama boleh dikemukakan oleh setiap pencalon.
  5. Pencalonan mestilah disokong dengan bukti-bukti yang kukuh tentang calon (rujuk syarat lengkap).
  6. Pencalonan hendaklah dikemukakan kepada Sekretariat Tetap S.E.A. Write Award (Malaysia) melalui hantaran tangan atau pos.

Tarikh tutup pencalonan ialah 16 Ogos 2021. Sila imbas kod QR pada poster di bawah atau klik di sini untuk muat turun Syarat dan Borang Pencalonan yang lengkap.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.